fbpx

Apa Punca Maxis & Astro Bergabung?

Oleh : Kapital
26 Jun 2018 - 8:30 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Hilang kuasa monopoli penyiaran mengukuhkan cadangan penggabungan Maxis-Astro.
  • Penyedia servis berkonsepkan ‘over-the-top (OTT)’ seperti Netflix, iFlix serta HyppTV dilihat sebagai cabaran utama kepada Astro.

 

Satu gabungan antara syarikat telekomunikasi, Maxis dan stesen penyiaran berbayar, Astro dijangka akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi menghadapi perubahan lanskap teknologi, media serta persaingan dari pemain industri yang lain ketika ini.

 

Langkah strategik itu dicetuskan sendiri oleh T. Ananda Krishnan selaku pemegang saham terbesar dua syarikat gergasi itu. Beliau mempunyai kepentingan sebanyak 40% dalam Astro dan 62.42% di Maxis.

 

Pengendalian dua syarikat itu dibuat melalui sebuah syarikat yang dikuasai bersama iaitu Usaha Tegas Sdn Bhd (UTSB).

 

Baca artikel 6/9/2018: Monopoli Tamat, Astro Terima Saingan Sengit

 

Sumber memberitahu, bilionair itu melihat gabungan tersebut sebagai satu langkah untuk memastikan kedudukan dua syarikat tersebut mampu mendepani cabaran persaingan semasa yang semakin meningkat.

 

Anand memang dikenali sebagai tokoh korporat yang mengejutkan pasaran dengan keputusan korporatnya. Contohnya pada 2007, beliau bertindak membeli Maxis Communications Bhd pada harga RM39.9 bilion. Syarikat telekomunikasi ini kemudiannya berjaya disenaraikan semula di Bursa Malaysia dalam tempoh kurang tiga tahun.

 

Related image
Kredit: The Rakyat Post

 

Menyentuh mengenai penggabungan yang bakal berlaku ini, badan penyelidikan memberi reaksi positif berdasarkan jangkaan keuntungan yang akan diperoleh. Dalam satu nota penyelidikan, Bank AmInvestment melihat tindakan itu sebagai pilihan yang wajar dalam mendepani persaingan pasaran.

 

Apatah lagi, ketika ini, gabungan syarikat merupakan trend global yang semakin kerap dibuat dengan tujuan untuk menyediakan hubungan yang lebih baik kepada pengguna dan penyedia konten.

 

Di Amerika Syarikat (AS), sistem perundangan negara itu membenarkan tindakan syarikat telekomunikasi yang berbentuk tradisional untuk membeli syarikat hiburan. Contohnya, gergasi telekomunikasi AT&T mendapat ‘lampu hijau’ dari mahkamah untuk mengambil alih Time Warner melalui satu perjanjian yang bernilai RM240 bilion.

 

Selain itu, gergasi perfileman 21st Centruy Fox yang dimiliki Rupert Murdoch pula dikhabarkan sedang diperhati rapat oleh dua syarikat Comcast dan Walt Disney untuk melakukan penggabungan.

 

Dua syarikat yang dimiliki oleh Sumner Redstone iaitu CBS Corp dan Viacom pula turut mencari peluang untuk melakukan gabungan semula selepas berpecah pada 13 tahun lalu.

 

Related image
Kredit: Science Fiction

 

Pemisahan yang dibuat dahulu merupakan satu langkah strategik untuk memastikan nilai Viacom selaku syarikat pencipta konten untuk industri media boleh ditingkatkan. CBS Corp pula merupakan syarikat media yang menyediakan perkhidmatan rangkaian kabel dan turut mempunyai beberapa rumah penerbitan.

 

Menyedari kesan positif yang bakal diperoleh melalui penggabungan ini, UTSB sebenarnya turut berada pada kedudukan terbaik untuk menjayakan gabungan tersebut.

 

Sekiranya gabungan itu berlaku, modal pasaran yang akan diperoleh bernilai RM53 bilion berbanding yang dimiliki Maxis sekarang iaitu sebanyak RM44.16 bilion dan RM8.34 bilion di Astro. Gabungan untung bersih kedua-duanya pula adalah sebanyak RM2.6 bilion.

 

Bank AmInvestment turut mencadangkan supaya gabungan itu nanti menumpukan kepada langkah meningkatkan kualiti servis kedua-dua syarikat secara sinergi seperti pelan Home Fibre Maxis yang dijenamakan semula dengan tawaran Astro IPTV. Hasilnya nanti para pelanggan boleh melayari rancangan melalui telefon bimbit.

 

Image result for Home Fibre Maxis astro iptv
Kredit: Maxis Fibre

 

Selain itu, penggabungan itu juga boleh mencegah Astro daripada terus berdepan prestasi penurunan pendapatan daripada pengguna dan langganan.

 

Walau bagaimanapun, antara keperluan supaya penggabungan itu disegerakan berdasarkan kepada cabaran persaingan yang dihadapi Astro daripada pelbagai platform media termasuklah penggunaan piring satelit haram yang mencuri siaran daripada stesen berbayar dari negara lain.

 

Kemunculan penyedia servis berkonsepkan ‘over-the-top (OTT)’ seperti Netflix yang menawarkan tayangan menarik pada kadar yang lebih rendah juga menjadi cabaran Astro. Netflix semakin menjadi pilihan pengguna kerana konten filemnya yang pelbagai dari Barat dan Timur termasuklah Korea Selatan dan Thailand.

 

Selain Netflix, saingan popular lain adalah iFlix dan HyppTV dari TM Net yang menyediakan kualiti perkhidmatan yang jauh lebih baik walaupun ketika cuaca buruk.

 

Image result for netflix iflix
Kredit: Geeky Pinas

 

Selain itu, peralihan pentadbiran Putrajaya selepas 9 Mei lalu turut memberi kesan negatif kepada Astro apabila Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil langkah popular dengan mendapatkan hak penyiaran perlawanan Piala Dunia secara percuma di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) milik kerajaan.

 

Lebih menarik, siaran itu pula dapat dibuat melalui penajaan sepenuhnya tanpa kerajaan perlu mengeluarkan duit walau sesen. Menteri terbabit, Gobind Singh Deo dari awal menyatakan hasrat untuk menamatkan monopoli penyiaran yang mana secara langsung memberi tamparan kepada Astro yang mempunyai perlindungan 10 tahun sebagai stesen penyiaran berbayar.

 

Tindakan itu menyebabkan Astro hilang keistimewaan selaku penyiar tunggal perlawanan berprestij itu sebelum ini sehingga mengalami kejatuhan harga saham dan pendapatan sehinggalah pada 5 Jun lalu apabila media melaporkan mengenai rancangan Ananda untuk menjadikan Astro sebagai syarikat persendirian selepas saham mencatatkan prestasi paling buruk di Bursa Malaysia.

 

Sejauh mana penggabungan ini akan memberikan manfaat terbanyak kepada pengguna sebenarnya masih diragui berdasarkan kepada aduan serta respon negatif yang berlegar di media sosial mengenai mutu servis yang disediakan oleh dua syarikat tersebut.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Front Facade
Kapital

Lokasi Adalah ‘Senjata’ Penting Tarikan Hartanah

Reading Time: 4 minutes Tatkala pasaran hartanah semasa berada dalam situasi yang mencabar, apakah faktor yang boleh menarik minat orang ramai untuk…

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara¬†mewakili satu per lima…