fbpx

Khaled Dan Perjuangannya Meneruskan Kelangsungan UMNO

Oleh : Kapital
28 Jun 2018 - 7:18 pm

Reading Time: 10 minutes
  • Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin mahu menarik golongan berwibawa dan menerapkan polisi ‘bottom-up’.
  • Menawarkan pengalaman beliau di Johor bagi memulihkan deficit kepercayaan UMNO.

 

SELEPAS kekalahan besar dalam PRU14 baru-baru ini, 146,000 delegasi UMNO bakal memilih kepimpinan tertinggi yang baru.

 

Adakah pemilihan ini bakal menyaksikan titik permulaan buat UMNO atau sebaliknya? Bagaimana calon-calon yang dipilih nanti akan menjalankan peranan selaku pembangkang yang efektif terutama dalam mencorak hala tuju serta agenda negara?

 

Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membincangkan agenda beliau kepada Khairul Hanafi dan Mohd Arif  dalam siri temuramah eksklusif bersama portal Kapital.my pada 27 Jun lalu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

 

Soalan: Ini kali pertama UMNO menjadi pembangkang di peringkat nasional. Bagaimana Datuk Seri melihat situasi ini? Adakah ia satu pengakhiran kepada sebuah legasi parti Melayu atau permulaan kepada satu era baharu?

 

Jawapan: Setelah lebih 60 tahun mentadbir dan menjadi kerajaan, kekalahan UMNO dan gagal menjadi kerajaan merupakan satu keadaan yang baharu. Tetapi itu bukan bermakna berakhirnya peranan dan kewujudan UMNO. Kita perlu lihat dan kenal pasti apakah punca dan sebab UMNO ditolak.

 

Jadi dalam konteks ini ada tiga perkara ini perlu diberikan perhatian iaitu isu yang dihadapi UMNO semasa pilihanraya lalu seperti integriti, persepsi dan soal pendekatan populis dan janji palsu pembangkang terdahulu.

 

Melihat kembali perjuangan asal UMNO adakah sudah tersasar dan pada masa yang sama memikirkan apakah tawaran baharu yang boleh beri kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.

 

Jika UMNO selepas ini menjadi pembangkang yang berwibawa, maka kekalahan tempoh hari bukan penamat kepada UMNO.

 

S: Bagaimana sebagai pembangkang, UMNO boleh turut menyumbang kepada dasar dan polisi negara khususnya ke arah kesejahteraan orang Melayu?

 

J: Pendedahan saya dalam kerajaan dan pengalaman menjadi menteri persekutuan dan ketua kerajaan negeri (iaitu) daripada menteri kerja raya, menteri usahawan dan koperasi, menteri pengajian tinggi dan seterusnya menjadi menteri besar.

 

Kita tahu akan kekangan-kekangan yang dihadapi, kita tahu bagaimana sesebuah kerajaan bergerak dan kita tahu kekangan-kekangan yang dihadapi oleh sesebuah kerajaan, kita tahu potensi-potensi kerajaan.

 

Kita ada pengalaman, kemahiran penggubalan dasar-dasar awam, kita tahu apa yang boleh dan sukar dilaksanakan, kita tahu kemampuan jentera kerajaan, keupayaan kewangannya, jadi ini semua memberi kita kelebihan untuk menjadi pembangkang berwibawa yang membolehkan kita menjadi semak dan imbang kuasa-kuasa kerajaan yang baharu sekarang.

 

 

S: Selaku calon Naib Presiden UMNO, bagaimana Datuk Seri menggunakan pengalaman mengemudi Johor untuk membantu parti dalam menjadi sebuah pembangkang yang sentiasa hadir dengan solusi dan penyelesaian kepada isu-isu nasional?

 

J: Dengan pengalaman yang luas, kita tahu mana yang betul, populis dan sebenarnya baik tetapi tak mungkin dilaksanakan kerana ada halangan yang berbentuk struktural.

 

Ini semua menjadi sandaran untuk menjadikan kita pembangkang berwibawa, berkesan, berpengetahuan dan rasional. Kita tidak akan menjadi pembangkang yang (buat) fitnah. Apabila kerajaan baharu dibentuk, kita juga tahu ada janji mereka yang tidak boleh dilaksanakan, populis dan ada perkara yang dinyatakan dahulu adalah fitnah.

 

Sebagai pembangkang berwibawa, kita tidak membangkang kerana kita pembangkang tetapi kita akan pastikan ada yang boleh dijadikan pendirian bersama seperti soal bahasa Melayu, Islam dan sebagainya yang sepatutnya sudah menjadi persetujuan bersama.

 

Yang penting haruslah kita ingatkan kepada kerajaan baharu apabila mereka cakap mengenai Malaysia Baru, mereka perlu buka ruang dan kita sedia bantu beri naratif dan tafsiran apakah Malaysia Baharu yang mahu dijelmakan.

 

S: Datuk Seri ada berkata inilah masanya untuk menolak budaya feudal di dalam UMNO. Apakah yang dimaksudkan dengan budaya tersebut?

 

J: Budaya feudal ini lahir dalam keadaan pertengahan Inggeris yang menjadi tradisi mereka. Tuan tanah yang merupakan aristokrat benarkan tanah mereka diusahakan oleh orang biasa.

 

Bila kebenaran diberikan untuk kerjakan tanah itu, sebagai balasan, aristokrat akan beri perlindungan dan menjadi orang itu hidup dan sebagainya dan melindungi mereka dari ancaman dan sebagainya. Sebagai balasan, golongan bawahan ini akan beri kesetiaan kepada individu tersebut.

 

Jadi kita tidak mahu ini yang berlaku dalam UMNO yang mana golongan berkuasa membeli pengaruh dengan memberi pelbagai imbuhan kepada ahli dan pemimpin peringkat bawah. Jadi apabila keadaan ini berlaku sebenarnya tiada kebebasan dalam kalangan pemimpin dan ahli bawahan untuk bersuara dan menyampaikan apa yang dirasakan perlu dan baik.

 

S: Dan bagaimana budaya ini boleh merencatkan agenda perubahan yang ingin dibawa?

 

J: Budaya feudal ini akan mencipta ‘politik naungan’. Akhirnya dalam parti kita tiada mereka yang mahu berkhidmat tetapi hanya nak bernaung kerana mahu imbuhan, projek dan sebagainya.

 

Bila ini berlaku, akhirnya tiada kebebasan dan nilai-nilai seperti nilai-nilai untuk berkata benar. Yang hidup ialah budaya untuk mendewakan pemimpin, bersetia tanpa soal dan mengabdi tanpa berfikir. Hanya menyerah diri.

 

Jadi atas sebab itulah bila saya nyatakan, UMNO perlu dibangunkan dengan kembali kepada nilai, berkata benar dan berjuang untuk bangsa dan bukan kepada pemimpin. Nilai untuk mendahulukan parti dan bukannya kepada presiden.

 

UMNO mesti mewakili Melayu, bukannya ahli sahaja. Parti ini adalah untuk melindungi kepentingan Melayu dan rakyat Malaysia. Jadi, kita nak parti yang ada keberanian dan prinsip. Oleh itu, budaya feudal mesti dibuang dalam UMNO.

 

S: Kita sedia maklum UMNO gagal menarik sokongan generasi muda. Dalam hal ini, apakah strategi Datuk Seri untuk menjadikan UMNO sebagai parti yang sesuai untuk orang muda?

 

J: Saya tiada jawapan spesifik sebab orang muda yang jaga orang muda dalam UMNO pun tidak berjaya.

 

Sekarang ini tiada anak muda untuk lakukan itu tetapi UMNO sedia tawarkan platform ini kepada mereka.

 

S: Bagaimana Datuk Seri akan memperjuangkan partisipasi anak muda di peringkat nasional dalam keadaan UMNO begitu tebal semangat feudalismenya?

 

J: Mana-mana kerajaan pun tidak boleh dahulukan kepentingan satu-satu bangsa sahaja, tetapi kena dapatkan input kuat dari kaum lain. Jadi UMNO perlu jadi platform yang kuat untuk bawa perjuangan orang Melayu dan orang muda. Contohnya isu bahasa Melayu sekarang, bagaimana untuk pastikan isu ini dapat ditangani dengan betul.

 

Kemudian, cara dan pendekatan UMNO dalam membawa penyelesaian kepada orang muda. Mereka mahu kebebasan untuk kemuka cadangan dan perkara untuk dilaksanakan. Dia mesti diberi ruang untuk boleh menyampaikan cara untuk capai sesuatu. Maknanya pendekatan bottom-up perlu dibuat. Kalau ini dibuat, maka kita boleh tarik anak muda yang bijak, intelektual untuk bersama UMNO. Jangan banyak sangat kekangan.

 

S: Umum mengetahui semasa Datuk Seri menjawat jawatan MB Johor, banyak polisi kerajaan negeri seperti polisi perumahan di Johor yang dikatakan terbaik di Malaysia. Konsep RRMJ (Rumah Mampu Milik Negeri Johor) yang mana menggunakan mekanisme seperti pemaju perlu membayar penalti bagi unit Bumiputera yang tidak dibina dan hasil tabung itu diguna untuk membina rumah mampu milik untuk Bumiputera dipuji.

 

Adakah polisi-polisi sebegini akan dipanjangkan kepada kerajaan sekarang walaupun UMNO adalah pembangkang?

 

J: Sebenarnya kita memaksimumkan apa yang ada di Persekutuan dan di Johor. Kerajaan negeri bertanggungjawab ke atas tanah, oleh itu kita boleh bina rumah mengikut kemampuan kewangan yang ada tetapi selalunya terhad.

 

Datuk Seri Khaled Nordin Komited dalam menggalakkan kerajaan pusat menyediakan rumah berkos rendah kepada rakyat seperti konsep Rumah Mampu Milik Negeri Johor (RMMJ). Kredit: FB MohamedKhaledNordin.

 

Kerajaan Pusat pula tidak boleh melakukannya (mengambil tanah) kerana ia tindakan tidak bertanggungjawab. Bagi Kerajaan Johor, kita tidak teragak-agak untuk melakukan pengambilan tanah.

 

Kita juga tidak boleh mengharapkan pemain di pasaran bebas untuk membina rumah. Sebabnya, kita tahu ia tak akan mampu membina rumah pada harga berpatutan di kawasan bandar kerana tanahnya mahal.

 

Jadi pendekatan kita yang pertama, kita mahu rumah mampu milik dibina secara berterusan. Kedua, kami mahu bekalan rumah yang seimbang. Ada yang mahal, ada yang rumah mampu milik. Sebabnya, tanpa rumah mahal, tiadalah duit untuk memberi subsidi rumah.

 

Ketiga, agenda perumahan ini mesti ada sasarannya kepada semua golongan termasuk belia, OKU dan orang Melayu di Bandar dan yang terakhir ialah rezab Melayu terus bertahan dan setiap tahun meningkat.

 

Ini antara yang kita buat. Tetapi, untuk peringkat nasional, ia bukan bermakna negeri lain mesti mengikut cara Johor. Kena juga melihat perkara-perkara lain.

 

Contohnya di Johor, kerajaan Johor (dahulu) membina rumah mampu milik bermula dengan kos sifar. Kita benarkan GLC buat, bila siap, ada untung, barulah membayar kepada kita. Jika kita mula dengan letakkan harga, mereka tak boleh buat. Kerajaan Pusat mesti bersedia. Banyak tanah di negeri-negeri untuk membina rumah mampu milik yang boleh bermula dengan zero cost.

 

Seterusnya, kerajaan Pusat mesti mewujudkan satu badan yang boleh memudahkan masyarakat untuk membeli. Hal ini kerana, salah satu masalahnya ialah pinjaman wang dari bank. Yang terakhir, cari mekanisme bagi memperbanyakkan rumah sewa beli. Dulu kita ada badan MBSB (Malaysia Building Society Berhad).

 

Rumah siap akan dibeli dan ditawarkan kepada rakyat untuk sewa beli. Tapi, zaman siapalah MBSB itu diswastakan. Ia lari dari matlamat asal penubuhannya. Jadi, di Malaysia ini tiada badan yang beli rumah dari pemaju untuk disewakan. Jadi, di sini ialah peranan kerajaan Pusat sendiri.

 

Oleh itu sebagai pembangkang berwibawa, ini cadangan saya, (kepada) kerajaan pusat, tengok langkah-langkah ini. Kita ada pengalaman dan sedia bekerjasama demi kesejahteraan rakyat.

 

 

Soalan: Jadi, maknanya, polisi perumahan mampu milik ini harus dilaksanakan oleh kerajaan semasa dan harus diperbanyakkan?

 

Jawapan: Complement each other. Perlu ada usaha complementary.

 

Soalan: Baik, kita masuk polisi kos sara hidup. UMNO dilihat tidak popular kerana dikatakan gagal mengawal kos sara hidup melalui GST dan sebagainya. Adakah Datuk Seri melihatnya sebagai keutamaan dan apakah idea Datuk Seri dalam menangani perkara ini.

 

Jawapan: Kos sara hidup akan dihadapi di mana-mana negara. Apatah lagi ia bergantung dengan tahap kemajuan satu-satu negara. Dan negara kita kini sedang menuju tahap yang bertambah baik.

 

Maka, lagi maju sesebuah negara, lagi mahallah kos hidup dan sebagainya. Tetapi, yang lebih penting ialah, adakah adanya usaha kerajaan bagi membantu rakyat menangani isu ini. Untuk kerajaan itu buat sesuatu agar kos sara hidup itu turun, itu adalah mustahil. Tidak ada.

 

Yang penting adalah bagaimana kerajaan membantu rakyatnya menghadapi rakyat yang hidup dalam negara berkos hidup tinggi. Di situ baru ada penilaian.

 

Jadi di sinilah, apa yang kita buat, kita perlukan masuk campur dari kerajaan. Satu, saya tak kata ini cadangan saya, naikkan gaji. Tapi, itu bergantung. Takkanlah kerajaan sahaja naik gaji, swasta juga mesti bersedia berkongsi dengan majikan akan keuntungan yang dia dapat.

 

Dalam satu kajian yang saya baca, pihak swasta tidak bersedia untuk berkongsi keuntungan dengan menaikkan gaji. Tetapi, jika swasta menaikkan gaji dan kerajaan pun selalu menaikkan gaji, mungkin salah satu cara membantu rakyat untuk hidup, walaupun kos meningkat.

 

Selain itu, kerajan mesti kuat dalam intervention. Kita boleh anggap yang bantuan BR1M satu caranya. Dulu zaman Mahathir wujudnya subsisidi juga tetapi ini dianggap menguntungkan orang yang berduit.

 

Jadi, sebab itulah kerajaan selepas Mahathir melaksanakan BR1M. Satu lagi, kawal harga rumah. Kawal harga rumah yang mana seperti rumah mampu milik. Kalau ia dibiarkan tanpa kawalan program seperti yang saya sebut tadi, rakyat akan terbeban melalui rumah.

 

Perbelanjaan rakyat yang utama ialah rumah. Cara penyediaan rumah PPR, rumah sewa yang murah dan sebagainya. Kedua, dimensi public transportation. Jangan galakkan rakyat membeli kereta. Kalau kita keluar bekerja, kita fokuskan beli rumah – rumah mampu milik dan kawasan yang ada public transportation yang baik.

Ketiga, harga-harga barang makanan dan keperluan. Inilah intervention kerajaan.

 

Di Johor kita buat kedai harga patut seperti imCoop (Koperasi Iskandar Malaysia Bhd), kita buat Muafakat Johor, kita beli kepada golongnan sasar air percuma, kita beri kelas tuisyen percuma, kita sediakan pembelajaran online RM1 sebulan, kita ada pada peringkat akhir dahulu skim takaful untuk orang miskin mendapat rawatan pakar yang dibayar kerajaan.

 

Bila kerajaan pungut hasil, ini sebahagiannya dibelanjakan untuk melakukan intervention.

 

Soalan: Dalam soal pendidikan, apakah Datuk Seri melihat orang Melayu menjadi lebih daya saing atau lebih manja?

 

Pertama, kita punya pendekatan dan amalan kita ialah semua orang berpeluang mendapat ilmu. Dulu kita fokuskan kepada akses. Tetapi, sekarang kita perlu pentingkan yang semua orang perlu mendapatkan pendidikan yang berkualiti. Itu yang penting.

 

Kerajaan mesti fokus dalam meningkatkan kualiti pendidikan kita. Maksudnya mesti bersifat sezaman dan mendahului masa. Jika tidak, kita tak akan berjaya. Bukan sahaja untuk membangunkan negara. Itu boleh dilakukan. Tapi soalnya ialah daya saing kerana dunia menjadi global.

 

Datuk Seri Khaled melancarkan GiatMARA di Pasir Gudang dalam membantu rakyat mendapatkan kualiti pendidikan yang baik buat rakyat. Kredit: FB Mohamed Khaled Nordin.

 

Jadi, soalnya bagaimana? Kita mesti melatih guru dan pensyarah kita. Bukan mempolitikkan sistem pendidikan.

 

Dan bagi orang Melayu, tiada yang mampu menolongnya jika mereka tidak menolong dirinya. Pendidikan adalah bekalan paling penting yang tiada gantinya. Tiada jalan lain, tiada formula lain. Melayu mesti menguasai pendidikan dan termasuk kemahiran. Pendek kata, pendidikan adalah bekalan sepanjang hidup orang Melayu. Tiada yang boleh menolong.

 

Tugas kerajaan hanya menyediakan kemasukan, sediakan yang berkualiti.  Sama macam soal orang Melayu mahu masuk syurga atu tidak. Surau dan masjid sudah disediakan. Kalau orang Melayu tidak sembahyang, takkan kita mahu menyalahkan kerajaan dahulu Barisan Nasional.

 

Kita kena ingat, semua kita mahu sebuah negara kuat. Ia hanya berlaku jika semua negara tu rakyatnya sama-sama menyumbang kepada negara. Tapi jika kita tiada pendidikan, tiada kemahiran, malas pula, kita tidak menyumbang. Kita menyuruh kerajaan menanggung kita. Jika tidak ada kesemua ini, negara itu tidak akan kuat.

 

Jadi orang Melayu tidak ada pilihan. Walaupun kerajaan mungkin nak bantu, tapi ia mesti datang dari diri bahawa pendidikan ini penting.

 

Berkenaan polisi, pendidikan adalah tanggungjawab pusat. Tetapi, ini tidak bermakna kerajaan negeri tidak boleh membantu dan memastikan rakyatnya mendapat pendidikan terbaik. Sebab itulah kita wujudkan Yayasan Pelajaran Johor untuk membantu.

 

Yang terakhir yang saya buat ialah, semua yang meminjam dari yayasan ini melalui tahun ini, tidak akan ada bayaran lain. Kalau meminjam RM10,000, maka bayar sebanyak itu. Jika dapat first class, tiada bayaran.

 

Juga, kita sudah memperkanalkan biasisawa dan sebagainya. Sebab kita tidak percaya apabila kesemua mendapat biasiswa akan membantu orang Melayu. Ini menyebabkan orang Melayu tidak berdaya saing.

 

Selain itu, penekanan kepada kemahiran sangat penting di zaman ini. Kita tidak mahu ramai yang ambil akademik, namun tidak ada pekerjaan. Kita perlu menyediakan diri dengan perubahan dunia realiti yang memerlukan kemahiran yang berubah-ubah.

 

Pendekatan kerajaan dahulu ialah, kita perlu bangga dengan banyak orang Johor pergi ke institusi pendidikan tinggi di semua negeri, bukan banyak pembangunan institusi pendidikan tinggi Johor. Sebabnya, kita mahu rakyat Johor berminda terbuka. Bukan belajar di negerinya sahaja. Kejayaan universiti bergantung kepada kualiti tenaga pengajar di pelbagai universiti.

 

Begitu juga dengan sekolah agama, kerana kita hendak Johor ini negeri Islamik. Kita mahu rakyat Johor ni selamat dunia akhirat. Kerana itu kita bagi penekanan kepada pendidikan agama.

 

S: Berkenaan integriti, soalan ini menjadi topik hangat khususnya kepada kepimpinan tertinggi UMNO. Apakah agenda Datuk Seri dalam mengembalikan integriti dalam UMNO? Bagaimana pula dengan tadbir urus parti? Adakah ia bakal menjadi status quo di mana ahli memberikan sokongan tanpa soal seperti sebelum ini?

 

J: Kita tahu bahawa salah satu sebab orang Melayu menjauhkan diri dari UMNO adalah kerana defisit kepercayaaan kepada kepimpinan. Walaupun dibandingkan dengan perkhidmatannya, UMNO tiada tolok banding berbanding parti lain. Akan tetapi, UMNO kalah dalam isu politik.

 

Jadi, memang UMNO perlu memberi perhatian serius soal integriti pada setiap masa. Apabila berlaku sedikit krisis integriti, ia boleh merosakkan banyak perkara dan ia bergantung kepada nilai individu.

 

Saya tidak fikir kita ada standard menentukan sesiapa yang berintegriti. Kita tidak tahu dalam menentukan siapakah yang berintegriti atau tidak? Ia bukan mudah.

 

Di sinilah kita kena bergantung kepada nilai orang itu. Itulah sebabnya orang kata UMNO sudah hilang nilai. Nilai yang ahlinya menolak politik wang, menolak yang merasuah, bercakap benar kepada pemimpin walaupun perkara yang baik.

 

Sebab itulah, dalam proses kita nak mengukuhkan kembali parti, kita mesti kembalikan nilai-nilai ini balik. Saya setuju (yang) integriti, amanah, kebertanggungjawapan adalah amat penting. Bagaimana saya boleh mengumpul wang rezab yang banyak adalah kerana saya pastikan tiada kebocoran dan ketirisan.

 

S: Bagaimana dengan pentadbiran parti? Adakah Datuk Seri akan mewujudkan jawatankuasa untuk menilai integriti dalam parti UMNO nanti.

 

Bila kita bukan kerajaaan, ia menjadi lain sedikit. Tetapi saya percaya kita perlu perkukuhkan disiplin dan jawatankuasa yang memantau kredabiliti parti. Maknanya, jawatankuasa disiplin ini mesti secara adil dan tidak takut untuk mengambil apa-apa tindakan dan sebagainya.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…