fbpx

KWSP Hilang Nilai Pelaburan RM6 Bilion dalam Masa Sebulan

Oleh : Kapital
26 Jun 2018 - 12:43 pm

Reading Time: 4 minutes
  • KWSP hilang RM6.09 bilion dalam masa sebulan bermula 8 Mei hingga 7 Jun.
  • Nilai tersebut adalah masih di atas kertas dan bukannya nilai kerugian sebenar.

 

Rakyat Malaysia sebelum ini mengalami rasa panik sebentar apabila mendengarkan yang institusi tempat mereka  menyimpan wang persaraan iaitu KWSP, mengalami kejatuhan nilai aset pelaburan yang besar. Nilai kejatuhan aset tersebut ialah sebanyak RM6.09 bilion atau 12%. Ia adalah sebuah kejatuhan daripada nilai asal daripada sebanyak RM51.21 bilion kepada RM45.12 bilion dalam tempoh sebulan.

 

Nilai ini namun adalah hanya bagi pelaburan aset di 10 syarikat awam (public listed company) sahaja. Jikalau kita mengikut jumlah keseluruhan aset pelaburan KWSP, jumlahnya adalah jauh daripada itu. Ia bernilai RM814.38 bilion pada suku pertama tahun 2018, meningkat sebanyak RM4.25 bilion dari akhir tahun lepas.

 

Berbalik kepada 10 syarikat awam tersebut, kesemua syarikat yang terlibat adalah melibatkan syarikat pembinaan, telekomunikasi, perbankan, hartanah dan pertanian.

 

Berikut di bawah adalah perincian mengenai kejatuhan aset dan jenis aktiviti-aktiviti bisnes syarikat ini.

 

Jadual di atas menunjukkan jumlah pelaburan KWSP (dalam peratus) di 10 syarikat awam yang mengalami kejatuhan.


Apakah punca-puncanya?

 

Jika kita melihat kepada jadual di atas, empat syarikat yang terlibat merupakan syarikat pembinaan. Keempat-empat syarikat pembinaan ini menyumbang sebanyak RM1.49 bilion atau 24.5% daripada jumlah keseluruhan kejatuhan bernilai RM6.09 bilion.

 

Ia menjadi punca penting kepada kejatuhan ini. Menurut akhbar The Edge, perkara sebegini terjadi adalah kerana banyak projek mega pembinaan yang menjadi buruan utama syarikat-syarikat ini akhirnya dikaji semula oleh kerajaan. Malah, ada projek mega yang sudah diputuskan untuk dibatalkan seperti MRT3 dan HSR. Penjelasan yang lebih mendalam adalah seperti berikut:

 

Cahya Mata Sarawak Bhd: Syarikat ini pada asalnya mempunyai pegangan konsesi yang meluas dalam projek Lebuhraya Pan-Borneo yang merentasi negeri Sabah dan Sarawak.

 

Projek ini yang memakan perjalanan sejauh 1,060 km merupakan projek yang berkontroversi semasa zaman pemerintahan Najib Razak. Hal ini kerana projek ini diletakan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan bukannya pula Kementerian Pengangkutan. Ia akhirnya diumumkan oleh kerajaan kini untuk ditawarkan sebagai projek tender terbuka.

 

Malaysian Resources Corp Bhd: MRCB adalah syarikat yang terlibat bersama-sama Gamuda untuk pembinaan kereta api laju HSR di bahagian selatan. Akan tetapi, selepas pembatalannya yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, ia menyebabkan sahamnya jatuh merudum.

 

IJM Bhd: IJM memegang banyak konsesi tol dalam projek lebuhraya negara ini. Pengunguman kerajaan PH untuk mahu menghapuskan beberapa tol menyebabkan syarikat ini mengalami kerugian.

 

Gamuda Bhd: Selain pembatalan projek HSR, faktor lain yang menyebabkan penurunan pelaburan asetnya adalah kerana pembatalan projek MRT3. Syarikat ini sebelumnya mahu bekerjasama dengan George-Kent (M) Bhd sebagai syarikat usaha sama. Tetapi, apabila MRT3 diumumkan untuk dibatalkan, sudah tentunya para pelabur mula mengambil kembali wang pelaburan mereka dari syarikat ini.

 

Bagi syarikat-syarikat lain seperti Telekom dan Axiata, puncanya adalah kerana masuk campur kerajaan kini yang mahu menyenarai bersih pemimpin-pemimpin di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Maka, akhirnya CEO Telekom yang dahulu, Shazalli Ramly akhirnya meletakkan jawatannya pada 6 Jun baru-baru ini.

 

Punca yang terakhir pula ialah adalah kerana kejatuhan saham-saham di pasaran Bursa Malaysia. Dengan kejatuhan pasaran saham ini, maka, kesannya ialah nilai pasaran modal saham (market capitalization) syarikat-syarikat besar ini sudah tentunya akan merudum juga. Untuk rekod, pasaran Bursa kita sudah jatuh daripada 1846.51 mata pada 8 Mei 2018 kepada 1785.81 mata pada 7 Jun 2018.

 

Penurunan tersebut adalah sebanyak 60.7 mata, dalam masa hanya sebulan.

 

Terkini, pasaran bursa kelihatannya semakin merudum lagi kepada bawah 1700 mata dengan hanya pada 1678.10 mata sahaja pada hari semalam, 25 Jun 2018.

 

Apakah Kesannya kepada Kita Sebagai Penyimpan?

 

Bagi menjawab persoalan ini, pertama kali, kita harus mengetahui yang nilai jatuh tersebut adalah nilai pelaburan KWSP, bukannya nilai wang simpanan pencarum.

 

Nilai kejatuhan aset pelaburan KWSP ini hanyalah kecil berbanding jumlah keseluruhan aset KWSP iaitu RM814.38 bilion. Kredit: TheStar.com. 

 

Bahkan, nilai kejatuhan ini ialah nilai pelaburan atas kertas dan bukannya menunjukkan nilai kerugian sebenar kerana aset-aset ini belum dijual lagi oleh KWSP. Jika KWSP menjual aset-aset ini dengan harga rendah tersebut, maka barulah ia boleh dikira sebagai kerugian sebenar.

 

Harus juga kita sedar yang caruman KWSP ini adalah simpanan caruman yang dijamin oleh kerajaan. Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya hanya menggunakan wang caruman ini hingga menyebabkan jumlah simpanan para pencarum hilang. Ini bukannya kontrak bisnes pelaburan seperti 1MDB. Tiba-tiba wangnya lesap begitu sahaja!

 

Selain itu, jika kita melihat kepada janji kerajaan dalam kontrak KWSP, laman sesawang ini menulis bahawa,

“Setiap caruman dalam KWSP akan dibayar dividen dan dijamin oleh kerajaan dengan kadar minimum 2.5%” (bagi simpanan konvensional).

 

Dengan kata lain, walaupun kita boleh mengagak bahawa kejatuhan nilai pelaburan ini jika berlanjutan dan menyebabkan prestasi bisnes keseluruhan KWSP merudum, tetapi, paling kurang hak para pencarum untuk mendapatkan nilai dividen sebanyak 2.5% masih dijamin.

 

Melainkan anda menemui skim simpanan lain yang boleh menjamin wang anda dan pada masa yang sama masih mampu memberi pulangan keuntungan yang lebih tinggi, maka anda boleh memilih simpanan ini.

 

Jikalau tidak, anda tidak perlu bimbang.

 

Akan tetapi, jika anda mahu mendapat pulangan yang lebih, apa kata anda mempelbagaikan simpanan anda kepada KWSP dan badan pelaburan lain seperti Amanah Saham Nasional dan unit amanah saham, bukan?

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…