fbpx

Pakar Ekonomi : Inilah Negara yang Bakal Menjulang Piala Dunia 2018

Oleh : Kapital
20 Jun 2018 - 4:40 pm

Reading Time: 5 minutes
  • Bank Danske meletakkan faktor ekonomi dan faktor berkaitan sukan bola sepak dalam membina model analisisnya.
  • Brazil, walaupun dibenam oleh Jerman sebanyak 7-1 pada siri Piala Dunia tahun lalu, dinamakan sebagai juara Piala Dunia tahun ini.

 

Pada kebiasaannya, pakar ekonomi hanya membicarakan banyak mengenai hal ehwal ekonomi dan sudah pasti bukannya berkenaan hal ehwal bola. Membicarakan mengenai isu sukan seperti bola sepak bukanlah sesuatu yang normal bagi bidang tugas profesion ini di negara Malaysia. Namun, sebenarnya bagi pakar penganalisis di luar negara, ia bukannya perkara yang asing.

 

Bank Danske dari Denmark adalah salah satu contohnya. Hakikatnya, bank ini sudah lama terlibat dalam menganalisis acara ini sejak Piala Dunia 2010 lagi. Apabila ditanya, mengapakah ia berminat dalam menganalisis acara bola sepak ini? Jawabnya, “Ini adalah kerana kami sukakan bola sepak!” Berikut di bawah adalah dapatan daripada kajian ini.

 

Sebagai permulaan, bank terkenal dari Denmark ini menyenaraikan kesemua faktor utama yang diambil kira dalam pembinaan model analisisnya. Faktor-faktor ini merangkumi dari sisi ekonomi dan dari sisi sukan bola sepak. Terdapat 6 faktor utama yang diguna pakai iaitu:

 

Bank Danske dari Denmark sudah melakukan analisis Piala Dunia bermula sejak pada tahun 2010 lagi. Kredit: google.com 

 

1) Relatif kekuatan antara dua pasukan bola yang bertanding iaitu dikira melalui perbezaan gol. Contohnya, jikalau Brazil mengalahkan Sweden dengan gol sebanyak 5-2, maka perbezaan relatif ialah berjumlah tiga mata.

 

2) Perbezaan dalam pendapatan KDNK per kapita negara mengikut pariti kuasa beli (purchasing power parity) dengan relatif kepada pendapatan KDNK per kapita di negara AS.

 

3) Perbezaan dalam tradisi bola. Ia diukur dengan mengambil kira perbezaan rekod penglibatan pasukan bola dalam beberapa siri Piala Dunia yang lalu.

 

4) Perbezaan ranking dalam pertubuhan FIFA. Dalam hal ini, semakin tinggi kedudukannya, semakin bernilai mata yang diperoleh.

 

5) Rekod pengiktirafan antarabangsa kepada mana-mana pemain dalam pasukan seperti anugerah Ballon d’Or setahun sebelum Piala Dunia bermula. Ia adalah sebagai petunjuk mudah bahawa pasukan tersebut mempunyai seorang pemain bintang.

 

6) Faktor tuan rumah yang mampu melonjakkan prestasi pemain. Maka, bagi tahun ini, Rusia yang merupakan negara tuan rumah akan mendapat mata yang lebih.

 

Seperti mana yang ditegaskan sebelum ini, faktor ekonomi seperti nilai KDNK memainkan peranan yang penting. Bank Danske meramalkan negara dari Nordic seperti Iceland yang mempunyai  KDNK per kapita yang ketiga tertinggi di dunia (IMF 2018) bakal bertemu Nigeria dan ia akan mempunyai kelebihan mata berjumlah 0.3 mata untuk menang.

 

Begitu juga dengan faktor yang berkaitan dengan sukan bola sepak. Negara seperti Jerman yang kini merangkul tempat pertama dalam ranking FIFA akan dianggap mempunyai markah yang lebih sebanyak 0.7 mata untuk menang menentang Korea Selatan nanti.

 

Bagi negara-negara pengeluar minyak OPEC dan lain-lain, mereka kelihatannya bakal diramalkan untuk tersingkir awal dalam pusingan awal kelayakan kumpulan. Negara-negara tersebut ialah seperti Arab Saudi, Iran, Nigeria dan Mexico. Mereka kelihatannya mampu untuk berbangga dengan hasil minyak yang tinggi, namun bukannya dalam mata acara bola sepak.

 

Walaupun demikian, Rusia sekalipun ia juga merupakan negara pengeluar minyak yang besar, negara ini diramalkan mampu untuk maju lebih ke hadapan atas faktor sebagai tuan rumah. Apatah lagi kerana negara ini hanya perlu bersaing dengan pesaing mudah dalam kumpulan A iaitu menentang Arab Saudi dan Mesir.

 

Secara umumnya, bank ini meramalkan pasukan-pasukan yang layak dalam saringan kelayakan kumpulan adalah seperti berikut:

 

Kumpulan A : Rusia dan Uruguay

Kumpulan B : Sepanyol dan Portugal

Kumpulan C : Perancis dan Denmark

Kumpulan D : Argentina dan Croatia

Kumpulan E : Brazil dan Switzerland

Kumpulan F : Jerman dan Sweden

Kumpulan G : Belgium dan England

Kumpulan H : Poland dan Colombia

 

Dalam pusingan seterusnya iaitu memasuki pusingan kalah mati, Denmark akan dijangka bertemu dengan Argentina dan Sweden pula bakal menentang Brazil.

 

Tatkala ini, faktor kekuatan ekonomi yang dijuarai oleh negara Denmark dan Sweden akan tumbang dengan faktor yang berkaitan dengan bola sepak. Dalam hal ini, disebabkan Argentina dan Brazil mempunyai kelebihan mata yang lebih tinggi dalam faktor yang berkaitan dengan sukan bola sepak, oleh itu kedua-dua negara Nordic ini dijangka akan tewas.

 

Brazil dan Argentina dilaporkan bakal menang ke atas negara=negara Nordic atas kelebihan faktor berkaitan dengan bola sepak berbanding faktor ekonomi. Kredit: blogdotarso.files.

 

Selain itu, ketika kita masih berada di tengah-tengah isu berkenaan Brexit yang masih lagi tegang, Jerman dan England akan dijangka bertemu dengan menyaksikan Jerman bakal menang, hasil kerana faktor ekonomi dan faktor berkaitan bola sepak yang lebih baik berbanding England.

 

Seterusnya, kita akan menuju kepada pusingan separuh akhir. Apabila kita melangkah dalam pusingan ini, pasukan bola sepak Brazil akan bertemu dengan Perancis setelah menang menentang Belgium. Perancis pula sebelum ini diramal akan menang dalam perlawanan menentang Portugal.

 

Bagi perlawan separuh akhir yang lain,  pasukan bola sepak Argentina akan diramalkan untuk menentang Jerman. Negara ini dijangka bakal menang dalam pertemuan menentang Sepanyol terlebih dahulu dalam perlawanan sebelumnya dan Jerman pula dijangka menang ke atas England.

 

Oleh itu siapakah yang anda berasakan mampu menang dalam perlawanan pusingan separuh akhir ini?

 

Seperti yang telah dilaporkan, Jerman dinamakan untuk menang terhadap Argentina kerana atas kelebihan faktor ekonomi dan faktor berkaitan bola sepak. Berlainan dengan Jerman, Brazil pula diramalkan akan menang ke atas Perancis kerana mempunyai faktor berkaitan bola sepak yang lebih kuat berbanding kelebihan dalam faktor ekonomi oleh Perancis.

 

Akhirnya, di saat penentuan juara, Bank Danske menamakan Brazil sebagai juara pada 15 Julai nanti selepas diramalkan akan membenam pasukan Jerman. Tempat ketiga pula akan dirangkul oleh Argentina selepas menewaskan Perancis.

 

Adakah Dapatan Analisis Model Ini Tepat?

 

Selain Bank Danske, Goldman Sachs turut bertindak menganalisis perlawanan Piala Dunia beberapa kali dan tetap menemui kesalahan. Kredit: gannet-cdn.com. 

 

Analisis ini sememangnya bakal menimbulkan tanda tanya bagi mereka yang pertama kali mendengarnya. Untuk rekod, terdapat beberapa isu yang menunjukkan bahawa dapatan analisis yang dikeluarkan oleh Bank Danske sebenarnya tidaklah terlalu tepat. Hal ini dapat dilihat kepada analisis bagi Piala Dunia yang lalu iaitu bagi tahun 2014 yang mana menyaksikan Bank Dankse meramalkan Brazil akan menjuarai piala dunia namun ia dibenam teruk oleh Jerman sebanyak 7 – 1.

 

Perkara ini timbul adalah kerana, untuk meramal perlawanan bola sepak bukannya mudah. Bahkan institusi ternama lain seperti Goldman Sachs juga membuat ramalan yang salah.

 

Akan tetapi, analisis bank ini dikatakan masih boleh diharapkan kerana jangkaannya bahawa Argentina dan Jerman yang diletakkan sebagai negara yang berpotensi menjuarai Piala Dunia 2014 di tempat kedua dan ketiga menyaksikan bahawa kedua-dua negara ini akhirnya layak ke pusingan akhir. Jerman akhirnya menang ke atas Argentina sebanyak 1 – 0.

 

Berbalik kepada isu Piala Dunia kali ini, analisis Bank Danske turut berkongsi keputusan yang sama seperti dapatan hasil daripada Goldman Sachs dengan Brazil masih dinamakan sebagai pemenangnya.

 

Apa yang lebih menarik, analisis mereka adalah hampir 93% sama dengan pasaran pertaruhan (betting market) daripada orang ramai mengenai ramalan siapakah 16 negara terbaik yang bakal merangkul nama juara bagi Piala Dunia 2018 ini!

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…