fbpx

Pergelutan antara Syarikat Petronas VS Syarikat Petros Sarawak

Oleh : Kapital
18 Jun 2018 - 11:00 am

Reading Time: 4 minutes
  • Sarawak mahu menggunakan bidang kuasa Ordinan Perlombongan Minyak 1958 untuk menuntuk haknya dalam aktiviti berkaitan minyak dan gas di rantaunya.
  • Tun Mahathir hanya menyerahkan kes ini kepada mahkamah untuk menentukan keputusan.

 

Sejurus apabila Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem diangkat menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima pada 28 Februari 2014, beliau lantas menggagaskan sebuah idea memperjuangkan hak rakyat Sarawak dalam aktiviti cari gali bisnes minyak dan gas di rantau ini. Katanya, Sarawak berhak mendapat hak yang lebih meluas terhadap aktiviti cari gali minyak dan gas di kawasannya. Idea ini bahkan mendapat sokongan padu daripada rakyat negeri Bumi Kenyalang.

 

Tiga tahun kemudian, beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 11 Januari 2017. Namun, perjuangan ini diteruskan pula oleh Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari atau lebih dikenali sebagai Abang Johari sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keenam. Maka, akhirnya, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) ditubuhkan dalam usaha mendapatkan hak istimewa rakyat Sarawak ini pada bulan Jun 2017 daripada cengkaman Petronas.

 

Asal-Usul Tertimbulnya Isu Ini

 

Secara umumnya, terdapat dua tuntutan yang diketengahkan oleh Adenan Satem:

 

  • Sarawak mahu mendapatkan hak perlesenan sendiri berkenaan aktiviti cari gali minyak di kawasan serantaunya melebihi 3 batu nautika dan hak menikmati keuntungan terus daripada hasil minyak dan gas dengan meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Laut Wilayah 2012. Hak ini adalah tanpa mengganggu aktiviti cari gali Petronas yang sudah dijalankan sebelum ini.
  • Sarawak mahu menuntut bayaran royalti bertambah daripada 5% kepada 20%.

 

Sebelum ini, mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang menyaksikan penubuhan syarikat Petronas, Sarawak hanya dibayar sebanyak 5% royalti sahaja daripada kerajaan persekutuan.

 

Abang Johari meneruskan perjuangan Adenan Satem bagi mendapatkan hak negeri Sarawak dalam aktiviti cari gali minyak dan gas. Kredit: 3.bp.blogspot. 

 

Selain itu, Sarawak dan negeri-negeri pengeluar minyak yang lain berhak mendapatkan hak pencarian aktiviti minyaknya hanya dalam 3 batu nautika dan selebihnya menjadi milik Petronas, tanpa perlu meminta hak perlesenan daripada kerajaan pesisir atau kerajaan negeri yang terdekat.

 

Sarawak menganggap, kuasa akta ini telah meragut hak asal rakyat Sarawak kerana sebelum ini, Sarawak mendapat hak terhadap sebarang aktiviti persisiran pantai hingga mencapai 12 batu nautika, sebelum dikurangkan kepada 3 batu nautika dalam dan Akta Laut Wilayah 2012. Akta tersebut digubal semasa pemerintahan Najib Razak.

 

Malah, Sarawak membidas Akta Laut Wilayah 2012 ini dengan katanya, mengikut undang-undang, kerajaan persekutuan perlu mendapat kata putus daripada negeri yang terlibat bagi mengubah penguasaan jarak nautika oleh negeri pesisir.

 

Apakah Sumbangan Minyak dan Gas dari Sarawak?

 

Apabila kita melihat laporan data daripada Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission), ia merekodkan bahawa Sarawak menyumbang pembekalan minyak mentah (tidak termasuk gas) sebanyak 65.9 juta tong pada tahun 2016 atau 27.1% daripada jumlah keseluruhan iaitu 243.4 juta tong.

 

Selain daripada jumlah itu, bahagian semenanjung menyumbang sebanyak 87.7 juta tong atau 36.1% dan selebihnya disumbang oleh negeri Sabah sebagai penyumbang terbesar dengan 89.8 juta tong atau 36.8%.

 

Bagi jumlah simpanan (reserve) minyak mentah, Sarawak mempunyai 1.37 bilion tong lagi atau 27.2% daripada 5.02 bilion jumlah keseluruhan simpanan tong negara bagi tahun 2016.

 

Jumlah tersebut adalah besar. Jika Sarawak mendapatkan haknya kembali dalam aktiviti cari gali minyak, maka jumlah bekalan dan aktiviti bisnes yang menguntungkan ini akan menjadi milik kerajaaan negeri Sarawak.

 

Penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (Petros)

 

Bagi menunjukkan keseriusan pemimpin Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari menubuhkan syarikat ini bagi menjalankan aktiviti cari gali minyak di rantau negerinya, menggantikan Petronas selain menuntut hak royalti sebanyak 20%.

 

Akan tetapi menurutnya lagi, syarikat ini bukan bertujuan bagi mengambil alih aktiviti sedia ada daripada Petronas.

 

Abang Johari berkata,

“Tuntutan ini tidak akan menghalang hak dan aktiviti pelaburan daripada Petronas dan syarikat-syarikat yang lain yang sudah terlibat dalam aktiviti-aktiviti industri minyak dan gas di Sarawak, sama ada industri huluan mahupun hiliran.”

 

Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat ini kini dipegang oleh anak jati Sarawak sendiri daripada kaum Bidayuh iaitu Saau Kakok. Beliau sebelum ini sudah berpengalaman dalam memegang banyak jawatan penting di syarikat multinasional minyak yang lain seperti Hess.

 

Apakah Reaksi Petronas?

 

Pada 5 Jun 2018, Petronas mencabar Kerajaan Negeri Sarawak untuk mendapatkan hak pemberian lesen bagi aktiviti huluan (upstream) dalam industri minyak dan gasnya.

 

Tuntuan dari Kerajaan Sarawak bahawa Petronas kini harus meminta lesen dan keizinan daripada mereka disanggah oleh Petronas. Syarikat ini mendakwa ia tidak perlu mendapatkan lesen-lesen tersebut.

 

Petronas mengunakan hujah bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 masih diguna pakai dan menuntut agar mahkamah tinggi menjelaskan mengenai isu ini. Menurut akta ini, Petronas mempunyai hak sebagai syarikat tunggal milik persekutuan untuk memiliki hasil-mahsul petroleum dalam negara dan mempunyai kuasa terhadapnya yang terpakai ke atas semua negeri termasuk Sarawak dan negeri pengeluar minyak yang lain.

 

Syarikat gergasi Petronas menjawab tuntutan Abang Johari bahawa ia mempunyai kuasa yang sah melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan beberapa akta lain. Kredit: moneycompass.com 

 

Petronas namun menegaskan,

“Tuntutan mahkamah ini adalah bagi menerangkan hak dan menjelaskan Petronas sebagai pemilik tunggal minyak dan gas negara dan bukannya untuk menyaman kerajaan negeri Sarawak”.

 

Syarikat minyak negara ini juga kemudiannya menjawab lontaran hujah kerajaan negeri Sarawak yang menuntut bahawa ia harus meminta lesen kepada Petros Berhad bermula 1 Julai ini.

 

Jawab Petronas, Ordinan Perlombongan Minyak 1958 itu tidak sah apabila dibandingkan dengan Akta Malaysia 1963 yang memperlihatkan perjanjian Sarawak dengan Semenanjung, Borneo Utara (Sabah) dan Singapura bagi membentuk Persekutuan Malaysia ketika itu.

 

Maka, jikalau menurut Akta Malaysia 1963 atau turut dipanggil Perjanjian Malaysia 1963 ini, Sarawak kini menjadi salah sebuah negeri di bawah kerajaan persekutuan dan tidak boleh mempunyai autoriti sendiri dengan menggunakan kuasa ordinan tersebut.   

 

Beralih kepada komen daripada Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad hakikatnya juga mengikuti rapat mengenai isu ini. Menurutnya, beliau menyatakan bahawa mahu menyerahkan nasib jawapan mengenai pergelutan masalah ini kepada keputusan mahkamah itu sendiri.

 

Oleh itu, pergelutan antara kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan persekutuan dalam hak minyak ini masih berterusan hinggalah sekarang.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…