fbpx

Pinjam Yen Langsai Hutang RM, Risiko Tinggi

Oleh : Kapital
13 Jun 2018 - 1:43 pm

Reading Time: 4 minutes

Post kali ini bukan untuk membincangkan sama ada tindakan Tun Mahathir membuat pinjaman daripada Jepun untuk membayar hutang negara adalah betul atau tidak. Tetapi, sekadar mahu berkongsi pengalaman, risiko serta cara menguruskan sebuah risiko dalam membuat hutang mata wang asing. 

 

Sebelum ini, Malaysia, Filipina bahkan Thailand juga pernah melalui sebuah pengalaman yang pahit dalam tindakan meminjam mata wang asing ini sebenarnya.

 

Dahulu, ketika pada tahun 1993-1995 (lebih kurang), banyak syarikat termasuk kerajaan negara-negara lain yang membuat hutang dalam mata wang dolar AS.

 

Kenapa? Hal ini kerana kadar faedah yang dikenakan adalah tersangat rendah. Ketika itu, kadar faedah di Malaysia mencecah 8% sedangkan di Amerika Syarikat hanya mencecah 3%-4%.

 

Bahkan, ia bukan sahaja dibuat oleh kerajaan, tetapi termasuk syarikat-syarikat. Apa yang lebih teruk, mereka tidak melindungi (hedge) posisi mereka untuk berdepan dengan risiko naik turun mata wang asing.

 

Maka, akhirnya kita semua tahu apabila berlakunya Krisis Kewangan Asia 1997-1998, mata wang negara-negara ini diserang oleh teruk oleh spekulator antarabangsa menjadikan ia jatuh merudum dengan begitu dahsyat.

 

Krisis kewangan Asia 1997-1998 melibatkan banyak negara Asia seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan Korea. Kredit: Wikimedia.

Kesannya?

 

Bayangkanlah sekiranya kita mempunyai hutang sebanyak RM10 juta dan mata wang kita pula jatuh tergolek sebanyak 100%. Maka, sekaligus hutang akan naik kepada RM20 juta. Sedangkan nilai aset syarikat masih sama kerana kerana aktiviti syarikat berlaku dalam negara. 

 

Ketika itu, adalah tersangat banyak syarikat yang jatuh bankrup selepas itu. Kadar hutang kerajaan kepada KDNK pun banyak melonjak naik.

 

Sejak dari itu, syarikat di Malaysia pun mempelajari dari kisah silam. Mereka hanya membuat pinjaman dalam dolar AS jika aset dan bisnes mereka dinilai dalam dolar AS. Juga, kerajaan pula hanya mempunyai 3% hutang yang dibuat dalam nilai mata wang asing. 

 

Selain itu, banyak syarikat yang sudah mula mengamalkan hegding, terutamanya jika mereka terdedah kepada risiko pertukaran mata wang asing sama ada melibatkan aktiviti pinjaman, pelaburan, eksport atau pun import.

 

Apa pula itu hedging? Hedging ialah sebuah kaedah dalam mengurangkan risiko. Currency hedging (perlindungan mata wang) adalah untuk mengurangkan risiko ketidakstabilan mata wang.

 

Bagaimakan caranya untuk hedging?

 

Ia mempunyai banyak cara. Akan tetapi, yang paling mudah dan biasa adalah melalui apa yang dipanggil sebagai forward/future contract (kontrak niaga hadapan). Bagu memudahkan cerita, katakanlah kita membuat pinjaman sebanyak USD10 juta dan perlu dibayar dalam masa 10 tahun. Maka, kita dah tetapkan dari sekarang yang kita akan menjual Ringgit dalam masa 1o tahun bagi mendapatkan USD10 juta pada kadar RM4.5/USD.

 

Jadi, kita sudah tetapkan dari awal kadar tukaran mata wang kita pada masa depan. Tetapi, nilai mata wang tersebut bukanlah pada nilai mata wang sekarang, namun, biasanya ia adalah nilai yang sudah diambil kira perbezaaan kadar faedah antara dua negara tersebut. Oleh itu, realitinya, untuk membuat pinjaman dalam mata wang asing bagi mendapatkan kadar faedah yang murah adalah tidak berbaloi untuk dilindungi (being hedged) Hal ini kerana, akhirnya, nilai bersih tetap sama.

 

Akan tetapi, jika tidak dilindungi (hedge), maka kesannya akan terdedah kepada ketidakstabilan mata wang.

 

Apakah risiko mata wang Yen untuk mengukuh/jatuh berbanding Ringgit?

 

Tindakan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad mahu meminjam mata wang Yen bagi membayar hutang Ringgit adalah tidak berbaloi bagi pendapat sesetengah pihak. Kredit: AstroAwani.

 

Yen merupakan sebuah mata wang yang unik. Ini disebabkan ia merupakan ‘safe heaven’. Setiap kali pelabur berasakan akan munculnya sama ada krisis ekonomi, penurunan pasaran saham, risiko perang yang bertambah atau merudumnya ekonomi AS, pelabur akan lari kepada mata wang Yen. Oleh itu, mata wang Jepun ini akan mengukuh.

 

Katakanlah kita membuat pinjaman dalam Yen bagi tempoh 45 tahun. Apakah kemungkinan dalam tempoh ini akan berlakunya krisis ekonomi yang akan melonjakkan nilai mata wang Yen?

 

Memang tersangat tinggi. hal ini kerana paling kurang dalam setiap 10 tahun akan ada satu krisis ekonomi dunia.

 

Apa kemungkinannya Ringgit akan mengukuh terhadap Yen dalam masa 45 tahun?

 

Ada. Tetapi susah untuk dicakapkan.

 

Apakah pula kesan meggunakan Yen bagi membayar hutang Ringgit?

 

Apabila banyaknya wang Yen dialirkan ke dalam Malaysia, jadi secara teori asasnya, Ringgit akan mengukuh kerana ada permintaan (demand) yang kuat terhadapnya.

 

Tetapi, BNM tidak akan membenarkan ia berlaku kerana ia menyebabkan lebihan cairan mata wang asing dalam negara akan bertambah. Oleh itu, BNM akan mengambil langkah memegang akaun ini dan menjadikan nilai rezab bertambah.

 

BNM bertanggungjawab memastikan akaun cairan lebihan mata wang asing adalah di tahap yang stabil. Kredit: BNM.

 

Duit rezab Yen ini tidak akan dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya dilaburkan dalam aset tetap Jepun yang buat masa in, tidak memberikan sebarang kadar faedah. 

 

Tetapi, hasil masuk campur BNM tetap mempunyai kosnya sama ada melalui BNM bills atau repo operation. Kesannya, BNM perlu membayar faedah bagi menampung kos tersebut dan juga memegang aset tetap Jepun yang tidak pula memberi faedah.

 

Oleh itu, kerajaan dapat berjimat dari segi pembayaran kadar faedah, tetapi BNM pula rugi kerana pelu membayar faedah sedangkan duit keuntungan BNM juga menjadi hasil keuntungan buat kerajaan.

 

Bagi merujuk kepada kesan pembayaran hutang kerajaan dengan Yen boleh dirujuk di blog Nurhisham Hussein, ketua jabatan ekonomi di badan KWSP di sini. 

 

Oleh itu, adakah tindakan ini berbaloi? Adakah ia perlu?

 

Jawapannya adalah tidak. Seperti yang yang telah disebut-sebutkan, aras hutang Malaysia ini adalah jauh daripada dikira ‘bermasalah’.

 

Wallahu’alam.

 

Artikel ini diolah daripada artikel asal penulisan Izzuddin Yussof, pakar ekonomi di sebuah bank pelaburan.

 

Bagi memahami apakah logik Tun Mahathir membuat pinjaman mata wang Yen untuk membayar hutang Ringgit, anda boleh tekan di sini.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…