fbpx

Saksikan Hubungan Tegang antara AS & China dalam Isu Tarif Sehingga Kini

Oleh : Kapital
28 Jun 2018 - 12:18 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Presiden Trump memulakan perang perdagangan ini pada bulan Januari dengan mengenakan tarif kepada barangan import solar China.
  • Potensi perang tarif ini untuk melonjak kepada tahap yang lebih serius adalah tinggi kerana China diberitakan tidak gentar dengan ancaman AS.

 

Tahun 2018 kini adalah tahun di mana kita menyaksikan kemuncak semangat dasar perlindungan perdagangan (protectionism) antara negara-negara gergasi perdagangan di dunia antarabangsa. Dua negara gergasi yang giat ‘berperang’ tarif kini ialah Amerika Syarikat dan China.

 

‘Perang’ ini sebenarnya bukan satu kerisauan jika negara-negara yang terlibat ialah negara yang kecil ekonominya. Tetapi, ia adalah perang tarif antara dua negara yang mempunyai KDNK terbesar di dunia iaitu AS dengan KDNK bernilai USD19.39 trilion (IMF, 2017) untuk berada di tempat pertama manakala China pula di tempat kedua dengan KDNK bernilai USD12.01 trilion (IMF, 2017).

 

Jadi, perang tarif antara dua negara ini bukanlah sesuatu yang remeh. Oleh itu, apa kata kita menelusuri sendiri bagaimanakah ia berlaku bagi tahun 2018 ini.

 

Mengenali Asas Perdagangan antara Kedua-Dua Negara Ini

 

  1. Nilai perdagangan antara AS dan China adalah yang terbesar di dunia. Pada tahun lepas sahaja, nilai jumlah perdagangan antara kedua-duanya ialah lebih USD635 bilion.
  2. AS pada tahun lepas mengimport hampir sejumlah USD505 bilion dari China manakala sebaliknya China mengimport barang-barangan dari AS hanya sebanyak USD130 bilion sahaja (South China Morning Post)

 

Hal ini menimbulkan rasa kurang senang Presiden Trump kerana katanya, perdagangan ini adalah perdagangan defisit bagi AS. Nilai defisit tersebut adalah lebih kurang bernilai USD375 bilion.

 

Selain daripada itu, Trump juga berasakan yang China mencuri hak harta intelek (intellectual property) negara AS. Bahkan, beliau berasakan China terlalu agresif dalam memaksa syarikat-syarikat asing di China untuk berkongsi teknologi dan kemahiran dengan rakyat China.

 

Perang tarif antara AS dan China bagi tahun 2018 adalah dimulakan oleh Trump pada bulan Januari. Kredit: static.politico. 

 

Januari 2018

 

Presiden Trump memulakan tindakan perang tarif ini dengan mengenakan cukai terhadap barangan import mesin basuh dan solar. Langkah ini menimbulkan rasa tidak puas hati dari China kerana banyak barangan import solar ke AS adalah dari negara China itu sendiri.

 

Mac 2018

 

Dua bulan kemudian, Trump mengambil langkah yang lebih agresif dengan mengenakan tarif terhadap import besi dan aluminium. Nilai tarif yang dikenakan adalah sebanyak 25% bagi import besi dan sebanyak 10% bagi import aluminium.

 

Langkah ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan China, bahkan juga terhadap Kanada dan Kesatuan Eropah. Hal ini kerana, negara-negara ini adalah antara negara pengeksport besi dan aluminium terbesar ke AS manakala bagi China, negara ini adalah negara pengeksport besi terbesar di dunia.

 

Bagi China, tindakan AS ini sudah tentunya memberi kesan yang buruk kerana hasil eksport besi mereka akan semakin merudum nanti.

 

Sehubungan dengan itu, China menamakan langkah ini sebagai

 

“sebuah ancaman yang serius.”

 

Maka, ia bertindak untuk mahu membalas tarif tersebut nanti.

 

April 2018 (Permulaan)

 

Xi Jinping, presiden negara China ini mengotakan janjinya untuk melawan kembali dengan menguatkuasakan nilai tarif bernilai USD3 bilion yang merangkumi 128 jenis produk daripada buah-buahan dan daging hinggalah kepada paip besi.

 

Namun begitu, negara AS bukan sebaliknya mengambil langkah untuk mengundur diri. Bahkan ia bertindak memberi ancaman kepada China dengan mahu mengenakan tarif yang tinggi sehinggga mencecah USD50 bilion kepada China.

 

Respon yang diberikan Trump terhadap tindakan China ini berlaku tidak sampai 24 jam selepas pengunguman Xi Jinping.

 

Sehubungan dengan itu, Perwakilan Perdagangan AS memberikan cadangan untuk mengenakan tarif sebanyak 25% terhadap banyak barangan China iaitu hampir 1,300 barangan China! Barang-barangan tersebut adalah termasuk barangan aeroangkasa, mesin dan barangan industri perubatan.

 

Akan tetapi, China mengambil langkah untuk tidak gentar dengan AS.

 

Tanpa mengambil masa yang lama, pada keesokan harinya, China mengambil pendekatan untuk mengenakan tarif yang hampir sama nilainya iaitu berjumlah USD50 bilion kepada barangan import AS. Senarai barangan yang diputuskan oleh China adalah melibatkan barangan import kacang soya, pesawat udara dan automotif.

 

April 2018 (Pertengahan)

 

Semasa pertengahan bulan ini, AS mengambil tindakan terhadap salah satu syarikat teknologi terbesar dari China, ZTE.

 

Tindakan ini diambil kerana syarikat pengeluar teknologi ini didakwa tidak mengotakan janji-janjinya untuk mahu mengenakan denda kepada pekerjanya yang bertindak membantu negara Iran dan Korea Utara. Kata AS, syarikat ini telah melanggar perjanjian untuk tidak menghantar teknologi telekomunikasi kepada dua negara ini.

 

Namun, China pula bertindak mengeluarkan dapatan kajiannya bahawa AS telah membantu industri sorghum (sejenis makanan bijirin) yang akhirnya, telah merosakkan industri sorghum di China.

 

Maka, China mahu mengenakan sejumlah cukai import berjumlah 179% kepada barangan ini.

 

April 2018 (Akhir)

 

Pada 22 April, ketegangan pergaduhan tarif antara dua negara ini menjadi kendur apabila wakil-wakil kedua-dua negara merancang untuk berjumpa dan membincangkan isu panas ini.

 

Mei 2018

 

Wakil kedua-dua negara ini telah bertemu di Beijing dan perang tarif antara kedua-duanya menjadi semakin kendur.

 

Sebagai hasil pertemuan, China berjanji mahu mengimport lebih  banyak barang dari AS untuk mengurangkan perdagangan defisit negara AS dan AS juga berjanji mahu mengurangkan tindakan terhadap syarikat ZTE.

 

AS dan Beijing bertindak mahu bertemu untuk mengurangkan ketegangan isu panas perang tarif ini. Kredit: businessinsider.

 

Jun 2018

 

Bagi bulan ini, Trump kembali menghangatkan isu tegang ini dengan menyuarakan hasratnya untuk mahu menambah tarif bernilai USD200 bilion kepada hasil import dari China. Hal ini kerana, Trump berasakan yang China tidak berniat dalam mengundur diri dalam mengenakan tarif bernilai USD 50 bilion kepada AS sebelum ini.

 

Kesan kepada pengunguman mengejut ini, pasaran saham AS seperti S&P dan Nasdaq kesemuanya jatuh.

 

Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini Trump juga bertindak mahu menyekat berbagai-bagai pelaburan syarikat dari China ke dalam AS demi meneruskan hasratnya mendenda negara China kerana mencuri hak harta intelek syarikat-syarikat AS.

 

China pada ketika ini masih belum mengambil langkah untuk bertindak balas. Namun, jika melihat kepada reaksi dari Xi Jinping, ia kelihatannya tidak gentar dengan tindakan ini.

 

Adakah perang tarif ini akan masih berlanjutan dengan lebih sengit?

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…