fbpx

“Saya akan ubah ‘Politik Naungan’ demi survival UMNO”

Oleh : Kapital
29 Jun 2018 - 2:00 pm

Reading Time: 4 minutes

Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata budaya feudal yang mencipta ‘politik naungan’ hanya akan melemahkan parti itu.

 

Beliau berkata, budaya politik begitu akan menyebabkan UMNO hanya dianggotai oleh golongan yang mahukan projek dan imbuhan berbanding mereka yang ikhlas berkhidmat.

 

“Bila ini berlaku, akhirnya tiada kebebasan, nilai-nilai seperti keberanian akan mati, nilai-nilai untuk berkata benar tiada, untuk berlaku adil tiada.

 

“Yang hidup ialah budaya untuk mendewakan pemimpin, bersetia tanpa soal dan mengabdi tanpa berfikir. Hanya menyerah diri,” katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa diwawancara Kapital.my di Subang pada 27 Jun lalu.

 

[BERKAITAN: Wawancara: Khaled Dan Perjuangannya Meneruskan Kelangsungan UMNO]

 

Dalam wawancara itu, beliau menggesa UMNO kembali kepada matlamat perjuangan parti itu yang diwujudkan melalui keputusan dan kehendak akar umbi dengan membuang budaya feudal.

 

“Kita mesti kembali kepada nilai, berkata benar dan berjuang untuk bangsa dan bukan kepada pemimpin. Nilai untuk mendahulukan parti dan bukannya kepada presiden.

 

“UMNO mesti mewakili Melayu, bukannya ahli sahaja. Parti ini adalah untuk melindungi kepentingan Melayu dan rakyat Malaysia. Jadi kita nak parti yang ada keberanian dan prinsip,” katanya.

 

Dalam persaingan beliau untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO, beliau turut dicabar oleh enam calon lain.

 

Datuk Seri Khaled Nordin optimis UMNO masih sebuah parti yang relevan jika ia bersedia berubah. Kredit: mynewshub. 

 

Menyentuh mengenai kedudukan UMNO yang pertama kali bergelar parti pembangkang di peringkat persekutuan, Khaled Nordin kekal optimis kemampuan parti itu untuk menghadapi fasa baharu yang lebih mencabar.

 

Menolak tanggapan bahawa UMNO bakal berakhir, bekas Menteri Besar Johor itu bagaimanapun menggesa parti itu supaya segera mengenal pasti punca yang menyebabkan penolakan rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

 

Beliau percaya sekiranya semua isu yang berbangkit itu dapat ditangani dengan baik oleh UMNO, tidak mustahil orang Melayu dan masyarakat akan memberikan semula kepercayaan kepada parti itu untuk kembali membentuk semula kerajaan persekutuan.

 

Beliau menggariskan tiga perkara yang perlu diatasi oleh UMNO yang menyebabkan kekalahan dalam PRU lalu iaitu soal integriti, persepsi serta isu pendekatan populis Pakatan Harapan (PH) untuk menarik undi rakyat.

 

Dalam PRU lalu, Khaled Nordin tewas di kedua-dua kerusi yang ditandingi iaitu Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas.

 

Tokoh politik yang berpengalaman luas dalam pelbagai portfolio kementerian seperti pengajian tinggi, usahawan dan koperasi, kerja raya serta sebagai Menteri Besar Johor yakin kehadiran UMNO sebagai parti pembangkang dalam sidang Parlimen akan datang mampu memastikan proses ‘semak dan imbang’ boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan.

 

Hal ini kerana, parti orang Melayu itu mempunyai anggota Parlimen yang berpengalaman luas dalam soal pentadbiran awam dan pembentukan dasar.

 

“Kita tahu mana yang betul, populis dan sebenarnya baik tetapi tak mungkin dilaksanakan kerana ada halangan yang berbentuk struktural.

 

“Ini semua menjadi sandaran untuk menjadikan kita pembangkang berwibawa, berkesan, berpengetahuan dan rasional. Kita tidak akan menjadi pembangkang yang fitnah. Apabila kerajaan baharu dibentuk, kita juga tahu ada janji mereka yang tidak boleh dilaksanakan, populis dan ada perkara yang dinyatakan dahulu adalah fitnah,” katanya.

 

Faktor kekalahan UMNO yang berpunca daripada kegagalan kerajaan dahulu menangani kos sara hidup yang tinggi turut diulas oleh Khaled Nordin.

 

Pada kali ini, Datuk Seri Khaled Nordin juga bertanding sebagai Naib Presiden UMNO 2018. Kredit: umnopg.com 

 

Beliau berkata masalah ini berlaku di kebanyakan negara ketika ini yang sedang meningkat tahap kemajuan.

 

Sehubungan itu, peningkatan kemajuan itu, katanya, turut menyebabkan kos sara hidup turut naik yang memerlukan usaha kerajaan untuk menanganinya yang mana antara langkah yang baik adalah menaikkan gaji.

 

“Yang penting adalah bagaimana kerajaan membantu rakyatnya menghadapi rakyat yang hidup dalam negara berkos hidup tinggi. Di situ baru ada penilaian. Jadi di sinilah, apa yang kita buat (dulu), kita perlukan masuk campur dari kerajaan. Satu, saya tak kata ini cadangan saya (iaitu) naikkan gaji.

 

“Tapi, itu bergantung. Takkanlah kerajaan sahaja naik gaji, swasta juga mesti bersedia berkongsi dengan majikan akan keuntungan yang dia dapat. Dalam satu kajian yang saya baca, pihak swasta tidak bersedia untuk berkongsi keuntungan  dengan menaikkan gaji.

 

“Tetapi, jika swasta menaikkan gaji dan kerajaan pun selalu menaikkan gaji, mungkin salah satu cara membantu rakyat untuk hidup, walaupun kos meningkat,” katanya.

 

Khaled Nordin berkata, semasa zaman kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak, kerajaan lebih menumpukan bantuan kepada kumpulan sasaran berbanding memberikan subsidi kepada semua rakyat.

 

Semasa menjadi Menteri Besar Johor, Khaled Nordin turut berkongsi inisiatif yang diambil untuk membantu menangani masalah kos sara hidup.

 

“Di Johor kita buat kedai harga patut seperti imCoop (Koperasi Iskandar Malaysia Bhd), kita buat Muafakat Johor, kita beli kepada golongan sasar air percuma, kita beri kelas tuisyen percuma, kita sediakan pembelajaran online RM1 sebulan, kita ada pada peringkat akhir dahulu skim takaful untuk orang miskin mendapat rawatan pakar yang dibayar kerajaan.

 

“Bila kerajaan pungut hasil, ini sebahagiannya dibelanjakan untuk melakukan intervention,” katanya.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…