fbpx

Wajarkah Malaysia Mempunyai Kereta Nasional Kedua?

Oleh : Kapital
13 Jun 2018 - 10:02 am

Reading Time: 4 minutes

1. Sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua, Tun Dr Mahathir sepatutnya sudah faham bahawa rakyat Malaysia sememangnya tidak begitu gemar akan barangan keluaran sendiri melainkan makanan.

 

2. Apatah lagi jika ia berkaitan kereta nasional iaitu Proton. Tidak kiralah sekalipun projek kereta nasional yang bermula dengan modal RM150 juta ini sudah melunaskan pinjamannya RM800 juta dari kerajaan dan membayar cukai kepada kerajaan berjumlah RM24 billion melalui jualan 4 juta kenderaan.

 

3. Proton juga sekadar membantu pertumbuhan industri automatif sebanyak 5 kali ganda. Dahulunya sebelum Proton wujud, pasaran kereta di Malaysia hanyalah 23 ribu kereta setahun. Kini sudah 600,000. Agaknya jumlah ini masih rendah.

 

4. Kemungkinan juga Proton tidak begitu banyak mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang kekayaan dalam sektor automotif iaitu sekitar 77,000 pekerjaan dan 400 vendor. Atau Proton hanya mengelakkan aliran wang keluar sebanyak RM120 billion sejak penubuhannya. Ia sepatutnya lebih tinggi!

 

5. Malahan perkembangan inovasi melalui Proton juga tidak banyak kerana sekadar mendaftarkan 2,800 IPR (Intellectual Property Rights).

 

6. Oleh itu sebenarnya kita tidak perlukan pun Proton. Malahan ini semua salah kegagalan ‘power window‘ Proton berfungsi dengan baik pada model lamanya.

 

7. Tetapi rakyat Malaysia amat pemaaf kepada produk luar sekalipun kereta Honda sudah membunuh 5 nyawa di Malaysia kerana masalah beg udara mereka.

 

8. Kita juga tidak perlu ambil tahu bagaimana liciknya negara lain dalam membuka pasaran kepada kereta kita. Di China, syarikat automotif asing perlu melabur di China dalam R&D sehingga 2 billion Renminbi melalui dasar NDRC mereka.

 

9. Pegangan ekuiti sebanyak 50% harus diberikan kepada syarikat tempatan China. Ini sama sekali bertentangan dengan kebaikan Malaysia yang hanya menetapkan komponen lokal sebanyak 40% (termasuk tenaga buruh) dalam melayakkan kereta asing menikmati status kereta nasional.

 

10. Mengapa di sebalik sumbangan yang ‘sedikit’ oleh Proton ini kita perlukan projek kereta nasional kedua?

 

11. Jawapannya adalah: membina kapasiti.

 

Proton yang kini dijual pegangannya sebanyak 49% kepada Geely, bakal mempunyai penyaing baru dengan pelancaran syarikat automotif tempatan yang kedua oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Kredit: TheMalaysianReserve.

 

12. Projek kereta nasional kedua bukanlah sekadar mempunyai sebuah kereta yang memiliki kerakyatan Malaysia. Ianya lebih sekadar itu.

 

13. Sila jawab dua soalan ini-

 

– Berapa banyakkah industri yang melibatkan sebegitu banyak cabang kejuruteraan?

 

– Berapa banyak industri pula yang mempunyai kesan hiliran (spill-over) kejuruteraan yang tinggi seperti automotif?

 

14. Melalui sektor automotif, ianya berkait dengan tiga elemen utama iaitu mekanikal, elektronik dan robotik (automation). Inilah ramuan bagi mana negara yang ingin mempunyai sektor ‘knowledge-based’ serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

 

15. Bahkan, mereka yang terlatih dalam sektor automotif melalui pelbagai jurusan ini boleh bekerja pula di sektor lain kemudiannya. Contohnya pekerja elektronik boleh ke syarikat elektronik seperti Sony. Mereka di dalam mekanikal selepas di syarikat automotif boleh ke bidang Minyak & Gas. Yang pakar dalam pengendalian mesin robotik di kilang kereta pula boleh ke pengurusan kilang (factory setup).

 

16. Tidak dinafikan membina kapal terbang atau kapal selam juga mempunyai elemen tersebut. Namun kitaran produk bagi jenis pengangkutan tersebut sangat lama. Bahkan sehingga 10-15 tahun masih tidak ada model baru kerana pasaran yang amat terhad. (Berapa ramai pembeli kapal terbang?)

 

17. Ini berbeza dengan kereta yang kitarannya dalam 3-5 tahun. Ini sahaja membuktikan keupayaan sektor automotif dalam membina kapasiti bagi bakat tempatan (baca: pelajar kejuruteraan pelbagai aliran)

 

18. Ada yang berpendapat, mengapa tidak menjadi Thailand sahaja? ‘Detroit of Asia’ ini juga mencipta peluang pekerjaan yang begitu banyak.

 

19. Jika Malaysia mempunya aspirasi sekadar menjadi hub pemasangan kereta, sudah lama kita boleh lakukan di zaman Tan Chong Motor. Tetapi ini tidak menyelesaikan isu membina bakat tempatan dan pekerjaan bernilai tinggi.

 

Di Thailand, negara ini menyasarkan untuk menjadi hub kilang-kilang pemasangan komponen syarikat automotif asing sebagai matlamat utama berbanding mewujudkan jenama automotif sendiri yang berbeza dengan Malaysia. Kredit: FinancialTimes.

 

20. Pertama, hub pemasangan hanya melibatkan tenaga buruh berkos rendah. Kedua, kita tidak belajar dari sudut pengurusan (management). Dalam bahasa muda, kita hanyalah pekerja kilang yang memasang alatan.

 

21. Majukah negara sedemikian? Itukah yang kita janjikan kepada graduan-graduan cemerlang dan bakat terbaik kita? Suatu hari, apabila ada negara lain seperti Vietnam atau Laos yang boleh menawarkan tenaga buruh yang murah, hub tersebut akan berpindah serta-merta.

 

22. Ini adalah meritnya mengapa projek kereta nasional kedua adalah katalis yang diperlukan dalam membangunkan Malaysia.

 

23. Persoalan yang perlu ditanya sekarang adalah projek kereta nasional ini ke arah mana dan bagaimana pembiayaannya?

 

24. Berkenaan dengan teknologi, yang terbaik buat masa ini adalah ke arah hibrid. Full hybrid, bukannya plug-in hybrid seperti Mercedes dan BMW. (Kalau plug-in, kena caj di platform). Manakalah full hybrid diselaraskan dengan enjin petrol untuk caj. Dan yang mempunyai teknologi full hybrid ini adalah Toyota an Honda yang…..kebetulan dari Jepun. Eh.

 

25. Kereta elektrik, walaupun seksi, bukanlah sesuatu kemewahan yang kita mampu kerana kita bercakap dengan pelbagai pelaburan lain seperti infrastruktur (stesen caj bateri), kos bateri yang amat mahal (Jepun pun nak promosi kereta elektrik terpaksa subsidi RM30,000 per kereta), kos melupuskan bateri dan banyak lagi. Ia tidak terhad kepada bina kereta, JV dengan Tesla semata-mata.

 

26. Kemungkinan besar, inilah hala tuju yang sesuai buat projek kereta nasional kedua.

 

27. Okey, soalan cepumas- bagaimana pula pembiayaan projek ini? Adakah kerajaan terpaksa memberikan pinjaman ratusan juta atau bagaimana?

 

28. Buat masa ini, seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, projek ini perlu digerakkan oleh syarikat swasta dan kerajaan hanya bertindak selaku pemudah cara dan membantu dari segi ‘regulation’.

 

29. Jadi, apa masalahnya? Tak dapat nak beli kereta Mercedes pada harga Saga?

 

30. Jika itu sebabnya, harga kereta tetap tidak akan murah selagi mana ada duti eksais. Dan dalam keadaan kewangan yang teruk buat masa ini, mustahil kerajaan ingin menghapuskan duti eksais serta mengapa kita perlu bermurah hati kepada kereta luar sedangkan pasaran mereka juga amat terhad buat kita?

 

31. Di sinilah nilai kebangsaan kita diuji kerana kita perlu mengorbankan sesuatu dalam mendapatkan sesuatu. Kita korbankan peluang nak beli kereta asing murah (yang tak akan jadi murah pun) demi membina kapasiti tempatan.

 

Penulisan ini diambil sepenuhnya dari Radzi Tajuddin, CEO Hartabumi.com. 

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 12-01
Kapital

Malaysia Rugi Lebih Besar Sekiranya ECRL Dibatalkan

Reading Time: 2 minutes Pada tahun 2018, China merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia dengan nilai sebanyak USD42.5 bilion Penerusan projek ECRL dilihat…

Featured Image 22-01

Aplikasi Teknologi 5G

Reading Time: 2 minutes Teknologi 5G menjanjikan kadar latensi bermula serendah 1 ms Dianggarkan 5G boleh mencapai kelajuan melebihi 1 Gigabits sesaat…

Featured Image 19-01

ONE Championship Bakal Setanding UFC

Reading Time: 3 minutes Pada tahun 2018, nilai One Championship dilaporkan bernilai lebih daripada USD1 bilion Jumlah tontonan video One Championship di…

Featured Image 20-01

30%-40% Bekalan Beras Malaysia Diimport Daripada Luar Negara

Reading Time: 2 minutes Industri beras hanya menyumbang 2.3% sahaja kepada Keluaran Kasar Dalam Negara 74.1% daripada penghasilan beras dalam negara adalah…