fbpx

Adakah dengan SST harga akan turun?

Oleh : Kapital
18 Julai 2018 - 5:15 pm

Reading Time: 3 minutes

Oleh: Izzuddin Yussof

 

Kedua-dua cukai GST dan SST adalah dalam kategori cukai penggunaan. Dengan kata lain, ini adalah cukai yang hanya akan dikenakan jika rakyat berbelanja.

 

GST di Malaysia sebelum ini dikenakan pada tahap 6% untuk kedua-dua barangan dan perkhidmatan, manakala SST akan dikenakan pada 10% untuk barangan dan 6% untuk perkhidmatan.

 

GST ini konsepnya ‘semua kena melainkan yang dikecualikan’. Manakala SST ini ‘semua tidak kena melainkan yang dinyatakan’.

 

Maka umumnya GST dikenakan pada lebih banyak barangan dan perkhidmatan. SST yang dulu mengenakan cukai ke atas 359 barangan dan 73 perkhidmatan. Yang mana keduanya mewakili 46% daripada barangan pengguna.

 

Manakala GST mengenakan cukai ke atas 670 barangan dan perkhidmatan, mewakili 71% daripada barangan pengguna. Maka disebabkan GST dikenakan ke atas lebih banyak barangan, maka memang GST membawa kepada kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi.

 

 

Cuma persoalannya, untuk barangan yang tertakluk di bawah GST dan SST, antara 10% SST dan 6% GST, adakah harga akan turun?

 

Di dalam dunia yang ideal:

Dalam dunia yang ideal, di mana segala perubahan kepada cukai pengguna itu diserahkan kepada pengguna. Maka samada SST 10% atau GST 6% yang lebih murah akan bergantung kepada berapakah beza harga kilang / import dan harga akhir yang dijual kepada pengguna.

 

Kerana SST itu dikenakan ke atas harga kilang / import. GST pula secara efektifnya dikenakan ke atas harga akhir pengguna.

 

Contohnya. Kalau harga kilang RM10, dan harga akhir kepada pengguna adalah RM15. Maka 10% SST yang dikenakan pada harga kilang adalah RM1. Manakala 6% GST yang dikenakan pada harga akhir adalah RM0.90.

 

Maka di sini GST adalah lebih murah. Manakala jika harga kilang RM10 dan harga akhir kepada pengguna adalah RM20, iaitu beza yang lebih besar.

 

Related image
Kredit: Astro Awani

 

Maka 10% SST yang dikenakan pada harga kilang adalah RM1. Dan 6% yang dikenakan pada harga akhir adalah RM1.20.

 

Dengan kata lain, di dalam dunia yang ideal, samada 10% SST adalah lebih murah berbanding 6% GST akan bergantung kepada berapakah beza harga kilang / import dan harga akhir yang dikenakan kepada pengguna.

 

Antara barangan yang akan lebih tinggi harganya di bawah SST adalah kereta. Ini kerana kereta biasanya mempunyai rantai bekalan yang pendek dengan harga kilang / import yang tidak banyak bezanya dengan harga akhir. Sebab itulah Proton sudah mengumumkan dari awal yang mereka berkemungkinan akan menaikkan harga di bawah SST.

 

Image result for gst kereta
Kredit: FMT

 

Manakala barangan seperti kosmetik yang biasanya mempunyai mempunyai beza harga yang besar antara harga kilang / import dengan harga pengguna akan lebih mahal di bawah GST, maka barang sebegini patutnya boleh kita saksikan penurunan harga di bawah SST.

 

Itu dalam dunia yang ideal.

 

Realitinya:

Namun realitinya samada perubahan cukai pengguna itu ingin diserahkan kepada pengguna atau tidak adalah berada di tangan peniaga.

 

Umum kita ketahui, peniaga lebih berkemungkinan besar untuk menyerahkan kenaikan kos kepada pengguna yang akan membawa kepada kenaikan harga.

 

Manakala jika berlaku pengurangan kos, peniaga lebih berkemungkinan besar untuk menyerap penurunan kos ke dalam kocek sendiri, membawa kepada keuntungan yang lebih besar. Maka tidak akan berlaku penurunan harga.

 

Image result for gst sst
Kredit: FMT

 

Maka jawapan kepada persoalan ini?

 

Pertukaran GST kepada SST berkemungkinan rendah akan membawa kepada penurunan harga yang ketara. Malahan turut terdapat risiko penurunan cukai GST kepada kadar sifar tidak menurunkan harga barangan, manakala pengenalan semula SST akan menaikkan lagi harga barangan.

 

Jika ada pun penurunan harga, ianya lebih kepada aktiviti perkhidmatan yang tidak akan dikenakan cukai di bawah sistem SST.

 

Penulis merupakan  ahli ekonomi.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…