fbpx

CEO Syarikat Swasta Terima 3-5 Kali Ganda dari GLC

Oleh : Kapital
19 Julai 2018 - 12:00 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Pembayaran gaji CEO yang tertinggi di syarikat swasta adalah sebanyak RM168 juta berbanding di syarikat GLC iaitu RM33.89 juta.
  • Menurut Prof Gomez, pembayaran gaji kepada CEO GLC perlu seimbang antara sebagai motivasi mereka dan tanggungjawab mereka dalam pembangunan sosioekonomi.

 

Sebelum ini, Kapital.my ada melaporkan mengenai lima individu pembayaran gaji yang tertinggi kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dihebahkan ada sehingga mencecah RM33 juta setahun.

 

Adakah Gaji GLC Malaysia Terlalu Tinggi?

 

Mengulas lanjut mengenai isu ini, Perdana Menteri melahirkan rasa kurang senang dengan pembayaran gaji yang tinggi dan mahu agar ia dikurangkan serta selaras dengan prestasi syarikat yang ditadbir.

 

Kata beliau,

“Gaji-gaji yang dibayar adalah sedikit tinggi berbanding gaji para menteri, tetapi, jika mereka mempunyai prestasi yang baik, kita akan membayar (mereka) dengan bonus.”

 

Ujar lagi,

“Jika tidak (berprestasi baik), mereka tidak akan menerima pendapatan yang tinggi seperti sekarang dan kami akan menukar pentadbiran supaya kita dapat hanya melantik daripada kalangan professional sahaja,”

 

Di samping itu, Perdana Menteri juga berhasrat mahu mengurangkan jurang pembayaran gaji yang meluas antara CEO di syarikat-syarikat GLC dengan gaji para menteri dan penjawat awam.

 

Tun Mahathir telah mengambil langkah memotong gaji para menteri sebanyak 10% dan kini mahu agar gaji CEO di syarikat-syarikat GLC juga dikurangkan. Kredit: The Star. 

 

Maka disebabkan itulah, Tun Mahathir akhirnya mengambil keputusan untuk mengurangkan gaji ketua pegawai eksekutif dalam syarikat-syarikat GLC berbanding untuk memilih menambahkan gaji para menteri.

 

Hal ini juga adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan bebanan kos tanggungan kerajaan yang bertambah apatah lagi dengan hutang-hutang kerajaan yang semakin meninggi.

 

Jika diteliti dengan lebih lanjut, sememangnya gaji CEO di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan adalah lebih tinggi daripada gaji para menteri yang dibayar pada sekitar RM15,000 – RM22,000 sebulan.

 

Secara rekod, Gaji CEO Maybank umpanya iaitu Datuk Abdul Farid Alias, telah dibayar sebanyak RM10.11 juta pada tahun lepas manakala gaji CEO Sime Darby Berhad, Tan Sri Bakke Salleh pula dibayar sebanyak RM7.86 juta.

 

Oleh itu, jika mengambil kira jumlah nilai secara purata bagi tempoh sebulan, gaji kedua-dua CEO ini adalah sebanyak RM842.5 ribu sebulan dan RM655 ribu sebulan.

 

Tidak cukup dengan itu, dapatan kajian daripada akhbar The Edge ada melaporkan mengenai 40 senarai CEO syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang dibayar gaji paling tinggi.

 

Tan Sri Bakke Salleh dibayar sebanyak RM7.86 juta pada tahun lepas. Kredit: edgemarkets.

 

Melalui hasil dapatan kajian tersebut, ia menunjukkan yang purata gaji yang dibayar kepada CEO syarikat GLC adalah pada RM2.28 juta setahun atau RM190 ribu sebulan.

 

Ia adalah sebuah nilai gaji yang tinggi.

 

Walaupun demikian, perkara ini menimbulkan satu tanda tanya kepada masyarakat sama ada gaji mereka adalah selayaknya dibayar sedemikian atau sebenarnya tidak. Hal ini adalah kerana, jumlah tersebut sebenarnya jauh lebih kecil berbanding gaji CEO syarikat swasta.

 

Bagi syarikat swasta, status pembayaran gaji mereka adalah lebih mewah berbanding dengan gaji syarikat-syarikat GLC.

 

Bahkan, secara puratanya gaji CEO di syarikat swasta mendapat pembayaran secara purata RM21.29 juta atau RM1.77 juta sebulan. Angka ini sudah pastinya jauh meninggalkan gaji CEO di syarikat-syarikat GLC.

 

Berikut di bawah adalah jadual mengenai lima ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam syarikat GLC dan swasta mengikut nilai pembayaran gaji yang tertinggi.

 

Jadual pembayaran gaji tertinggi bagi 5 individu CEO di syarikat GLC dan swasta.

 

Melalui jadual tersebut, kita dapat perhatikan yang pembayaran gaji yang tertinggi kepada syarikat GLC adalah sebanyak RM33.89 juta kepada Dr Tan See Leng dari IHH Healthcare Berhad.

 

Nilai tersebut adalah jauh lebih kecil apabila dibandingkan dengan jumlah pembayaran gaji yang tertinggi dalam syarikat swasta iaitu Tan Sri Lim Kok Thay dari Genting Berhad sebanyak RM168 juta setahun.

 

Sehubungan dengan itu, bagi menyelesaikan isu ini, Prof Terence Gomez seorang pensyarah ekonomi dari Universiti Malaya menyatakan bahawa inisiatif kerajaan untuk mahu mengurangkan gaji CEO syarikat-syarikat berkaitan kerajaan harus diteliti dengan lebih mendalam.

 

Hal ini kerana, ia bagi menyeimbangkan nilai gaji yang tinggi sebagai motivasi kepada CEO syarikat-syarikat GLC dalam menonjolkan prestasi yang cemerlang dengan jumlah tanggungan dan tanggungjawab asal GLC.

 

Menurutnya lagi, peranan GLC bukanlah semata-mata untuk menjana keuntungan yang tinggi akan tetapi, ia mempunyai peranan sosioekonomi untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan ekonomi rakyat.

 

Dengan pembayaran gai sebanyak RM168 juta pada tahun lepas, Tan Sri Lim Kok Thay muncul sebagai CEO dengan gaji tertinggi di Malaysia pada tahun lalu melalui Genting Berhad. Kredit: malaymail.com  

 

Oleh itu, pembayaran gaji yang tinggi juga adalah penting untuk memotivasikan diri mereka dalam menggalas tanggungjawab ini.

 

Namun, kata beliau, gaji CEO di GLC tidak perlu dibayar dengan terlalu mewah kerana jumlah risiko yang ditanggung mereka tidaklah sebesar syarikat-syarikat swasta.

 

Katanya, syarikat-syarikat GLC tidak menanggung kesukaran mendapatkan bantuan kewangan seperti yang dihadapi syarikat-syarikat swasta. Dalam struktur syarikat-syarikat swasta, keseluruhan risiko tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh CEO syarikat.

 

Apatah lagi dengan kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada syarikat GLC dalam mendapatkan pelbagai bantuan kerajaan dan akses berbanding syarikat-syarikat swasta.

 

Maka disebabkan itulah, gaji CEO di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak boleh diberikan dengan terlalu tinggi dan pada masa yang sama tidak pula menjadi terlalu rendah untuk memotivasikan mereka dalam menjalankan tanggungjawab pembangunan sosioekonomi negara dan masyarakat.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…