fbpx

Chatime VS Tealive: Pusingan Akhir?

Oleh : Kapital
04 Julai 2018 - 12:00 pm

Reading Time: 5 minutes
  • La Kaffa, syarikat pemilik Chatime tidak berpuas hati apabila Loob Holding meletakkan bahan-bahan lain dalam minuman tanpa mengadakan perbincangan.
  • Status Tealive akhirnya tergugat teruk dan barang kali akan terpaksa menutup perniagaannya.

 

Adakah kita perasan dengan kemunculan secara tiba-tiba jenama air bubble tea Tealive yang mempunyai pelbagai perisa di gedung-gedung pasar raya? Sebelum ini, kebanyakan dari kita hanya melihat produk minuman seumpama ini di kedai Chatime, namun bermula pada bulan Februari 2017, kehadiran  kedai outlet Tealive tiba-tiba sahaja memenuhi ruang pasar raya ibarat cendawan yang baru tumbuh selepas hujan.

 

Apatah lagi dengan kedua-dua perniagaan ini mempunyai konsep dan kedai yang sememangnya hampir serupa.

 

Bahkan, tidak cukup dengan itu, kini kita mendengar pula bahawa Tealive diarahkan tutup oleh mahkamah Malaysia selepas disaman oleh Chatime itu sendiri baru-baru ini. Apakah yang sebenarnya terjadi?

 

Bagi mereka yang belum mengetahui, pada 27 Jun 2018 yang lalu, Mahkamah Rayuan telah mengarahkan Tealive yang dipunyai oleh Loob Holding Sdn Bhd untuk menutup semua bisnes operasinya selepas diputuskan bersalah terhadap syarikat Chatime yang dimiliki oleh La Kaffa International Co Ltd dari Taiwan.

 

Hal ini kerana, La Kaffa mendakwa yang Tealive sudah melanggar undang-undang perjanjian sebagai francaisnya dan telah mengubah bahan-bahan minuman ini tanpa persetujuan syarikat La Kaffa sebagai syarikat induk francais.

 

Akan tetapi, kisah ini hakikatnya melibatkan beberapa lagi isu dan perbalahan terdahulu yang menyebabkan hubungan antara dua syarikat ini menjadi tegang.

 

Pergaduhan antara Tealive dan Chatime sudah berlanjutan hampir dua tahun. Kredit: thevocket.com 

 

Awal-Awal Permulaan Kes

 

Bermula pada 6 Januari 2017, La Kaffa dalam sidang media mengumumkan secara mengejut yang ia mahu menamatkan kontrak francais Chatime daripada Loob Holding. Kontrak tersebut yang sepatutnya berakhir sehingga tahun 2041 menyaksikan yang La Kaffa akan mengambil alih sebanyak 165 cawangannya di Malaysia.

 

Pengunguman ini ternyata mengejutkan banyak pihak terutama Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding itu sendiri, Bryan Loo.

 

Kata Bryan Loo,

“Sebelum mereka pergi, mereka memberitahu kami untuk tidak bimbang dengan penamatan perkhidmatan kerana, ‘kesemua ini boleh dibincangkan’. Kemudiannya, pada keesokan hari pada pukul 9.00 pagi, bam! Sidang media (mengumumkan penamatan kontrak).”

 

Bagi La Kaffa, keputusan ini diambil kerana atas dua faktor iaitu pertamanya, kegagalan Loob Holding dalam mematuhi bahan-bahan pembuatan minuman Chatime dan keduanya adalah, Loob Holding dikatakan gagal membayar sejumlah royalti yang berkenaan kepada La Kaffa.

 

Menjawab mengenai isu ini, Bryan Loo berkata yang tambahan bahan pembuatan minuman ini adalah hanya beberapa bahan seperti Horlicks dan Cadbury bagi menambahkan gaya rasa pilihan tempatan sahaja.

 

Bahkan, tidak cukup dengan itu, terdapat ura-ura daripada pihak Loob Holding yang ia pernah berasa kecewa dengan kehadiran pakej 3 dalam 1 susu serbuk Chatime yang dijual di Malaysia. Akan tetapi, ia tidak pula dijual melalui syarikat Loob Holding sebagai francais.

 

Hal ini sudah tentu menunjukkan seolah-olah wujudnya isu kurang kepercayaan yang diberikan oleh La Kaffa kepada Loob Holding.

 

Maka, La Kaffa membawa kes ini kepada mahkamah di Singapura dan bekerjasama dengan Loob Holding dengan menggunakan penyelesaian mahkamah secara bertutup (arbitrator).

 

Pada masa yang sama, setelah berasa kecewa dengan tindakan penamatan kontrak, Loob Holding tidak menunggu lama untuk keluar dengan jenama tersendiri untuk bangkit daripada kekalahan. Oleh kerana itulah, pada 17 Februari 2017 Tealive diwujudkan.

 

Dengan memakan kos sebanyak RM10 juta, sebanyak 161 francais Chatime daripada 165 cawangan telah dijenamakan kembali. Konsep perniagaan Tealive juga adalah sama seperti Chatime dengan produk minuman yang mempunyai pelbagai perisa dan perbezaannya adalah pada penambahan beberapa perisa yang Tealive mahukan.

 

Terdapat sumber yang menyatakan khadiran pakej 3-1 minuman Chatime ke dalam pasaran Malaysia tanpa melalui Loob Holding menyebabkan Bryan Loo kecewa. Kredit: Says.com 

 

Tidak lama kemudian, dalam tempoh yang singkat Tealive telah berkembang dengan pesat.

 

Sehubungan itu, Bryann Loo begitu yakin untuk menambah cawangannya daripada 165 buah kepada 250 buah. Bahkan, ia sudah merancang yang Tealive akan membuka lima cawangannya di Vietnam.

 

Tuduhan-Tuduhan La Kaffa yang Masih Tidak Berpuas Hati

 

Bagi pihak La Kaffa, ia berasakan yang ia belum mendapatkan haknya. Oleh itu, ia masih belum berputus asa untuk mengganggu perniagaan Tealive. La Kaffa sebelumnya pernah menuduh Loob Holding menggunakan bahan-bahan yang diragui yang tidak mendapat pengesahan daripada pihak La Kaffa seperti yang telah dijelaskan di atas.

 

Akan tetapi, Bryan Loo pantas menjawab persoalan tersebut dengan menyatakan bahawa ia adalah bahan-bahan yang halal. Katanya, tambahan bahan-bahan tersebut hanyalah beberapa perisa kegemaran tempatan seperti Cadbury dan Horlicks.

 

Di suatu sudut, ia jelas menunjukkan yang Loob Holding gagal dalam mematuhi syarat perjanjian francais yang menyatakan ia perlu mendapatkan persetujuan syarikat induk Chatime dari Taiwan ini.

 

Dalam sebuah isu lain, La Kaffa juga bertindak menuduh yang Loob Holding gagal membayar royalti mengikut masa yang dipersetujui. Akan tetapi, bagi mengulas mengenai isu ini, Bryan Loo mengatakan bahawa beliau berbuat demikian atas nasihat peguamnya mengenai beberapa isu yang muncul antara dua syarikat ini.

 

Walaupun demikian, nasib yang malang masih belum berhenti menghantui Loob Holding.

 

Garis masa perjalanan perniagaan Tealive dan Chatime di bawah Loob Holding Sdn Bhd oleh Kapital.my.

 

Pengakhiran Bagi Tealive?

 

Bermula pada 16 Mac 2018, Chatime Malaysia Sdn Bhd tampil menyaman Loob Holding Sdn Bhd kerana dikatakan “menyalah tafsir dan merosakkan nama Chatime” yang akhirnya menyebabkan ia digantikan dan djenamakan sebagai Tealive.

 

Dalam hal ini, Chatime bertindak menuntut dua permintaan (injuksi):

 

1) Arahan agar Loob menghentikan kesemua operasi Tealive atau perniagaan yang serupa seperti Chatime.

2) Loob Hodling mesti menyerahkan segala maklumat dan rahsia dokumen berkenaan Chatime.

 

Bagi siri pertama isu saman-menyaman ini, Mahkamah Tinggi Malaysia menerima saman Chatime bagi perkara yang kedua sahaja.

 

Oleh itu, bagi perkara yang pertama mahkamah bertindak menerima alasan Loob Holding yang ia bakal mengakibatkan hampir 1000 pekerjanya diberhentikan kerja. Jadi, mahkamah mahu mengelakkan perkara ini daripada berlaku.

 

Bagi siri kedua, La Kaffa masih tidak berpuas hati dan membawa kes ini kepada Mahkamah Rayuan. Kali ini, La Kaffa bertidak dengan lebih bijak dengan berhujah bahawa jika Loob Holding sudah pun melanggar hak dan perjanjian di bawah Seksyen 27 Akta Francais 1998 lagi, maka operasinya harus ditutup.

 

Sehubungan dengan itu, Mahkamah Rayuan memenangkan kes ini kepada La Kaffa dan mengarahkan Tealive untuk menuntup kesemua operasi perniagannya pada 27 Jun 2018.

 

Walaupun demikian, Bryan Loo diberitakan masih mahu membawa kes ini kepada rayuan di Mahkamah Persekutuan pula bagi menyelamatkan perniagaannya.

 

Bagi kes di Singapura sebelum ini berkenaan salah laku Loob Holding meletakkan bahan-bahan yang tidak dipersetujui ke dalam minuman Chatime, ia akan diberi kata putus pada penghujung bulan tahun ini.

 

Menang atau kalah, sama-samalah akan kita saksikan pada penghujung tahun ini.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…