fbpx

Gubah Wang Haram: Musuh Setiap Koruptor

Oleh : Izzuddin Yussof
05 Julai 2018 - 2:00 pm

Reading Time: 4 minutes

Money laundering atau dipanggil sebagai penggubahan wang secara haram dalam Bahasa Melayu adalah suatu aktiviti di mana seseorang itu ingin menjadikan duit haram yang diperolehnya menjadi sebuah hasil yang ‘sah’.

 

Duit haram tersebut boleh datang daripada apa sahaja jenis aktiviti, tidak kiralah sama ada melalui duit hasil rompakan bank, hasil aktiviti pelacuran, hasil korupsi serta rasuah dan juga boleh jadi ‘hasil’ daripada perbuatan mengelak bayaran cukai.

 

Ya. Perbuatan mengelak cukai dikira sebagai duit haram.

 

Tetapi, kenapa perlu bersusah payah untuk menggubah duit haram ini?

 

Alasannya ialah, kesemua bank dan institusi kewangan, atas arahan Bank Negara Malaysia, akan memantau dengan terperinci pergerakan duit di dalam akaun bank dan yang sewaktu dengannya.

 

Jikalau secara tiba-tiba berlaku kemasukan duit yang banyak ke dalam sesuatu akaun, sedangkan info latar belakang pemilik akaun itu tidak logik untuk menerima dan mempunyai duit sebanyak itu secara tiba-tiba, maka pihak bank akan membawa perkara ini kepada pihak BNM.

 

Juga, nama individu tersebut akan dimasukkan ke dalam senarai nama AMLA (Anti-Money Laundering Act).

 

Contohnya, terdapat seorang individu yang bekerjaya sebagai seorang jurutera. Gajinya katakanlah sebanyak RM5,000 sebulan. Hendak dijadikan cerita, pada satu hari tiba-tiba akaun dia mendapat kemasukan sejumlah wang RM30,000 setiap hari sehingga mencecah RM500,000.

 

Maka, di sini pihak bank akan memberitahu kepada pihak BNM. Nama jurutera tersebut akan dimasukkan dalam senarai AMLA dan kesemua bank akan mengetahui bahawa dia tersenarai dalam senarai AMLA. Sekaligus selepas itu, segala aktiviti kewangan dia akan ‘diperhatikan’ oleh semua bank dan BNM.

 

Bank yang berkaitan pula berkemungkinan akan menelefon individu terbabit, bertanyakan mengenai asal-usul wang tersebut dan malahan, BNM juga berkemungkinan menghubungi jurutera tersebut. Akan tetapi, tiada tindakan yang akan diambil melainkan wujudnya pihak yang melakukan laporan polis terhadap individu itu.

 

Akta AMLA diwujudkan di banyak negara antaranya adalah bagi mengelakkan aktiviti penggubahan wang haram. Kredit: acronymsandslang.com

 

Daripada  sudut yang lain, individu itu tidak akan diberitahu bahawa dia sedang diperhatikan atau tidak, termasuk sama ada namanya sudah direkodkan dalam senarai AMLA.

 

Jadi, bagaimanakah aktiviti penggubahan wang haram dilakukan?

 

Ideanya mudah, iaitu dengan menjadikannya kelihatan sebagai hasil daripada pendapatan yang sah.

 

Secara praktikalnya, ia boleh dilakukan dengan tiga medium:

 

1) Perniagaan

2) Pelaburan

3) Perjudian

 

Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa terdapat kedai jam berstatus mahal, berjenama tinggi, tetapi tidak pernah pula munculnya pelanggan? Akan tetapi, kedai ini masih mampu untuk terus berniaga?

 

Ini kerana ia boleh jadi yang ‘hasil’ pendapatan mereka sebenarnya datang dari wang haram. Bukannya daripada aktiviti menjual jam beratus ribu Ringgit tersebut.

 

Pernahkah anda tertanya-tanya mengapakah masih ramai individu yang membuat movie yang tidak mempunyai peminat dan penonton dengan kadar kutipan hanya beberapa ribu Ringgit sedangkan kosnya adalah berjuta tetapi ia masih terus-menerus dilakukan?

 

Sebabnya, wang untuk membuat movie tersebut boleh jadi datang daripada wang haram. Untung pula tidak diutamakan kerana semua kos berjuta-juta itu dibayar oleh syarikat sendiri.

 

Perbincangan ini baru hanya dari sisi pertama iaitu perniagaan. Sebenarnya, terdapat banyak lagi cara yang lain. Malahan, syarikat yang dibina secara sah dan membuat untung pun boleh terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.

 

Cara kedua adalah melalui melalui pelaburan. Ini adalah sebuah cara yang turut biasa digunakan. Mengapa? Hal ini kerana, nilai aset itu ialah subjektif.

 

Katakanlah kita mahu melabur ke Cayman Island dengan nilai berjumlah RM10,000. Kemudiannya, kita membawa pulang ke Malaysia dengan menghebahkan yang hasil pelaburan kita meraih keuntungan bernilai 100 kali ganda menjadi RM1 juta.

 

Bagi pihak berkuasa, mereka susah untuk mahu membuktikan sama ada keuntungan itu memang datang daripada hasil pelaburan atau ia sebenarnya sudah diseludup masuk agar dapat dijadikan seperti sebuah keuntungan dari kaca mata manusia lain.

 

Hal ini kerana, mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengetahui aktiviti pelaburan kita di Cayman Island.

 

‘Money laundering’ adalah popular dalam mana-mana aktiviti penyelewengan wang di mana-mana negara. Kredit: Huffingpost.com 

 

Atau kita ada membeli seutas beg tangan berjenama Bijan. Dengan harga bernilai RM50,000, ia kemudian mempunyai pelanggan yang ingin membelinya dengan harga RM500,000. Ini pun adalah subjektif. Transaksi ini kelihatannya seperti transaksi biasa ‘willing buyer willing seller.’

 

Begitu juga dengan contoh kes mengenai dua orang yang berjudi di kasino. Eh, eh, tiba-tiba menang besar pula. Maka, ia pun akan menjadi hasil duit yang ‘sah’ kerana kedua-duanya berpakat untuk memastikan siapa yang akan menang. Ingatkah lagi kita dengan kes judi duit haram yang melibatkan Leonardo DiCaprio?

 

Di samping itu, kaedah penggubahan itu boleh dijadikan beberapa lapis sebagai tambahan untuk mengaburkan mata pihak luar.

 

Misalnya, pada permulaan, seorang penyamun boleh mengambil pelakon A berlakon dalam sebuah filem yang besar. Bayarannya pula mahal. Untung rugi adalah tidak dipedulikan.

 

Selepas itu, kita berjudi pula dengan pelakon A tersebut dengan memastikan pelakon A itu kalah. Maka duit tu akan kelihatan seperti hasil yang sah untuk penyamun tersebut.

 

Terkini, risiko penggubahan wang haram boleh juga muncul melalui Bitcoin. Memandangkan proses jual beli dan pertukaran wang kripto boleh dibentuk agar mustahil untuk dijejak jika dimahukan oleh para pengguna, maka BNM mengambil banyak langkah yang ketat dalam memastikan aktiviti penggubahan wang haram melalui wang kripto tidak dilakukan.

 

Menggunakan Bitcoin adalah merupakan langkah terkini dalam aktivit penggubahan wang. Kredit: forbes.img.

 

Selepas itu, tahun demi tahun penjenayah dalam penggubahan wang haram menjadi semakin kreatif dalam melakukan transaksi. Sebab itu jugalah aktiviti ini menjadi semakin sukar untuk dijejaki dan pihak berkuasa juga menjadi lebih tegas dalam memantau segala aktiviti kewangan.

 

Malahan, apa yang lebih menyedihkan ada juga pihak yang berani menggunakan institusi kebajikan seperti rumah anak yatim untuk aktiviti penggubahan duit wang haram. Hal ini kerana, aktiviti ‘derma’ dikecualikan daripada kategori penggubahan wang haram (maka sebab itulah RM2.6 billion itu dikatakan sebagai derma).

 

Jangan sesekali terfikir untuk terlibat dengan penggubahan wang haram. Anda boleh dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun dan denda minimum RM5 juta atau 5 kali ganda daripada nilai duit haram tersebut dengan mengikut nilai mana yang lebih tinggi.

 

Juga pada kebiasaannya, individu yang dituduh bukan sekadar dihadapkan dengan satu tuduhan, tetapi dengan berbagai-bagai tuduhan lain secara sekaligus bagi setiap kali transaksi penggubahan wang haram tersebut dilakukan.

 

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Yussof, pakar ekonomi dari sebuah bank pelaburan. 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…