fbpx

[KEMASKINI] Isu Khazanah: Apa Yang Kita Perlu Tahu Setakat Ini

Oleh : Kapital
30 Julai 2018 - 6:42 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Tun M sambut baik peletakan jawatan 9 lembaga pengarah kerana memudahkan kerajaan melakukan struktur semula Khazanah.
  • Sejurus peletakan jawatan, RM2 bilion dilaporkan hilang akibat penurunan saham syarikat berkaitan Khazanah.

 

Semalam negara sekali lagi dikejutkan dengan pengumuman kepimpinan baharu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di samping empat Ahli Lembaga Pengarah iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tan Sri Mohd Hassan Marican; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Sukhdave Singh serta Pengerusi Maybank Asset Management Group Bhd, Goh Ching Yin.

 

Pelantikan tersebut berkuat kuasa serta merta manakala untuk jawatan Pengarah Urusan Khazanah pula akan diumumkan kemudian.

 

Menjelaskan agenda selepas dilantik menganggotai Lembaga Pengarah, Mohamed Azmin berkata, tindakan terawal yang akan diambil adalah merombak syarikat pelaburan itu untuk mengembalikan matlamatnya sebagai wakil yang memiliki dan melindungi aset negara.

 

Hal ini demikian kerana, dakwa Azmin, peranan Khazanah telah berubah di bawah rejim Barisan Nasional apabila terlibat dalam aktiviti pelaburan yang buruk dan membawa kepada kerugian setiap tahun.

 

“Dalam tempoh beberapa tahun lalu, mereka mempelbagaikan pelaburan tetapi tidak memberi hasil yang baik. Hampir setiap tahun Khazanah dipaksa untuk menghapus kira (write off) pelaburan tertentu,” katanya.

 

Selain itu Mohamed Azmin turut membidas kenyataan kononnya pelantikan beliau dan Tun Dr Mahathir dalam Khazanah bertentangan dengan Manifesto Pakatan Harapan yang hanya melantik kumpulan profesional untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

“Betul kita tidak mahu orang politik pegang kedudukan penting dalam GLC dan badan statutori tetapi dalam konteks ini, Tun Dr Mahathir merupakan perdana menteri,” katanya.

 

Mohamed Azmin pula berkata pelantikannya sebagai anggota Lembaga Pengarah kerana jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang bertanggungjawab untuk merancang ekonomi negara.

 

Terdahulu, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik  Khazanah kerana terlibat dalam perkara ‘pelik’, akhirnya sembilan kepimpinan syarikat pelaburan strategik negara tersebut mengambil keputusan meletak jawatan serentak.

 

ARTIKEL BERKAITAN

Khazanah Tidak Lagi Membantu Bumiputera- Tun M

 

Antara yang meletak jawatan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif, Tan Sri Mohamed Nor Md Yusof; Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar serta tujuh lapan ahli lembaga pengarah iaitu Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Andrew Sheng Len Tao, Tan Sri Raja Arshad Raja Uda, Datuk Nazir Razak, Datuk Nirmala Menon dan Yeo Kar Peng.

 

Semua ahli lembaga pengarah ini mempunyai latar belakang yang pelbagai dalam bidang perbankan, kewangan, perakaunan dan insuran.

 

Alasan yang dikemukakan adalah untuk memberi laluan kepada kerajaan baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melaksanakan perubahan tertinggi dalam tempoh terdekat.

 

Image result for tun dr mahathir
Kredit: Utusan

 

Dalam responnya, Perdana Menteri menyambut baik tindakan sembilan ahli lembaga pengarah yang mana dianggap akan memudahkan kerajaan melakukan penstrukturan semula ke atas syarikat tersebut.

 

Beliau berkata, langkah yang diambil oleh kerajaan itu juga bukan bermotifkan membalas dendam. Walaupun mengakui tidak semua bekas pemimpin Khazanah itu melakukan kesalahan, tetapi bagi Tun Dr Mahathir, beliau sukar menerima perbuatan salah yang dibiarkan secara berterusan berlaku sebelum ini.

 

Antara polisi yang dirancang akan dilaksanakan termasuklah menilai semula gaji tinggi yang diperoleh kepimpinan Khazanah terdahulu. Menurut Tun Dr Mahathir, pemberian intensif selepas ini adalah berdasarkan kepada prestasi dan bukannya mengikut nilai ukuran sektor swasta.

 

Peletakan jawatan itu turut mendapat reaksi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai perbuatan yang bijaksana.

 

Image result for lim guan eng
Kredit: NST

 

Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri itu berkata, masa depan Khazanah akan ditentukan oleh Perdana Menteri yang mempunyai kuasa muktamad dalam menentukan pelbagai perkara seperti hala tuju syarikat dan pelantikan pengarah baharu.

 

Walaupun Khazanah menjadi sasaran kritikan Tun Dr Mahathir sebelum ini, namun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan dana pelaburan negara itu masih berada pada landasan yang betul.

 

Beliau berkata Khazanah tidak disalahguna oleh mana-mana pihak untuk mendapatkan kepentingan bagi diri atau kumpulan tertentu, sebaliknya telah menunjukkan komitmen meningkatkan dana untuk negara.

 

Bekas Pengerusi Khazanah itu turut menyatakan perbezaan antara Khazanah dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd yang mana ditubuhkan untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam bidang perniagaan.

 

Image result for khazanah nasional
Kredit: The Star

 

Sementara itu, menurut Najib, Khazanah pula berfungsi untuk membina syarikat yang mempunyai daya saing di peringkat antarabangsa serta meningkatkan kumpulan yang berbakat yang mana mempunyai kepentingan untuk kemakmuran negara.

 

Kebimbangan tentang hala tuju Khazanah selepas ini turut mendapat reaksi daripada ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin. Walaupun mengakui tidak terkejut dengan pengumuman peletakan jawatan itu, namun apa yang dibimbangi adalah kemungkinan syarikat itu akan dipecah-pecahkan dan dijual sebahagiannya kepada ahli perniagaan tertentu.

 

Sehubungan itu, beliau menyatakan harapan supaya kerajaan baharu dapat meneruskan model syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu di bawah kepimpinan baharu.

 

Susulan peletakan jawatan itu, enam daripada sepuluh saham utama Khazanah di Bursa Malaysia mengalami kerugian kira-kira RM2 bilion daripada nilai gabungan dalam masa sehari.

 

Image result for bursa malaysia
Kredit: NST

 

Antara syarikat yang menerima kesan buruk itu adalah Axiata Group Bhd apabila mengalami kerugian paling teruk. Selain Axiata, saham yang turut terkesan adalah Malaysia Airports Holdings Bhd, Telekom Malaysia Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, UEM Sunrise Bhd dan UEM Edgenta Bhd.

 

Pada 26 Julai lalu, saham Axiata dilaporkan ditutup pada RM4.27 seunit walaupun pada awal pagi dibuka pada RM4.46. Setakat 30 Julai, saham syarikat ini kembali meningkat apabila dibuka pada RM4.33 dan ditutup pada RM4.34 seunit.

 

Menjelaskan kehilangan RM2 bilion dalam tempoh yang singkat, Tun Dr Mahathir berkata kerugian yang berlaku ‘atas kertas’ itu tidak sebesar hutang RM1 trilion yang ditanggung kerajaan sekarang yang mana perlu dilunaskan bayarannya.

 

Selain itu, Tun Dr Mahathir turut membidas bahawa sebahagian pelaburan Khazanah juga gagal memberi keuntungan dan sukar dikesan kedudukan kewangannya ketika ini.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…