fbpx

Khazanah Tidak Lagi Membantu Bumiputera- Tun M

Oleh : Kapital
11 Julai 2018 - 1:10 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Tun M menyifatkan pelik untuk Khazanah terlibat dengan aktiviti perumahan dan pengambil alihan syarikat.
  • Khazanah sentiasa mengembangkan sektor pelaburan yang disertai termasuklah banyak terlibat dengan syarikat berteknologi tinggi. 

 

Baru-baru ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) terlibat dengan aktiviti korporat yang berkaitan perumahan dan pengambil alihan syarikat yang disifatkan sebagai ‘pelik’.

 

Hal ini kerana, Tun Mahathir berkata, sayap pelaburan kerajaan itu sudah lari dari landasan asal penubuhannya iaitu untuk membantu meningkatkan pemilikan saham dalam kalangan Bumiputera.

 

Justeru, selain daripada menggesa Khazanah kembali kepada matlamat penubuhan, Tun Mahathir turut menegaskan bahawa kerajaan akan menilai semula semua saham yang dimiliki sayap itu di dalam beberapa syarikat.

 

Khazanah pula dalam satu responnya, memaklumkan sedang berusaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut dari kerajaan dan pihak lain yang berkaitan berkenaan kritikan yang diterima itu.

 

Related image
Kredit: Justreadonline

 

“Ini adalah dengan tujuan untuk menjelaskan, mengesahkan serta membolehkan kami melaksanakan mandat sebagai dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas, 6 Julai lalu.

 

Jika diteliti, Khazanah memang terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti pelaburan termasuklah berteknologi tinggi dan e-dagang seperti Ali Baba, Skyscanner dan WeLab.

 

Contohnya pada tahun ini, Khazanah merupakan antara pelabur yang terlibat dalam pelaburan Siri-C bagi Ant Financial, yang merupakan syarikat bersekutu Ali Baba.

 

Kepentingan pelaburan ini pula adalah kemampuan untuk meningkatkan kepantasan pelan globalisasi platform bayaran nirtunai, Alipay dan pembangunan teknologi.

 

Penglibatan Khazanah dengan Alibaba juga bukan baharu, sebaliknya sudah membuat pelaburan dengan syarikat China itu pada 2016 lagi. Ketika itu, Khazanah terlibat dengan pelaburan untuk membiayai cabang logistik Alibaba iaitu Zhejiang Cainiao Supply Chain Managament Co.

 

Image result for Zhejiang Cainiao Supply
Kredit: China.org.cn.

 

Selain Khazanah, turut terlibat dalam pelaburan ke atas syarikat yang ditubuhkan pada 2013 itu adalah Temasek Holdings dari Singapura, Primavera Capital dari China dan GIC Pte. Ltd.

 

Pada 2017 pula, Khazanah telah melabur sebanyak RM4.22 bilion dalam 25 syarikat teknologi bertaraf antarabangsa. Keputusan pelaburan ini diambil kerana potensi yang akan diperoleh dari pelaburan dengan Alibaba.

 

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, sayap pelaburan itu terlibat secara aktif bukan sahaja kerana motif kewangan tetapi juga untuk membawa faedah kepada ekonomi, nilai strategik dan kepentingan masyarakat.

 

Image result for Tan Sri Azman Mokhtar
Kredit: The Star Online

 

Menurut Bernama, Khazanah mula diperbadankan pada 3 September 1993 dan diberi mandat untuk menguruskan aset komersial kerajaan pusat serta merancang pelaburan strategik yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara.

 

Bermula pada 2004, Khazanah mengambil pendekatan pelaburan yang lebih luas dan aktif termasuklah meningkatkan prestasi pegangan teras yang dimiliki sekarang di samping mengenal pasti peluang dalam sektor ekonomi dan geografi baharu.

 

Dalam sektor hartanah yang terlibat yang mana ada kaitan dengan kritikan Tun Mahathir, Khazanah berperanan dalam pembangunan wilayah Iskandar Malaysia melalui Iskandar Investment Berhad dan UEM Sunrise Berhad.

 

Image result for Iskandar Investment Berhad
Kredit: Iskandar Investment Bhd

 

Selain itu, Khazanah turut memiliki kepentingan di dalam 8990 Holdings Inc iaitu sebuah syarikat pemaju berpangkalan di Filipina.

 

Pelaburan yang dibuat Khazanah, melalui sebuah syarikat khas-Pasir Salah Investments Ltd adalah sebanyak RM215 juta bagi menguasai 8% kepentingan dalam syarikat itu.

 

Difahamkan, pengambilan ini dibuat bagi mencari solusi untuk perumahan mampu milik di Malaysia.

 

Menyentuh tentang pengambil alihan syarikat pula, pada Mac lalu, Khazanah dilaporkan telah membeli Pusat Perubatan Prince Court dari Petronas. Selain Prince Court, Khazanah juga pernah mengambil alih PLUS pada 2010 dan Malaysia Airlines (MAS) pada 2014.

 

Image result for prince court khazanah
Kredit: MH Online

 

Meneliti aktiviti yang Khazanah sertai, memang cukup mengagumkan kerana pulangan pendapatan yang dibawa untuk menambah perbendaharaan kerajaan. Apatah lagi Khazanah turut melakukan transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk memacu ekonomi negara.

 

Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCT) yang diumumkan pada 2004 dan dilaksanakan pada 2005 telah membawa banyak perubahan positif dalam pelbagai bidang melalui tiga prinsip iaitu Tumpuan Prestasi, Yayasan Pembangunan Negara dan Tadbir Urus dan Pengurusan Pemegang Kepentingan.

 

Selepas membawa manfaat kepada kehidupan pelbagai pihak berkepentingan seperti pelabur, kakitangan, pembekal, pelanggan GLC dan masyarakat umum., GLCT telah tamat pada 28 Julai 2015.

 

Tetapi berdasarkan kritikan Tun Mahathir ini, adakah ada ‘sesuatu’ yang disembunyikan yang tidak kita ketahui selama ini? Persoalan lebih penting apakah sumbangan yang telah Bumiputera peroleh daripada Khazanah?

 

Sama-sama nantikan laporan yang bakal Khazanah siapkan dalam tempoh terdekat.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Telur -01

Harga Telur Naik Lebih 10 Sen Sebiji Semenjak April

Reading Time: 2 minutes 60% daripada bahan kandungan makanan ayam ini perlu diimport daripada negara luar KPNKK sedang menyiasat kenaikan ini jika…

duit-gaji

Pemintaan Gaji ‘tidak realistik’ Punca Pengangguran

Reading Time: 1 minute Artikel ini pertama kalinya disiarkan di Berita Harian   KUALA LUMPUR: Pemintaan gaji ‘tidak realistik’ adalah antara alasan…

Tabung haji 1-01

SPV Mengambil Alih Aset Tabung Haji Bernilai RM19.9 bilion

Reading Time: 4 minutes Antara hartanah yang akan dipindahkan kepada SPV adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) SPV akan memberi sukuk…

SPV-01

Apa itu SPV?

Reading Time: 2 minutes SPV ni entiti yang ditubuhkan dengan satu tujuan khas sahaja, samada untuk beli aset (spt Danaharta), untuk financing…