fbpx

Lambakan Pekerja Asing: Rakyat Kata Pergi, Industri Kata Mari

Oleh : Kapital
05 Julai 2018 - 9:01 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Pekerja asing di negara kita dikatakan sudah mencecah lebih 6 juta orang sedangkan negara kini mempunyai 15.9 juta pekerja sahaja. 
  • Isu pekerja asing ini perlu diselesaikan dengan perbincangan yang teliti antara para majikan dan kesatuan pekerja. 

 

Pada pertengan bulan Jun yang lalu, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mengeluarkan cadangan daripada pihak kementerian untuk menggantikan tukang masak pekerja asing di restoran-restoran dengan pekerja tempatan.

 

Cadangan ini terus mendapat sokongan orang ramai yang bersetuju bahawa pekerja-pekerja asing sudah banyak memonopoli peluang-peluang pekerjaan kosong di Malaysia. Bahkan, bilangan penganggur menjadi semakin bertambah pada suku pertama tahun ini pada 508,900 orang berbanding suku keempat tahun lepas pada 507,800  orang (Jabatan Statistik).

 

Namun selepas itu, di sebalik suara-suara sokongan ini, suara-suara yang membantah cadangan tersebut tiba-tiba juga menjadi kedengaran oleh para pengusaha restoran yang meluahkan rasa gusar untuk mengamalkan langkah ini.

 

Ia menyebabkan kita terfikir-fikir, adakah usaha untuk mengurangkan bilangan pekerja asing di negara ini sememangnya susah?

 

Menurut para pengusaha restoran, terdapat dua faktor yang menyebabkan langkah tersebut perlu ditolak iaitu, keperluan masa dalam melatih pekerja tempatan dan keengganan pekerja tempatan untuk mengisi jawatan tukang masak yang ditinggalkan.

 

Ini hanyalah baru menurut kepada bahagian perniagaan restoran.

 

Jika kita teliti, idea membantah pengurangan pekerja asing juga muncul dalam industri perladangan. Menurut Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengarah Urusan syarikat Sime Darby, katanya kos buruh adalah menyumbang sebanyak 26% daripada jumlah kos perladangan.

 

Banyak pekerja asing yang datang ke negara ini juga adalah hasil daripada ajakan pengusaha-pengusaha tempatan. Kredit: thevocket.

 

Jika langkah mengambil pekerja tempatan dijalankan, ia akan membawa kepada kenaikan kos penggajian yang lebih tinggi daripada pekerja asing. Hal ini kerana, kos dalam mengambil pekerja tempatan adalah lebih apabila dicampurkan dengan kos sekuriti sosial SOCSO dan KWSP.

 

Malah, ia akan menjadi bertambah buruk sekiranya kerajaan PH berjanji untuk mahu menambahkan kenaikan gaji minimum daripada RM1000 (semenanjung) dan RM920 (Sabah dan Sarawak) kepada RM1500.  Kesannya, ia akan menambah kos pembuatan kepada 35%.

 

FGV pula melalui Pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata kos pengambilan pekerja asing kini sekalipun adalah tidak murah.

 

Sekarang ini pun pekerja asing di syarikat yang berasaskan perladangan memperoleh purata gaji sebanyak RM1,300 dan tidak termasuk lagi penyediaan tempat tinggal, cukai dan insurans. Gaji tersebut adalah hampir menyamai gaji minimum yang mahu diwartakan oleh kerajaan PH.

 

Selain itu, jika kita perhatikan, jumlah pekerja asing yang bekerja di negara ini pada tahun lepas dikatakan berjumlah 1.7 juta (Jabatan Statistik, Jun 2017). Daripada jumlah tersebut, pekerja dari Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 728,720 orang diikuti oleh Nepal (405,898 orang) dan Bangladesh (221,089 orang).

 

Jika diambil daripada jumlah tidak rasmi daripada dapatan orang ramai, jumlah pekerja asing sudah pun mencapai lebih 6 juta pekerja apabila dimasukkan dengan jumlah pekerja asing tanpa lesen.

 

Ia adalah begitu banyak kerana jumlah pekerja di negara kita adalah sebanyak 15.9 juta sahaja (Jabatan Statistik, suku pertama 2018). Oleh itu, peratusan jumlah pekerja asing ini adalah berjumlah 37.7% apabila dibandingkan dengan jumlah pekerja negara kita.

 

Bagi Datuk Abdul Halim Mansor, Pengerusi bagi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing adalah perlu. MTUC bermatlamat agar kadar pekerja asing kepada pekerja tempatan dikurangkan kepada 10:1 iaitu bermaksud, hanya terdapat seorang pekerja asing daripada 10 pekerja tempatan.

 

Datuk Abdul Halim Mansor bersetuju dengan usaha kerajaan mahu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam industri. Kredit: bharian.com 

 

Beliau juga menyanggah pendapat yang menyatakan bahawa pekerja tempatan kita adalah malas dan tidak berminat dengan pekerjaan-pekerjaan yang dipandang rendah tersebut.

 

Kata beliau, kini terdapat banyak pekerja tempatan yang mula bersikap tidak memilih dengan bekerja di stesen-stesen pam minyak yang sebelumnya dipenuhi dengan pekerja asing.

 

Selain itu, beliau menyeru agar para majikan menambahkan gaji pekerja. Dakwa beliau, banyak majikan memilih pekerja asing bukannya kerana mereka malas dan enggan, tetapi kerana kos mendapatkan pekerja asing yang murah yang tidak memerlukan bayaran SOCSO, KWSP dan bayaran bekerja lebih masa (overtime).

 

Ditambah lagi dengan kes kenaikan gaji para pekerja yang sedikit, ia adalah tidak selari dengan kenaikan produktiviti pekerja-pekerja tersebut.

 

Bagi menyokong hujah ini, pada tahun 2011, The Borneo Post melaporkan yang Bank Dunia ada mengeluarkan dapatan kajian bahawa bermula pada tahun 2000 hingga tahun 2008, kenaikan gaji yang dibuat adalah hanya pada 2.6% setahun.

 

Ia adalah tidak munasabah kerana kenaikan produktiviti adalah pada kadar 6.7%. Oleh itu, dapat dijangkakan yang majikan dan syarikat meraih keuntungan yang meningkat tetapi tidak disalurkan kepada gaji para pekerja.

 

Walaupun sedemikian, dilema antara perdebatan para peniaga dan industri dengan golongan pekerja adalah masih berterusan.

 

Janji PH untuk mengurangkan pekerja asing dan menaikkan gaji minimum adalah mulia, akan tetapi perlu perbincangan yang lebih teliti. Kredit: malaysiadateline. 

 

Jika pekerja asing dikekalkan, rakyat tempatan terpaksa bersaing dengan pekerja asing untuk mendapatkan kerja di tanah air mereka sendiri. Malahan, ia adalah tidak baik buat ekonomi yang akan terlalu fokus kepada pertumbuhan pekerjaan berkemahiran rendah untuk mendapatkan buruh berkos rendah daripada kalangan pekerja asing.

 

Jika pekerja asing dikurangkan pula, ia bakal memerlukan penyediaan latihan yang baru buat industri untuk melatih pekerja tempatan.

 

Apatah lagi ditambah dengan kenaikan kos pembuatan dengan pengambilan pekerja-pekerja tempatan, ia memungkinkan wujudnya gangguan kepada prestasi syarikat terutama perusahaan syarikat-syarikat kecil dan sederhana (PKS) yang membentuk 97.7% daripada jumlah perusahaan negara ini.

 

Dilema.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…