fbpx

PTPTN Antara Kecekapan, Keadilan dan Kelestarian

Oleh : Kapital
07 Julai 2018 - 8:30 pm

Reading Time: 3 minutes

Sejak penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada tahun 1997, pelbagai usaha diperkenalkan untuk meringankan beban peminjam.

 

Bagaimanapun, ia bukan jalan penyelesaian sebaliknya memberi implikasi kepada kelestarian PTPTN kecuali kerajaan mempunyai sumber dana mencukupi tanpa bergantung kepada bayaran balik.

 

Tulisan ini memberi fokus kepada isu kecekapan, keadilan dan kelestarian PTPTN. Ia selaras dengan memorandum Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia atau PenDaPaT terhadap cadangan memperteguh kelestarian PTPTN dalam memorandum Cadangan Penambahbaikian dan Reformasi Berkaitan Pendidikan Tinggi Malaysia kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, baru-baru ini.

 

PTPTN ialah tabung pendidikan yang diusahakan kerajaan bagi menyediakan sumber pinjaman kepada pelajar yang memerlukan.

 

Namun, PTPTN perlu mengimbangi antara peranannya untuk menjadi sebuah badan yang cekap serta lestari dan memperkasa konsep keadilan dalam mekanisme pembiayaannya.

 

Umumnya, kelestarian PTPTN bergantung kepada kecekapan operasi dan ini bermakna kejayaan kutipan balik bayaran pinjaman adalah faktor penting di samping penentuan pemboleh ubah lain seperti kadar ujrah yang bersesuaian, polisi berkaitan pengecualian bayaran balik serta kadar diskaun.

 

Kredit: Freemalaysiatoday.

 

Beban Bayaran

 

Tidak dapat disangkalkan sebahagian peminjam menghadapi kesulitan untuk membuat bayaran balik pinjaman disebabkan faktor ekonomi.

 

Berpandu kepada data Penyiasatan Gaji dan Upah Malaysia 2011, penulis menganggarkan beban bayaran balik pinjaman PTPTN dan dapatan kajian menunjukkan bahawa bayaran balik mencapai kadar 30% bagi graduan yang berada dalam kumpulan 10 peratus terendah mengikut taburan pendapatan graduan.

 

Namun begitu, sebahagian graduan mengambil sikap tidak endah untuk membayar ballik pinjaman walaupun mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.

 

Persoalannya bagaimana kerajaan dapat membentuk satu mekanisme pinjaman yang cekap, adil dan lestari. Dalam konteks ini, PenDaPaT berpandangan beberapa kaedah boleh dilakukan.

 

Pertama, pendekatan Income Contingent Loan (ICL) yang meletakkan kadar bayaran balik pinjaman berkadar dengan pendapatan akan dapat memastikan ansuran bulanan yang tidak membebankan serta membolehkan graduan membelanjakan wang ke atas barangan keperluan yang membawa kepada kelancaran dalam penggunaan (consumption smoothing) dan ICL mampu bertindak sebagai insuran atau jaminan kepada graduan yang kurang bernasib baik dalam pasaran pekerjaan.

 

Bagi memastikan pembayaran balik yang tidak membebankan, kerajaan boleh menentukan threshold ini dengan mengambil kira pendapatan graduan di Malaysia dan Pendapatan Garis Kemiskinan (GPK). 

 

Peminjam Culas

 

Sekiranya threshold yang diletakkan adalah terlalu tinggi, ia akan memberi impak kepada kelestarian PTPTN memandangkan jangka masa untuk kutipan bayaran balik akan mengambil masa lebih lama.

 

Cara paling mudah untuk menentukan threshold ini adalah dengan mendapatkan dua kali nilai PGK. Sebagai contoh, sekiranya nilai PGK Nasional adalah RM950 sebulan, maka nilai threshold diletakkan pada RM1900.

 

Kredit: Freemalaysiatoday.

 

Kedua, bagi mengatasi masalah berkaitan peminjam yang culas untuk membayar balik pinjaman, mekanisme kutipan balik pinjaman yang lebih sistematik perlu dilaksankan. Di Australia misalnya, kutipan bayaran balik dikendalikan oleh pusat kutipan cukai atau Australian Taxation Office.

 

Kelebihan Lembaga Hasil untuk memungut bayaran balik pinjaman adalah kerana ia mempunyai maklumat berkaitan pendapatan individu dan syarikat serta mempunyai kuasa undang-undang untuk mengambil sebarang tindakan.

 

Bagaimanapun, kerajaan boleh menggunakan mekanisme lain seperti pemotongan wajib melalui majikan sebagaimana yang dipraktikkan untuk caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

 

Langkah PTPTN untuk memberi pelbagai insentif bagi menarik minat ibu bapa untuk menabung bagi tujuan pendidikan adalah satu langkah yang bijak.

 

Adalah diharapkan dengan insentif akan memotivasikan masyarakat agar lebih peka terhadap kepentingan menabung.

 

Insiatif dan usaha yang berterusan amat perlu untuk menyedarkan masyarakat Malaysia khususnya golongan pelajar yang meminjam mengenai pentingnya kesedaran membayar semula pinjaman agar kelangsungan PTPTN terjamin dan generasi akan datang juga akan terus mendapat faedah.

 

Artikel ini dipetik dari akhbar Berita Harian, hasil penulisan oleh Prof Madya Dr. Russayani Ismail, pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM). 

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…