fbpx

Tiada Lagi Rundingan Terus, Empat Kontrak IPP Dibatalkan

Oleh : Kapital
19 Julai 2018 - 6:07 pm

Reading Time: 4 minutes

 


  • Kerajaan mengambil keputusan membatalkan kontrak empat IPP yang diperoleh secara terus daripada kerajaan terdahulu.
  • Dua daripada empat syarikat yang disyaki terkesan daripada pembatalan itu adalah Tadmax dan Ranhill.

 

Baru-baru ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, Sains dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memutuskan bahawa kerajaan akan membatalkan kontrak empat penjana kuasa bebas (IPP) yang diberikan semasa pentadbiran kerajaan BN sebelum ini.

 

Dalam satu pertemuan dengan pihak berkepentingan dalam sektor tenaga, beliau berkata kerajaan terdahulu telah meluluskan banyak kontrak IPP melalui rundingan terus dan penganugerahan terus kepada syarikat tertentu.

 

Justeru, selain daripada tindakan membatalkan kontrak projek yang berisiko rendah serta tidak memberi implikasi kos kepada kerajaan, terdapat kontrak yang akan disemak semula oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan.

 

Image result for yeo bee yin
Kredit: The Star

 

Menurut CIMB Research, semakan semula kontrak IPP itu hanyalah satu permulaan dan dijangka akan berlaku lebih banyak perubahan dari segi perundangan dan dasar di bawah kepimpinan menteri baharu itu.

 

Antara perkara yang disebut adalah risiko kepada penjana kuasa yang mana secara khususnya terhadap Perjanjian Beli Kuasa (PPA) yang semakin tamat tempoh serta penjana kuasa yang akan datang.

 

Hal ini kerana, penjana kuasa yang mana PPA hampir luput dalam tempoh terdekat berkemungkinan tidak akan dilanjutkan ekoran rizab kuasa yang berlebihan.

 

Dalam hal ini, para pemain industri bersetuju dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan tender terbuka berhubung projek-projek berkaitan pada masa akan datang.

 

 

Sebenarnya langkah ini bukanlah baharu kerana pada tahun 2011, Suruhanjaya Tenaga (EC) telah diberi mandat untuk mengendalikan pemberiaan jana kuasa berdasarkan kepada proses yang mempunyai persaingan sihat.

 

Berbeza sebelum itu apabila projek untuk membina penjana kuasa telah diberikan melalui rundingan terus yang mana telah menyebabkan berlaku masalah sehingga menyumbang kepada kadar kos elektrik yang lebih tinggi.

 

Syarikat awam yang terlibat dalam sektor penting seperti YTL Power International Bhd dan Malakoff Corp Bhd merupakan pemain penting. Kedua-dua syarikat ini terlibat secara meluas dalam projek kuasa konvesional dan menjual bekalan itu kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi PPA.

 

Image result for malakoff corp
Kredit: Malakoff

 

Selain dua syarikat itu, pemain baharu dalam sektor ini adalah Tadmax Resources Bhd yang mana secara langsung diberikan 1,000MW penjana Turbin Gas Kitaran Bergabung (CCGT) di Pulau Indah pada Ogos 2016.

 

Pengurniaan ini menimbulkan tanda tanya kerana Tadmax tiada rekod dalam projek membina jana kuasa, sebaliknya lebih dikenali sebagai syarikat hartanah. Syarikat itu kemudiannya terikat dengan syarikat milik kerajaan Korea Selatan, Electric Power Corp.

 

Pada hujung tahun lalu, Tadmax antara lapan syarikat yang disenarai pendek untuk projek jana kuasa RM2 bilion yang mana dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2023.

 

Pada awal tahun ini, Ranhill Holdings Bhd mengumumkan telah menerima surat tawaran bersyarat daripada EC untuk membangunkan jana kuasa di Sandakan, Sabah untuk 300MW CCGT. Tetapi tiada perkembangan lanjut diperoleh sehingga kini.

 

Related image
Kredit: Utusan

 

Sementara itu, menurut MIDF Research, IPP lain yang disemak semula oleh kerajaan berkemungkinan turut terlibat dalam projek solar berskala besar (LSS).

 

Di bawah inisiatif LSS, Quantum Solar Park merupakan antara syarikat pertama yang telah diberikan projek secara pemberian langsung pada tahun 2016. Syarikat ini mempunyai tiga PPA yang telah ditandatangani dengan TNB untuk projek di Melaka, Kedah dan Terengganu.

 

Hong Leong Investment Bank Research turut mendedahkan bahawa beberapa IPP terkini yang telah ditandatangani adalah Jimah East dan SIPP Energy Sdn Bhd yang mana masing-masing mengandungi kepentingan TNB sebanyak 70% dan 51%. SIPP Energy merupakan syarikat milik Sultan Johor.

 

Walau bagaimanapun, kesan negatif yang akan berlaku tidak begitu ketara berdasarkan kepada langkah berhemat yang diambil TNB ketika membeli semula kepentingan tersebut antara tahun 2015 hingga 2017. Tambahan pula, projek yang dilaksanakan itu telah siap sekitar 90% dan 30% sehingga penghujung Mac lalu.

 

Image result for solar energy malaysia
Kredit: NST

 

Jika merujuk semula kepada kenyataan CIMB Research tadi, komitmen kerajaan terhadap sektor kuasa ini pula boleh dianggap sebagai langkah untuk beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Hal ini kerana penggunaan RE dalam negara ketika ini hanyalah 2% manakala Pakatan Harapan mahu mensasarkan sehingga 20% pada tahun 2025. Langkah ini sekaligus untuk mengurangkan kebergantungan kepada jana kuasa yang menggunakan arang batu yang memang murah tetapi menjadi penyumbang kepada pelepasan karbon dioksida.

 

Terdapat tiga perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam RE iaitu harga, teknologi dan keberkesanan. Justeru, peningkatan teknologi amat penting bagi membaiki kemampuan panel solar.

 

Sekiranya komitmen ini dapat dicapai, negara bukan sahaja mampu menikmati kadar elektrik pada harga yang lebih munasabah tetapi juga menyumbang kepada pemulihan kelestarian alam sekitar.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara¬†mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…