fbpx

[100 Hari] Antara Ekonomi Negara & Ekonomi Rakyat

Oleh : Kapital
20 Ogos 2018 - 4:15 pm

Reading Time: 4 minutes

Tempoh 100 hari yang menjadi cabaran kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk melunaskan 10 janji tamat pada Jumaat lalu (17 Ogos 2018). Sepanjang tempoh itu, pelbagai tindakan telah diambil untuk menangani beberapa perkara seperti menangani kos sara hidup rakyat yang tinggi, mendedahkan salah laku yang dibuat oleh kerajaan terdahulu dan sebagainya. 

 

Tanpa cuba berpihak, kapital.my menyediakan analisis ekonomi yang dibuat oleh seorang ahli ekonomi tempatan. Beliau meneliti kedudukan ekonomi, cabaran negara dan pencapaian serta kegagalan yang berlaku sepanjang tempoh 100 hari itu. 

 

17 Ogos lalu, genaplah 100 hari Malaysia dipimpin oleh kerajaan yang baru. Jadi apa yang sudah terjadi kepada ekonomi Malaysia dalam 100 hari ini?

 

1) Pertumbuhan KDNK jatuh dari 5.4% kepada 4.5%

 

Image result for kdnk malaysia jatuh
Kredit: Malaysia Gazette

 

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang merupakan kayu ukur utama tahap prestasi sesebuah ekonomi jatuh daripada 5.4% semasa suku pertama (Januari-Mac) kepada 4.5% di dalam suku kedua (April-Jun).

 

Kejatuhan KDNK ini banyak berpunca daripada kejatuhan di dalam sektor pertanian, terutamanya kelapa sawit dan getah. Selain itu, kerosakan paip gas asli turut menyebabkan sektor perlombongan mengalami kemerosatan.

 

Tetapi bukan sekadar itu, cuti yang panjang semasa dan selepas musim Pilihanraya ke-14 turut sedikit sebanyak menyumbang kepada kelembapan ekonomi di dalam suku kedua. Malahan penukaran ketua-ketua GLC dan GLIC juga turut memberikan kesan kepada keputusan-keputusan besar oleh syarikat seperti di dalam membuat pelaburan baru atau memberikan kontrak projek.

 

2) Pasaran saham jatuh sebanyak 3.95%

 

Image result for pasaran saham jatuh
Kredit: FMT

 

Kejatuhan pasaran saham memang sesuatu yang sudah dijangka oleh penganalisis ekonomi akan berlaku jika terjadinya pertukaran kerajaan, kerana Malaysia tidak pernah merasai kerajaan selain daripada kerajaan Barisan Nasional.

 

Pasaran saham kelihatan tidak jatuh begitu banyak beberapa hari selepas PRU-14 itu sendiri, yang dipercayai berpunca daripada usaha GLIC di Malaysia seperti Khazanah, KWSP, PNB dan lain-lain dalam cubaan untuk memberikan sokongan kepada pasaran saham.

 

Namun sokongan itu tidak mampu bertahan apabila kerajaan mengumumkan pembatalan projek-projek mega seperti MRT, HSR dan lain-lain.

 

Pasaran saham jatuh sebanyak 9.9% setakat 6 Julai 2018. Dan ianya sudah naik kembali sebanyak 6.8% sejak itu. Terutamanya apabila kerajaan menarik kembali pembatalan projek-projek itu sebaliknya hanya menangguhkannya atau mengurangkan kos.

 

Dalam 100 hari ini, pasaran saham sudah mengalami aliran keluar bersih sebanyak RM11.4 billion.

 

3) Ringgit jatuh daripada RM3.95/USD kepada RM4.10/USD

 

Image result for nilai ringgit jatuh
Kredit: Utusan Online

 

Aliran keluar daripada pasaran saham dan bon Malaysia menjadikan Ringgit berterusan mendapat tekanan sehingga menjadikan nilainya jatuh sebanyak 3.8% ke tahap RM4.10/USD.

 

Untuk bulan Mei hingga Julai, aliran keluar bersih dana di dalam pasaran bon Malaysia adalah sebanyak RM15.5 billion.

 

Aliran keluar dana di dalam pasaran saham dan bon di Malaysia yang membawa kepada jatuhnya nilai Ringgit berpunca dari kedua-dua faktor domestik dan luaran.

 

Faktor domestik berpunca daripada ketidaktentuan di dalam polisi ekonomi kerajaan yang baharu dan pendedahan demi pendedahan terhadap kedudukan sebenar kewangan kerajaan.

 

Faktor luaran berpunca daripada risiko perang perdagangan dunia yang berpunca dari Amerika Syarikat. Sebagai negara kecil yang terbuka dan bergantung kepada komoditi, ekonomi Malaysia akan sangat terkesan dengan sebarang perubahan di dalam lanskap perdagangan dunia.

 

Terkini, kejatuhan nilai Lira di Turki turut dipandang sebagai risiko kepada semua matawang negara-negara pasaran baru muncul seperti Malaysia, sekaligus membawa gelombang aliran keluar dana dari Malaysia yang baru.

 

4) Harga barang turun sedikit sejak GST di kadar sifarkan

 

Image result for harga barang jatuh
Kredit: Pahangku

 

Kerajaan Pakatan Harapan telah mengkadar sifarkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula dari 1 Jun 2018.

 

Sepatutnya, memandangkan GST meliputi 60% daripada barangan di dalam indeks barangan pengguna dan 50% daripada perbelanjaan purata pengguna, harga barangan sepatutnya jatuh lebih kurang 3%.

 

Namun, statistik daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan harga barangan di Malaysia hanya jatuh lebih kurang sebanyak 1.4%. Menunjukkan kejatuhan harga barangan berlaku, tetapi kebanyakannya tidak turun sebanyak yang sepatutnya.

 

Peniaga memberikan alasan harga kos barangan mereka dikenakan GST, yang mana dicampur dengan proses bayaran semula yang lambat, mereka mengambil kira kos GST itu sebagai kos yang kekal.

Manakala sebahagian yang lain pula memberikan alasan ianya tidak munasabah untuk mengurangkan tag harga (terutamanya di menu makanan) sedangkan SST akan diperkenalkan semula pada bulan September nanti.

 

5) Sentimen pengguna menjadi positif buat pertama kali semenjak suku ketiga 2014

 

Image result for sentimen pengguna
Kredit: Astro Awani

 

Setelah hampir 4 tahun pengguna di Malaysia berasa pessimist dengan ekonomi Malaysia, buat pertama kalinya indeks sentimen pengguna melonjak positif setinggi 132.9 (suku pertama hanyalah 91.0), yang juga merupakan tahap tertinggi sejak suku ketiga 1997.

 

Sentimen pengguna yang dikeluarkan oleh MIER itu menunjukkan pengguna rata-rata yakin pendatapan dan peluang pekerjaan akan meningkat, kadar inflasi akan berkurangan dan mereka merancang untuk berbelanja lebih dalam 3 bulan akan datang. Semua ini dipercayai berpunca daripada mengkadar sifarkan GST yang sudah di label oleh rakyat sebagai punca kepada kenaikan harga barang di Malaysia.

 

Secara umumnya, apa yang berlaku kepada ekonomi dan pasaran kewangan dalam 100 hari pemerintahan PH adalah seperti yang dijangka.

 

Ditambah pula dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu berpunca daripada risiko perang perdagangan dunia, ekonomi Malaysia mendapat tekanan dari kedua-dua faktor dalaman dan luaran.

 

Apa yang diharapkan oleh syarikat dan pelabur adalah polisi ekonomi yang jelas. Manakala apa yang diharapkan oleh rakyat pula adalah kos sara hidup yang lebih rendah.

 

Jom Beli Rumah Online di Expo Klik Hartabumi!

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…