fbpx

[100 Hari] Kontraktor Masih Tidak Dibayar, SME Tertanya Hala Tuju Kerajaan Baru

Oleh : Kapital
23 Ogos 2018 - 6:15 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Ada kontraktor terpaksa berhutang dan berdepan ugutan pembekal kerana gagal jelaskan bayaran.
  • Dasar kerajaan kabur, nilai mata wang susut dan GST merupakan kebimbangan syarikat selepas PRU-14.

 

Sejurus memegang tampuk pemerintahan di Putrajaya, Pakatan Harapan terus menumpukan perhatian untuk menyelesaikan masalah hutang negara yang didedahkan telah mencecah RM1.087 trilion. Antara usaha yang dilakukan untuk menangani hutang yang tinggi itu adalah mengkaji semula dan membatalkan beberapa projek utama yang dilancarkan kerajaan BN sebelum ini.

 

Contoh projek besar yang terkesan dalam hal ini adalah Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapur (HSR), Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL). Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kajian semula itu dibuat untuk meneliti keutamaan projek dan kemampuan kerajaan untuk membayar hutang.

 

Namun begitu dalam kalangan kontraktor tempatan, tindakan kerajaan itu dianggap seperti ‘menabur pasir dalam periuk nasi’. Selain terkesan kerana kehilangan kerja-kerja dalam projek, satu lagi masalah yang dihadapi adalah kelewatan kerajaan membayar kerja-kerja yang telah dilaksanakan oleh kontraktor ini.

 

Berbeza pula dengan kontraktor China yang mana kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang membayar kerja-kerja bukan berdasarkan tahap kemajuan tetapi tempoh masa. Dasar inilah yang ditempelak oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘kebodohan yang tidak pernah dilihat dalam sejarah’.

 

Image result for tun mahathir batal projek china
Kredit: Utusan

 

Seperti dianak tiri, keadaan sebaliknya berlaku kepada kontraktor tempatan yang berdepan tekanan kewangan. Mereka berdepan masalah aliran tunai untuk menyelesaikan bayaran hutang, gaji, kos operasi syarikat dan sebagainya. Akhirnya mereka pula terpaksa berhutang sebagai langkah penyelesaian tetapi hanya untuk jangka pendek sahaja.

 

Hal ini diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Mokhtar Samad. Beliau berkata, banyak ahli persatuan yang terdiri daripada kontraktor kecil dan sederhana menghubungi untuk mendapatkan bantuan ekoran bayaran tertangguh dari kerajaan.

 

Terdapat kalangan ahli itu memberitahu tidak menerima sebarang bayaran selama dua bulan. Akibatnya, mereka terpaksa berdepan kesukaran dengan pembekal yang mengugut mahu menghentikan bekalan yang digunakan dalam projek sehingga operasi terbengkalai.

 

Image result for Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia
Kredit: PKMM Kedah

 

Kebanyakan kontraktor yang terjejas ini pula sebenarnya memperoleh tender dari kerajaan untuk kerja-kerja seperti membaiki jalan, membina kemudahan asas, laluan keretapi dan banyak lagi. Tetapi apa yang dibimbangi, sekiranya masalah bayaran lewat ini berterusan, kontraktor terpaksa menghentikan kerja sepenuhnya dan seterusnya mengundang masalah kepada banyak pihak lain.

 

Mokhtar melihat tindakan kerajaan terhadap projek-projek besar tersebut lebih banyak mengundang masalah berbanding kebaikan. Antaranya, peningkatan masalah pengangguran, hutang yang terus bertambah seterusnya menjurus kepada krisis keluarga dan sosial.

 

Sekalipun kerajaan bercadang untuk memulakan semula projek yang ditangguh itu, beban kewangan yang terpaksa dipikul juga bukan kecil. Situasi ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’ telah meletak kerajaan dilema untuk menguruskan masalah kewangan negara.

 

Image result for lim guan eng projek batal
Kredit: Penang Kini

 

Justeru, kerajaan perlu menetapkan dasar dan langkah penyelesaian bagi menangani masalah yang timbul selepas membatalkan atau mengkaji semula projek-projek besar tersebut.

 

Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana berdasarkan kepada kaji selidik yang dibuat oleh syarikat penyelidik pasaran bebas, Ipsos Sdn Bhd mendapati banyak syarikat tempatan masih belum jelas dengan dasar yang diambil oleh kerajaan.

 

Tiga perkara yang menjadi kebimbangan utama adalah ketidakpastian terhadap dasar-dasar kerajaan, penyusutan nilai mata wang tempatan serta kos-kos yang terbabit dalam pembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

 

Kaji selidik ‘Apakah yang Membimbangkan Perniagaan Malaysia’ yang disertai 100 syarikat Malaysia mendapati banyak syarikat tempatan bimbang dengan  dasar cukai, pelaburan dan perdagangan selepas PRU ke-14 sehingga menyukarkan keputusan perniagaan dibuat dengan baik.

 

Latar belakang syarikat yang terlibat dalam kaji selidik ini adalah daripada perusahaan besar, perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan perusahaan multinasional (MNC) tempatan.

 

Image result for ipsos sdn bhd
Kredit: Wikipedia

 

Menurut Pengarah Urusan Ipsos, Arun Menon, kebanyakan syarikat mencadangkan kepada kerajaan supaya lebih banyak menumpukan perhatian kepada memulihkan kedudukan mata wang untuk mengurangkan risiko perniagaan.

 

Walaupun diakui wujud ruang komunikasi antara kerajaan baharu dengan komuniti perniagaan, tetapi setakat ini langkah tersebut masih belum berjaya meyakinkan syarikat-syarikat itu kerana kekurangan hala tuju dan komprehensif daripada kerajaan.

 

Antara perkara yang turut menjadi kebimbangan dan persoalan mereka termasuklah mengenai status sebenar projek-projek infrastruktur yang menjadi perhatian penting kerajaan ketika ini.

 

Situasi ini perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana syarikat dan kontraktor tempatan penting sebagai pelaksana dasar serta projek negara.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…