fbpx

‘20% Royalti Minyak Ikut Untung, Bukan Keluaran’ – Azmin

Oleh : Kapital
08 Ogos 2018 - 6:18 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Kedudukan kewangan Petronas dan Kerajaan akan terjejas sekiranya royalti 20% diberikan mengikut jumlah hasil keluaran kasar.
  • Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2016, Sarawak menerima bayaran royalti hasil minyak dan gas sebanyak RM 1.49 billion diikuti oleh Terengganu (RM 1.05 bilion) dan Sabah (RM 787.83 juta)

 

Antara kandungan yang termaktub dalam manifesto Kerajaan Pakatan Harapan(PH) sebelum PRU yang lepas adalah meningkatkan bayaran royalti kepada setiap negeri pengeluar minyak di Malaysia daripada 5% kepada 20%.

 

Isu ini kembali hangat apabila negeri pengeluar minyak telah menuntut agar Kerajaan Persekutuan mengotakan manifesto tersebut.

 

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2016, royalti minyak di negeri Sabah menjadi penyumbang kedua terbesar kepada hasil Kerajaan Negeri dengan nilai sebanyak RM 787.83 juta (22.9%) daripada jumlah keseluruhan hasil negeri bernilai RM 2.49 bilion.

 

Manakala di Sarawak, bayaran royalti yang diterima ialah RM 1.49 bilion iaitu jumlah tertinggi bayaran royalti kepada negeri pengeluar minyak. Royalti minyak ini menjadi penyumbang tertinggi kepada hasil Kerajaan Negeri dengan nilai 32.5% daripada jumlah hasil keseluruhan negeri RM 4.59 bilion.

 

Terengganu pula mencatatkan kebergantungan paling tinggi daripada royalti minyak dengan jumlah bayaran sebanyak RM 1.05 billion. Bayaran royalti minyak ini telah menyumbangkan 65.4% daripada jumlah keseluruhan hasil Kerajaan Negeri yang bernilai RM 1.4 billion.

 

Menurut laporan tahunan Petronas, bermula daripada tahun 2007 sehingga tahun 2017, bayaran keseluruhan yang telah dibuat Petronas dalam bentuk royalti mencatatkan jumlah sebanyak RM 111.1 bilion manakala jumlah keseluruhan dividen tahunan yang dibayar kepada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh tersebut pula berjumlah RM 272 bilion.

 

Dalam perkembangan terkini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dalam sidang Parlimen telah memberikan jawapan apabila diajukan soalan lisan daripada Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) berkenaan bilakah kerajaan pusat akan melaksanakan pemberian 20% royalti kepada negeri pengeluar minyak.

 

Pembayaran royalti akan dilakukan berdasarkan keuntungan selepas cukai dan bukan keluaran kasar. Azmin menegaskan perkataan royalti tidak diguna pakai dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 sebaliknya perkataan bayaran tunai yang digunakan.

 

Beliau berdepan kritikan daripada pihak pembangkang kerana pendirian Kerajaan PH itu dikatakan tidak menepati manifesto yang telah ditetapkan sebelum PRU 14.

Kredit: The Star

“Oleh itu, saya ingin jelaskan di sini, istilah pembayaran tunai kurang digunakan dalam kalangan umum sebaliknya kefahaman mereka ialah royalti. Atas sebab itu, apabila kita menggubal manifesto, kita menggunakan perkataan royalti, maksud royalti tersebut bukanlah dalam konteks mengikut kamus”. Azmin menjawab berkenaan isu royalti yang dibangkitkan pihak pembangkang di dalam Dewan Rakyat.

 

“Sekiranya Petronas dikehendaki memberi 20 peratus royalti daripada jumlah hasil pengeluaran kasar kepada negeri-negeri pengeluar minyak, ia akan memberi implikasi yang serius kepada kedudukan kewangan syarikat dan Kerajaan,” Azmin mengulas lebih lanjut.

 

Beliau menjawab janji ini tidak akan dapat ditunaikan dalam masa terdekat kerana ianya bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974. Pindaan perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pemberian royalti ini dapat ditunaikan.

 

Hal ini berbangkit semula kerana, terdahulu Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu di bawah pemerintahan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah dinafikan hak mereka untuk mendapat royalti minyak. Punca hak royalti Kelantan dan Terengganu ini dinafikan dikatakan berpunca daripada Ordinan Darurat 1969 yang meletakkan telaga minyak atau gas mesti berada dalam sempadan negeri iaitu bumi negeri berkenaan serta perairan wilayah negeri iaitu sejauh 3 batu nautika yang diukur dari paras air surut.

 

Sebarang telaga minyak yang melebihi 3 batu nautika ini adalah dibawah takluk Kerajaan Persekutuan. Seperti di Kelantan, dua telaga minyaknya terletak sejauh 150 batu nautika daripada perairan negeri tersebut.

 

Walaupun tidak mendapat royalti minyak, Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah menyalurkan “wang ehsan” kepada Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan yang diagihkan melalui agensi Kerajaan Persekutuan dan tidak secara terus kepada Kerajaan Negeri. Berbeza pula bagi Sarawak dan Sabah, kedua-dua negeri ini mendapat hak royalti mereka melalui Akta Pelantar Benua 1966.

 

Sebelum tahun 1974, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak telah sedia mempunyai kedudukan tersendiri terhadap hak royalti melalui akta ini. Ini adalah sebahagian daripada sejarah dan hak istemewa yang diiktiraf semasa menyertai Malaysia pada tahun 1963.

 

Persoalannya adakah 20% bayaran royalti berdasarkan keuntungan itu akan menjadi lebih kecil nilainya berbanding 5% bayaran royalti berdasarkan pengeluaran kasar yang diterima sebelum ini?

 

Berdasarkan maklumat dan angka yang diperolehi, kebergantungan negeri pengeluar minyak terhadap bayaran royalti adalah tinggi dan hal ini harus difikirkan oleh Kerajaan Negeri supaya masalah ini dapat ditangani dan seharusnya solusi yang terbaik dicari agar kebergantungan kepada wang petroleum dapat digantikan dengan hasil yang lain.

 

Beli Rumah Secara Online di Expo klik HARTABUMI

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…