fbpx

AES: Apabila Wang Saman Pergi Ke Poket Syarikat

Oleh : Kapital
21 Ogos 2018 - 7:19 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Hanya beri untung kepada syarikat konsesi
  • 1 September 2018 JPJ ambil alih AES

 

17 Ogos 2018, Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan telah membuat keputusan drastik membatalkan semua 3.1 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) membabitkan nilai RM435 juta yang belum dibayar sejak sistem berkenaan diperkenalkan pada tahun 2012.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke turut memutuskan untuk sistem berkenaan akan diambil alih sepenuhnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula pada 1 September 2018. Hal ini juga selaras dengan keputusan Kabinet untuk tidak menyambung kontrak dua syarikat yang mengendalikan sistem berkenaan sebelum ini, ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.

 

Namun begitu, keputusan pembatalan saman AES ini menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak apabila Kerajaan memutuskan untuk bayaran saman yang telah dibuat tidak akan dikembalikan kerana Kerajaan berada pada tahap tidak mampu untuk berbuat demikian.

 

“Mulai 1 September AES akan dikendalikan oleh JPJ dan Kerajaan juga memutuskan untuk tidak mengutip saman yang belum berbayar,” kata Loke.

 

Dalam pengumuman yang sama, Kerajaan turut membuat keputusan untuk melaksanakan pembayaran balik kepada Tabung Lembaga Angkatan Tentera (LTAT) secara berperingkat dengan jumlah RM555 juta apabila Kerajaan terdahulu disahkan membayar pengambilalihan dua syarikat konsesi AES berkenaan menggunakan dana LTAT.

Image result for anthony loke
Kredit: The Star

Bagi memahami AES secara lebih menyeluruh, kita wajar untuk meneliti garis masa berkenaan projek ini terlebih dahulu. AES mula dilaksanakan pada September 2012 dan kemudian disatukan bersama-sama Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) melalui penggabungan penggunaan kamera dengan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).

 

Pada peringkat permulaan syarikat yang diberikan tugas pengurusan AES termasuk urusan penyelenggaraan ialah Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd. AES pertama kali dipasang sebanyak 14 unit dengan masing-masing tujuh di Perak, dua di Selangor dan lima di Kuala Lumpur serta Putrajaya. Secara umumnya, sistem ini dipasang di kawasan-kawasan yang mempunyai kadar kemalangan tinggi.

 

Pada Oktober 2012, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ telah mensasarkan untuk 831 kamera AES dipasang secara berperingkat di seluruh negara dalam tempoh 18 bulan. Bermula pada November 2012, orang ramai mula menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sistem ini dan timbul cakap-cakap menyatakan projek ini merupakan projek bertujuan politik dan syarikat yang dilantik untuk mengendalikan sistem ini juga mempunyai hubungan rapat dengan parti politik utama pada ketika itu.

 

Pada Disember 2012, Kerajaan Selangor yang pada ketika itu di bawah Pakatan Rakyat telah mengarahkan penutupan dua kamera AES di negeri berkenaan. Sejak itu, kamera berkenaan menjadi sasaran orang ramai dan ada yang rebah serta rosak dimusnahkan pihak yang tidak berpuas hati. Selepas melihat kewujudan gelombang desakan untuk membatalkan AES, Jabatan Peguam Negara mengumumkan penangguhan semua prosiding kes di mahkamah yang mempunyai kaitan dengan AES.

 

Selepas bantahan berterusan dan melihat wujud keperluan untuk mengambil tindakan selanjutnya, pada Ogos 2013, Kerajaan telah memutuskan untuk mengkaji AES secara menyeluruh. Selepas itu, Kerajaan memutuskan, AES Solutions Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Kerajaan telah diberikan tanggungjawab untuk mengambil alih operasi keseluruhan AES daripada ATES dan Beta Tegap.

 

Selepas pengambilalihan berkenaan, Kerajaan telah mengurangkan kadar kompaun AES kepada RM150, berbanding RM300 sebelum ini. Malah pemasangan kamera juga dihadkan kepada 310 sahaja, berbanding sasaran asal, 831.

Image result for aes
Kredit: The Star

Seterusnya pada penghujung tahun 2013, Kerajaan mengumumkan penangguhan pembayaran balik saman AES dan langkah berkenaan meletakkan kedudukan AES dalam ruang yang tidak pasti dan jelas sistem ini telah memberikan pandangan buruk rakyat terhadap tindakan Kerajaan pada ketika itu.

 

Sehinggalah pada Jun 2018, Kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan untuk mengkaji semula AES dan kini 3.1 juta saman sistem berkenaan dibatalkan dan ia memberikan tanda noktah kepada keraguan yang timbul terhadap AES sebelum ini.

 

Pendedahan berhubung isu AES ini tidak terhenti sehingga 17 Ogos sahaja, Menteri Pengangkutan hari ini (20 Ogos 2018), mengumumkan langkah Kerajaan membatalkan sama AES adalah kerana didapati perjanjian untuk pengoperasian sistem berkenaan dilihat sebagai berat sebelah dan hanya memberikan keuntungan kepada ATES dan Beta Tegap sahaja.

 

Malah Kerajaan tidak mendapat sebarang hasil daripada kutipan saman berkenaan kerana wang kutipan itu digunakan secara sepenuhnya untuk dibayar kepada kedua-dua syarikat berkenaan.

 

Isu kontrak AES ini sememangnya sudah lama menimbulkan kontroversi dan terdapat dakwaan bahawa kedua-dua syarikat yang menjalankan operasi AES sebelum ini dikaitkan dengan parti MCA. Namun begitu, hasil carian pihak Kapital.my melalui borang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ia tidak menunjukkan nama mana-mana ahli politik terkenal.

Kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini melihat bahawa hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang dan sebarang saman yang dikeluarkan harus datang dan diusahakan sepenuhnya kepada Kerajaan dan bukan bertujuan untuk memberikan laba kepada syarikat-syarikat berkenaan. Saman ialah hasil kepada kerajaan, bukan untuk syarikat konsesi.

 

Sejak dilaksanakan pada tahun 2012 sehingga Mei 2018, sejumlah RM129 juta telah dibayar kepada kedua-dua syarikat berkenaan. Jelas bahawa pelaksanaan AES melihatkan kepincangan yang ada terhadap sistem penguatkuasaan undang-undang di Malaysia sebelum ini. Malah saman yang sepatutnya menjadi hasil Kerajaan juga tidak ke mana.

 

Apa yang berlaku terhadap AES ini membuktikan bagaimana perjanjian konsesi untuk operasi sistem ini telah gagal dirundingi dengan baik dan hanya memberikan keuntungan kepada satu pihak sahaja.

 

Tidak dapat kita nafikan bahawa AES mempunyai manfaat yang tersendiri dan ia sewajarnya menjadi alat pencegahan terpenting dalam membendung kadar kemalangan jalan raya di Malaysia yang semakin meningkat. AES mungkin akan menjadi sistem yang cekap jika ia diuruskan dengan teratur dan telus.

 

Sistem ini bukanlah satu sistem baharu, namun ia telah dilaksanakan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Singapura. Ia baik sebagai sebahagian daripada asas untuk mendidik pemanduan berhemah, namun cara pelaksanaannya merupakan hal terpenting yang perlu diberikan perhatian.

 

Rakyat perlu jelas dengan konsep dan keperluan sistem ini, malah sebelum penguatkuasaan dilakukan melalui sistem ini, orang ramai harus memiliki kesedaran yang tinggi terhadap keselamatan jalan raya dan wajar memahami bagaimana sistem ini bukan bertujuan untuk mengaut untung tapi bagi menjamin rakyat Malaysia menjadi pemandu berhemah.

 

Sehubungan itu, diharapkan dengan pengambilalihan AES oleh JPJ kita akan dapat melihat keupayaan sistem ini memberi kesan kepada rakyat secara menyeluruh tentang bagaimana sewajarnya rakyat menangani isu keselamatan jalan raya dan bagaimana Kerajaan memainkan peranan bagi menjamin suasana lebih selamat kepada orang ramai yang menggunakan jalan raya.

 

Apa yang lebih penting, kita harus menyedari satu perkara, jumlah saman yang semakin meningkat bukanlah sesuatu yang baik, sepatutnya setiap tahun jumlah saman yang dikutip semakin rendah kerana ini ialah petanda kesedaran telah meningkat dan AES berjaya memainkan peranannya. Sama-sama kita nantikan 1 September ini.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…