fbpx

Cukai Soda: Memeras Budaya Kurang Sihat Untuk Pendapatan Negara?

Oleh : Kapital
24 Ogos 2018 - 5:28 pm

Reading Time: 4 minutes

 


  • Pengenalan cukai soda boleh tampung kekurangan RM19.4 bilion kerana pemansuhan GST.
  • Tujuan cukai soda untuk diagihkan kepada ibu mengandung dan kanak-kanak.

Cukai soda pada kadar 40 sen seliter ke atas minuman bergula yang sepatutnya mula dilaksanakan pada 1 April 2019 bagaimanapun ditangguhkan kepada 1 Julai 2019.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan cukai gula akan dikenakan ke atas minuman yang mengandungi gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter, begitu juga jus yang mengandungi lebih 12 gram gula bagi setiap 100 mililiter.

Perdana Menteri juga berkata, mulai tahun depan, kerajaan akan menggunakan hasil yang dikutip daripada cukai itu bagi menjalankan program sarapan berkhasiat dan percuma kepada semua kanak-kanak sekolah rendah.

 

“Kita mahu anak-anak kita kuat dan sihat untuk mencapai prestasi baik di sekolah,” katanya.

 

Sebelum ini, menurut Tony Pua, cukai ini diperkenalkan bagi menampung kekurangan RM19.4 bilion yang tertunggak dalam bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan fungsinya oleh kerajaan ketika ini.

 

Cadangan tersebut mendapat reaksi positif dari Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail. Beliau berkata, idea-idea tersebut penting untuk kerajaan mencari hasil pendapatan yang kurang selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan kelak.

 

Beliau juga yakin, dengan pengenalan cukai soda itu, secara tidak langsung rakyat juga akan mendapat mesej tentang risiko pengambilan berlebihan minuman berkarbonat terhadap kesihatan.

 

Image result for datuk saifuddin nasution
Kredit: Roketkini

Namun begitu, pembangkang tidak bersetuju dengan cukai tersebut yang dilihat akan menyebabkan harga barang terus meningkat yang mana akan memberi kesan langsung kepada rakyat.

 

Naib Pengerusi Wanita MCA, Senator Datuk Ong Chong Swen berkata, kerajaan sepatutnya lebih menumpukan perhatian untuk menangani masalah kenaikan harga barang secara menyeluruh tanpa membebankan rakyat. Beliau turut membidas langkah kerajaan melaksanakan semula SST yang dianggap tindakan mundur.

 

Turut sama tidak bersetuju dengan cukai soda adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow.

 

Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya cukai rokok yang dinaikkan bagi menampung hasil kerajaan yang berkurangan selepas GST dimansuhkan pada Jun lalu. Secara tidak langsung, katanya, langkah itu dapat memberi tekanan psikologi dan kewangan kepada perokok untuk mengurangkan tabiat merokok.

 

“Memandang berjuta rakyat negara ini yang ketagihan merokok, kenaikkan cukai terhadap bahan tembakau itu sudah pasti dapat menampung hasil kerajaan yang hilang selepas terhapusnya GST,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan Sinar Harian.

 

Sementara itu, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier Azmi membidas cadangan Tony Pua tersebut yang disifatkan tidak masuk akal. Hal ini kerana, kata beliau, jika rakyat inginkan gaya hidup yang sihat, mereka tidak akan jadikan minuman bersoda sebagai salah satu kegemaran.

 

“Bila rakyat tak beli, macam mana dia nak kutip cukai. Bila tak dapat kutip cukai, macam mana nak tambah pendapatan negara?” soalnya. Tambahnya lagi, cadangan itu tidak sepatutnya dikenakan secara segmen, sebaliknya ke atas komoditi.

 

Menjelaskan lebih lanjut, Azri berkata, langkah yang lebih tepat adalah kerajaan mengenakan cukai ke atas gula berbanding ke atas minuman berkarbonat. Hal ini kerana, pengenaan cukai gula membolehkan pengusaha minuman ringan seperti beliau mencari alternatif bahan pemanis.

 

Hausboom merupakan sebuah syarikat minuman ringan berjus buah-buahan yang dijual di kedai serbaneka seluruh Malaysia serta telah menembusi pasaran di tujuh negara. Memiliki kilang di Besut, Terengganu, Azri memberitahu, perniagaannya telah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung termasuk golongan ibu tunggal.

 

Azri menambah, langkah pengenalan cukai ke atas segmen tertentu bukan satu idea yang bijak kerana berdasarkan pengalaman di Dubai, syarikat besar seperti Redbull pun gagal beroperasi.

 

“Dubai pernah perkenalkan cukai yang dikenali ‘sin tax’ termasuk ke atas minuman tenaga. Hasilnya, Redbull yang merupakan gergasi minuman tenaga pun gagal bertahan dan terpaksa menutup operasi di sana,” ujarnya.

 

Pengenalan cukai soda itu juga turut memberi kesan kepada pelaburan Coca Cola yang mempunyai kilang besar di  Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

 

“Bukan Cola Cola sahaja ada soda. Kita baru tingkatkan kapasiti pengeluaran yang bertujuan untuk kurang kos dan harga runcit. Tetapi kerajaan pula mahu laksanakan cukai baharu,” katanya.

 

Beliau khuatir langkah tersebut hanya menyebabkan syarikat-syarikat minuman yang dimiliki generasi muda akan mati disebabkan dasar percukaian kerajaan.

 

Walau bagaimanapun, satu perkara yang mungkin kurang disedari kebanyakan rakyat Malaysia ialah cadangan ini sebenarnya bukan dikemukakan sendiri oleh Tony Pua. Sedar atau tidak, cadangan supaya minuman berkarbonat yang tidak bagus dari kesihatan dikenakan cukai datangnya daripada kajian Unicef pada awal Februari lalu.

 

Dalam hasil kajian Unicef yang dibentangkan oleh Dr Muhammed Abdul Khalid dari DM Analytics, negara telah digemparkan bahawa banyak kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah tumbesaran yang menjejaskan potensi fizikal dan mental mereka.

 

Related image
Kredit: Warna Asia

 

Sehubungan itu, lima cadangan dasar pada akhir laporan tersebut telah digariskan bermula daripada penyediaan elaun penjagaan sejagat kanak-kanak, pemakanan dan cuti bersalin, ruang sosial yang selamat untuk kanak-kanak yang bersekolah (5-17 tahun), menyemak semula angka tunjuk kemiskinan sehinggalah mengenakan cukai ke atas minuman bergula.

 

Rasional cadangan untuk mengenakan cukai ke atas minuman bergula atau disebut cukai soda ini pula ada alasannya yang tersendiri. Menurut kajian tersebut, jumlah perbelanjaan obesiti di Malaysia adalah 10 hingga 20 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan.

 

Untuk makluman, Dr Muhammed Abdul Khalid ketika ini merupakan Ketua Sekretariat Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) yang bertindak memberi cadangan polisi kepada kerajaan. Justeru, wujud kemungkinan cadangan cukai soda itu diberikan semula perhatian tetapi dalam kaedah pengagihan yang lebih bersasar.

 

Menurut seorang lagi penyelidik, Dr Amjad Rabi yang mengetuai pasukan penyelidik Unicef Malaysia, selain pengambilan minuman bergula akan berkurangan, hasil cukai itu pula boleh digunakan bagi membantu memulihkan keadaan kanak-kanak dan ibu mengandung.

 

Image result for stunted children malaysia
Kredit: The Straits Times

 

Beliau berkata, hasil cukai yang diperoleh itu juga boleh dimanfaatkan untuk membendung kemiskinan melalui kaedah pengagihan kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira pendapatan keluarga.

 

Kerajaan juga boleh melancarkan program pemberian bantuan kepada ibu mengandung sebanyak RM200 untuk mendapatkan susu berkhasiat yang boleh membantu perkembangan fizikal dan mental bayi dari dalam kandungan sehingga sudah lahir kelak.

 

Beliau turut mencadangkan pelaksanaan cukai ke atas minuman bergula bagi menggalakkan rakyat memilih minuman lebih sihat. Katanya, cukai itu boleh disalurkan untuk bantuan kanak-kanak dan insentif bersalin yang bukan sahaja boleh menggandakan pendapatan kerajaan, tetapi juga cara mudah meraih sokongan rakyat.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…