fbpx

[Eksklusif] Sime Darby Selepas Pemisahan, Antara Legasi & Potensi

Oleh : Kapital
17 Ogos 2018 - 3:43 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Strategi ‘pure play’ diterapkan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar untuk memisahkan Sime Darby kepada tiga syarikat iaitu Sime Darby Plantation, Sime Darby Property dan Sime Darby Group.
  • Sime Darby Plantation membeli pegangan saham dalam New Britain Palm Oil Ltd (NBPOL) dengan harga overpriced pada 2015.

 

Sime Darby- satu entiti gah dalam arena korporat di Malaysia- merupakan ‘permata’ dalam portfolio pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

 

Selaku pemegang saham terbesar Sime Darby, tidak hairanlah mengapa Pengerusi PNB akan turut berada di dalam lembaga pengarah Sime Darby.

 

Seperti mana yang diketahui umum, apabila Tan Sri Abdul Wahid Omar meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PNB dan Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang merupakan Pengerusi PNB yang baru turut dilantik menjadi Pengerusi Sime Darby Property.

 

Jadi, bagaimanakah prestasi Sime Darby ketika ini selepas menjalani proses penstrukturan tersebut?

 

Sedikit latar belakang; Pada 30hb November 2017, Sime Darby telah dipisahkan kepada tiga syarikat iaitu Sime Darby Plantation (yang menguruskan aktiviti perladangan), Sime Darby Property (yang bertanggungjawab kepada pembangunan hartanah) dan Sime Darby Group (yang terdiri daripada bisnes permotoran, hospital dan lain-lain).

 

Ini merupakan strategi ‘pure play’ yang diterapkan oleh PNB selaku pemegang saham terbesar ketika di bawah pimpinan pengerusinya sebelum ini, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

 

Langkah ini bertujuan untuk membolehkan Sime Darby mencapai potensi sebenar dengan setiap syarikat menjadi lebih fokus kepada perniagaan teras. Ini juga selari dengan Pelan Strategik PNB 2017-2022

 

Selepas 8 bulan strategi ini dilakukan, ketiga-tiganya mencatatkan prestasi harga saham yang berbeza di Bursa Malaysia.

 

Sime Darby Plantation ditutup pada harga RM5.25 (turun daripada RM5.59), saham Sime Darby Property bernilai RM1.34 (turun daripada RM1.50) dan harga Sime Darby adalah RM2.52 (naik daripada RM1.85).

 

Namun, harga saham bagi ketiga-tiga syarikat ini jika digabungkan, masih jauh untuk dibandingkan dengan harga tertinggi yang pernah dicatatkan Sime Darby pada 11 Jan 2008 sebanyak RM13.20.

 

Adakah strategi memisahkan Sime Darby kepada tiga entiti merupakan langkah yang tepat? Kapital.my ada laporannya.

 

SIME DARBY PLANTATION BHD

 

Kebanyakan pelabur beranggapan Sime Darby Plantation merupakan kaunter yang ‘wajib dipegang’ pelabur berikutan aktiviti perladangannya yang menjamin pulangan bagi jangka masa panjang.

 

Lebih menarik lagi, portfolio perladangan Sime Darby Plantation tidak terhad di dalam Malaysia semata-mata. Misalnya di Papua New Guinea, Sime Darby Plantation mempunyai 86,478 hektar tanah yang sudah diusahakan dengan kelapa sawit.

 

Profil tanaman ini memberikan hasil tinggi sekitar 24 tan per hektar- lebih tinggi daripada purata biasa. Sime Darby mempunyai kepentingan di negara ini melalui syarikat New Britain Palm Oil Ltd (NBPOL) hasil daripada pelaburan berjumlah RM6 billion yang dibuat pada Mac 2015. Berdasarkan laporan kewangan suku pertama 2018, NBPOL menyumbang sehingga 11.6% kepada pendapatan syarikat.

 

Situasi ini amat berbeza dengan nasib yang dialami Sime Darby Plantation di Indonesia di mana keluaran hasil ladang kelapa sawit adalah sekitar 16 tan per hektar berikutan profil umur ladang di sana yang lebih tua.

 

NBPOL Bakal Dijual?

 

Walau bagaimanapun, meskipun mempunyai profil ladang yang baik di Papua New Guinea, Sime Darby Plantation dilaporkan ingin menjual sebahagian pegangannya di dalam NBPOL bagi mendapatkan suntikan wang tunai.

 

PublicInvest pada Januari 2018 berkata ‘Sime Darby Plantation dijangka menjual 25%-49% yang mampu memberi pendapatan tunai sekitar RM1.7 bilion-RM3.2 bilion.’

 

Namun, apa yang menghairankan adalah penjualan ini bakal dibuat berdasarkan pada harga yang sama ketika Sime Darby membeli NBPOL iaitu dengan penilaian sebanyak RM6.6 bilion.

 

Timbul persoalan- Adakah selepas 3 tahun, pelaburan ini tidak bertambah apa-apa dari segi nilainya?

 

Menurut sumber industri, kemungkinan pembelian yang dibuat Sime Darby pada 2015 dahulu dibuat pada harga yang terlalu tinggi.

 

Penjualan NBPOL dikatakan berpunca daripada usaha Sime Darby Plantation yang mahu mengurangkan nisbah hutang (gearing) daripada 0.4 kepada 0.25-0.35. Ini selari dengan hasrat mereka yang berusaha keras mengurangkan kadar hutangnya sejak pembelian NBPOL.

 

Kerugian Operasi di Liberia

 

Di Liberia pula, Sime Darby Plantation Liberia Inc (SDPL) menghadapi cabaran kelewatan projek, pelaksanaan pelan, konflik sosial, dan isu hak asasi. Ini sekaligus menyumbang kepada kerugian terkumpul sekitar RM322 juta berdasarkan tahun kewangan 2016/2017.

 

Kerugian ini meliputi nilai kemerosotan aset (impairment) berjumlah RM202 juta dan kerugian operasi sebanyak RM108 juta. Faktor profil umur ladang dan purata hasil buah yang rendah dilihat menyumbang kepada keadaan tersebut. Sememangnya, SDPL menghadapi cabaran untuk meningkatkan produktiviti dan hasil di Liberia.

 

Produktiviti rendah di sektor pertanian juga telah memaksa kerajaan Liberia untuk mengimport 80% bagi bekalan makanan mereka.

 

Meskipun 22% bank tanah Sime Darby adalah di Liberia, hanya 10,000 hektar yang telah dibangunkan- jauh tersasar daripada sasaran 120,000 hektar tanah yang ingin dimajukan menjelang 2020.

 

Ini berikutan undang-undang tempatan yang baru yang memperkasakan komuniti setempat di mana Sime Darby menghadapi kesukaran membangunkan tanah mereka. Situasi ini dilihat bakal menyukarkan lagi aktiviti perniagaan Sime Darby Plantation di sini.

 

Mengambil kira situasi di Papua New Guinea, Indonesia dan Liberia, keadaan semasa Sime Darby Plantation dijangka amat mencabar dan memerlukan penyelesaian segera.

 

Jom Beli Rumah Online di Expo Klik Hartabumi!

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…