fbpx

Forest City: Pelaburan Atau Leburan

Oleh : Wan Syarafiz
30 Ogos 2018 - 3:53 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Harga unit kediaman yang dijual di Forest City bernilai di antara RM663,000 hingga RM3 juta
  • Forest City dijangka akan menyumbangkan hasil cukai sebanyak RM66 bilion kepada negara dalam tempoh 20 tahun.

 

Beberapa hari yang lepas, Tun Dr. Mahathir baru sahaja mengeluarkan kenyataan bahawa warga asing tidak dibenarkan untuk membeli rumah di Forest City, Johor Bahru. Kenyataan Dr. Mahathir ini dikeluarkan kerana beliau tidak bersetuju dan menentang penjualan rumah yang dibina untuk warga asing dan bukannya untuk rakyat Malaysia

 

Dr. Mahathir dalam kenyataannya juga berkata Malaysia tidak akan memberikan visa kepada warga asing yang datang dan ingin tinggal di sini.

 

Projek Forest City yang bernilai RM410 bilion itu dibina di atas 4 pulau buatan manusia di Selat Johor dan dibangunkan oleh pemaju hartanah dari China, Country Garden dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Esplanade Danga 88 Sdn Bhd. Selepas siap dibina, Forest City dianggarkan akan didiami oleh seramai 700,000 orang penduduk.

 

Pada tahun 2017, Dr. Mahathir pernah membidas projek berbilion ringgit itu dengan mengatakan beliau berharap Forest City akan menjadi ‘forest’ (hutan) yang hanya didiami oleh kera, monyet dan sebagainya.

 

“Kita sepatutnya sedar bahawa kalau kita jual tanah kepada orang, kita sudah tidak miliki lagi tanah itu. Pada suatu ketika dahulu, dijualnya pulau Temasik yang sekarang dikenali sebagai Singapura. Kita jual tanah kepada British, dapat 60 ribu ringgit, sekarang bukan negara kita dah”, ujar Dr. Mahathir.

 

Kritikan daripada Dr. Mahathir itu telah mengundang rasa kurang senang Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Terdahulu, Sultan Johor telah menyatakan baginda tersinggung dan terluka dengan cubaan memutar belitkan kenyataan baginda mengenai pelaburan China di negeri Johor.

 

Image result for mahathir dan sultan johor
Kredit: FMT

 

“Cukup-cukuplah. Setakat ini beta telah cuba mengawal diri daripada mengulas mengenai kontroversi membabitkan Forest City yang dibangkitkan Dr Mahathir dan penyokongnya.

 

“Beliau (Dr. Mahathir) memberi gambaran bahawa Johor menyerahkan tanah kepada rakyat China malah membandingkan bagaimana kita menyerahkan Singapura kepada British,” ujar Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu.

 

Baginda turut mempersoalkan Dr. Mahathir dengan berkata adakah pembeli warga asing di Forest City dapat membawa balik apartmen ataupun tanah tambak tersebut ke negara mereka.

 

Sebelum ini, pembeli warga asing telah mendapat manfaat daripada program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H). Program MM2H ini diperkenalkan sendiri oleh Dr. Mahathir pada tahun 2002 bagi menarik warga asing menetap di Malaysia dan menjalankan perniagaan di negara ini.

 

Image result for mm2h
Kredit: MM2H

 

Menurut laporan The Malaysian Reserve (TMR), sepanjang Januari hingga Ogos 2017, warga asing dari China merupakan majoriti penerima manfaat program MM2H dengan 1,439 atau 46.7% permohonan diluluskan untuk tinggal di Malaysia.

 

Pada tahun 2017 pula, Bank Negara Malaysia telah menerbitkan Buletin Suku Tahunan 2017 yang menyatakan Johor merupakan negeri tertinggi mencatatkan peratusan rumah tidak terjual berbanding negeri-negeri lain.

 

Johor mencatatkan peratusan unit kediaman tidak terjual sebanyak 27% diikuti oleh Selangor (21%), Kuala Lumpur (14%) dan Pulau Pinang (8%). Antara punca yang yang mungkin menyebabkan lambakan rumah tidak terjual ini adalah disebabkan oleh harga rumah yang tidak sepadan dengan kemampuan isi rumah di Johor.

 

Laporan “Making Housing Affordable” daripada Khazanah Research Institute (KRI) sebelum ini telah meletakkan harga rumah di Johor pada 2016 sebagai seriously unaffordable (sangat tidak mampu milik) berdasarkan pendapatan median rakyat Johor.

 

Harga unit kediaman yang dijual di Forest City adalah bernilai di antara RM663,000 hingga RM3 juta. Bagi unit kondominium yang berkeluasan 635 kaki persegi di bandar itu, harga yang ditawarkan adalah bermula daripada RM820,000.

 

Ianya sangat berbeza dengan harga kediaman di sekitar Johor Bahru. Melalui carian Kapital.my, harga median rumah teres di Johor Bahru bernilai RM420,000, kondominium (RM460,000) dan apartmen (RM328,000).

 

Antara projek kondominium terkenal di Johor Bahru ialah D’ Espalande Residence yang bernilai sebanyak RM547,500. Jika dibandingkan dengan harga kondominium yang dijual di Forest City, nilainya sangat ketara. Harga satu kaki persegi unit kondominium di Johor Bahru ialah RM276 berbeza dengan harga kondominium Forest City yang bernilai setinggi RM1,300 bagi satu kaki persegi.

 

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan pembinaan Forest City ini juga akan memberikan impak positif. Forest City dijangka akan menyumbangkan hasil cukai sebanyak RM66 bilion kepada negara dalam tempoh 20 tahun.

 

Projek Forest City ini dilaporkan telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM44.3 bilion daripada 36 syarikat antarabangsa, Antara syarikat terkenal yang melabur dalam projek ini ialah Huawei, Cisco, Accenture dan Deutsche Bank (Asia Pasifik).

 

Image result for forest city condominium
Kredit: FMT

 

Apabila selesai pada tahun 2035, dijangkakan pelaburan luar negara bernilai RM186 bilion akan berjaya dibawa masuk dengan 220,000 peluang pekerjaan baru diwujudkan. Sektor perindustrian di kawasan Forest City juga dikatakan bakal menyumbang sebanyak RM1.98 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Pengumuman Dr. Mahathir berkenaan warga asing tidak dibenarkan membeli rumah di Forest City itu telah mengundang kritikan daripada pihak Center for Better Tomorrow (Cenbet). Cenbet telah menggesa kerajaan supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang akan mengurangkan keyakinan pelabur ke negara ini.

 

“Justeru kerajaan di Putrajaya masih baru, negara perlu mengurangkan kebimbangan pelabur, bukan menambah ketidaktentuannya, terutama sekali kerana kita memerlukan lebih banyak pelaburan asing langsung (FDI) dalam lanskap ekonomi yang semakin kompetitif,” ujar Naib Presiden Cenbet, Simon Lim.

 

Sebagai langkah penyelesaian, kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyemak syarat-syarat pembelian rumah di Forest City. Jawatankuasa tersebut bakal dianggotai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Johor.

 

“Keputusan sama ada kediaman itu boleh dijual kepada warga asing masih belum diputuskan lagi, sebab itu kita kena bermesyuarat untuk menyemak dan meneliti selain melihat mekanisme penjualan dan pembelian itu,” ujar Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin.

 

Pemaju Forest City, Country Garden Pacific View dalam masa yang sama turut mengeluarkan kenyataan dengan berkata tiada undang-undang yang melarang warga asing untuk membeli hartanah di Malaysia. Segala undang-undang, peraturan dan kelulusan juga telah diperoleh bagi menjual unit kediaman dan komersial kepada warga asing.

 

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…