fbpx

Harga Rumah Dijangka Turun Tetapi Lebih 114,000 Tidak Terjual

Oleh : Kapital
21 Ogos 2018 - 2:12 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Harga rumah dijangka turun sehingga 3 peratus selepas pengecualiaan SST pada September depan.
  • Bank Negara mendedahkan wujud lambakan rumah baharu sebanyak 114,000.

 

Pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 12 Ogos lalu mengenai langkah kerajaan untuk mengecualikan perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah mendapat perhatian ramai tentang kemungkinan harga rumah akan turun pada masa akan datang.

 

Banyak pihak mula memberikan pandangan yang menjurus kepada kebarangkalian harga rumah akan turun berdasarkan kepada kenyataan Menteri Kewangan itu. Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) lebih awal menjangkakan langkah pengecualian SST itu mampu menjimatkan kos projek dengan anggaran penurunan harga yang berlaku sekitar 2.0 hingga 2.5 peratus sahaja.

 

Persatuan ini melihat pengumuman kerajaan tersebut merupakan satu berita baik kepada sektor pembinaan yang berdepan kenaikan kos akibat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di bawah pentadbiran Barisan Nasional dahulu.

 

Presiden MBAM, Foo Chek Lee berkata, pengecualian SST ke atas bahan mentah utama seperti besi, pasir dan simen akan memberi kesan positif kepada dua perkara iaitu beban cukai dan kos pembinaan.

 

Image result for Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM)
Kredit: BH

 

Jangkaan yang dibuat oleh MBAM ini bukan hanya melibatkan pengecualian SST sahaja, sebaliknya, tambah Chek Lee, turut mengambil kira beberapa faktor lain seperti peningkatan kos buruh dan pengangkutan.

 

Berbeza dengan kadar peratus penurunan harga rumah MBAM, Ketua Penyelidik Ekuiti Nomura Malaysia, Tushar Mohata pula memberikan jangkaan yang lebih tinggi iaitu sebanyak tiga peratus.

 

Berdasarkan penyelidikan yang dibuat, beliau yakin pengecualian SST itu ke atas bahan binaan akan membolehkan harga hartanah kediaman menjadi lebih rendah dan mampu dimiliki berbanding semasa rejim GST.

 

Di sebalik jangkaan penurunan harga yang berlaku, Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah (HBA) pula mengingatkan bahawa terdapat halangan yang akan menghalang harga rumah menjadi murah iaitu sikap pemaju hartanah.

 

Setiausaha Agung HBA, Datuk Chang Kim Loong berkata, pengecualian SST ke atas bahan pembinaan hanya membawa pengurangan yang kecil kepada kos operasi.

 

Image result for national house buyers (HBA)
Kredit: FMT

 

Tetapi satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah kemungkinan pemaju yang cuba mengambil kesempatan daripada pengurangan harga dengan mengekalkan harga rumah seperti sebelum pelaksanaan SST pada September depan.

 

Walaupun kenyataan susulan Lim Guan Eng dalam Dewan Negara pada 20 Ogos lalu bahawa tiada jaminan pengecualian SST akan menurunkan harga rumah. Tetapi apa yang penting untuk difahami adalah usaha kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang mampu mendorong kepada penawaran harga rumah yang lebih rendah.

 

Ahli Parlimen Bagan itu turut menambah bahawa pengecualian itu telah berupaya menghalang kenaikan harga rumah secara mendadak selepas SST dilaksanakan kelak.

 

“Kita harap industri pembinaan akan dapat manfaat dan pengguna pun boleh dinikmati. Sama ada ia berlaku atau tidak, sekurang-kurangnya kita telah berusaha.

 

“Untuk masa depan kita jangka akan melihat suatu perkembangan yang baik. Sekurang-kurangnya kita menghalang harga itu naik secara mendadak,” kata Guan Eng seperti dilaporkan Sinar Harian.

 

Related image
Kredit: The Sun Daily

 

Selain masalah harga rumah yang tinggi ketika ini, satu lagi isu yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah mengenai lambakan rumah yang tidak dibeli.

 

Menurut Buletin Suku Kedua 2018 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, antara 2014 hingga 2016, secara purata terdapat 114,000 bekalan rumah baharu berbanding pembentukan 154,000 isi rumah baharu.

 

Ketidakseimbangan penawaran dan permintaan ini telah mewujudkan krisis bekalan rumah mampu milik pada harga yang lebih munasabah.

 

Bank Negara menetapkan harga rumah mampu milik adalah RM282,000 walaupun harga sebenar dalam pasaran adalah 11 peratus lebih tinggi iaitu RM313,000.

 

Ditambah pula jurang antara pendapatan dan harga rumah yang semakin melebar, persepsi mengenai peningkatan kos sara hidup telah memburukkan lagi keadaan.

 

Image result for bank negara
Kredit: BNM

 

Justeru, saranan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah agar pasaran hartanah mempunyai pelbagai bentuk inovatif perlu diberikan perhatian.

 

Antara inovasi yang beliau harapkan berlaku meliputi soal rekaan dan penggunaan tanah sepenuhnya. Hal ini kerana, katanya, jika inovasi tersebut dapat dilaksanakan, beberapa masalah dapat diatasi termasuklah harga jualan rumah.

 

Selain itu, beliau turut menggesa para pemain sektor hartanah untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat negara ini boleh ditingkatkan.

 

Memetik statistik yang dikeluarkan Bank Negara pada tahun 2014, beliau berkata, negara sebenarnya memerlukan 960,000 unit rumah mampu milik. Namun, sekiranya tiada langkah produktif diambil oleh pihak berkepentingan dalam sektor perumahan, tidak mustahil angka itu mencecah lebih sejuta pada tahun 2020.

 

Image result for raja kamarul harga rumah
Kredit: MSN

 

Setakat ini, beliau memberitahu agenda utama di bawah kementerian terbabit adalah meningkatkan bilangan rumah mampu milik, peningkatan dasar dan rangka kerja pengawalseliaan.

 

Menyentuh pengecualiaan SST, beliau mengakui bahawa langkah itu bukan  faktor penentu yang boleh menurunkan harga rumah, sebaliknya, banyak perkara lain yang perlu diberikan tumpuan kerana membabitkan pihak yang lain.

 

Ternyata harapan untuk melihat harga rumah yang lebih murah tidak semudah yang disangka.

Jom Beli Rumah Online di Expo Klik Hartabumi!

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…