fbpx

KTMB Perlu Berubah – Laporan Ketua Audit Negara 2017

Oleh : Kapital
13 Ogos 2018 - 4:35 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Sejak dikorporatkan, KTMB telah mencatatkan kerugian hampir RM3 bilion.
  • Tahun 2017, akhirnya KTMB untung.

 

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ialah syarikat perkhidmatan kereta api terbesar negara. Pada asalnya ia merupakan sebahagian daripada agensi Kerajaan, namun pada tahun 1992 ia telah melalui proses pengkorporatan yang merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan perkhidmatan kereta api negara dapat berjalan dengan lebih lancar dan berkualiti.

 

Namun begitu, seperti berlaku masalah yang serius dalam syarikat ini apabila ia mengalami kerugian untuk tempoh hampir dua dekad, sebelum berjaya mencatatkan keuntungan bersih pada tahun fiskal 2017. Bayangkan sejak dikorporatkan, KTMB telah mencatatkan kerugian hampir RM3 bilion. Ia satu jumlah yang besar dan membuatkan kita terfikir-fikir apakah agaknya yang dilakukan oleh pengurusan syarikat ini sehingga gagal untuk keluar dari kepompong kerugian selama dua dekad.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB yang baharu, Mohd Rani Hisham Samsudin, pengenalan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) jelas telah memberikan manfaat besar kepada KTMB dalam mencapai keuntungan yang dinanti-nantikan selama ini.

 

“Penyumbang terbesar kepada keuntungan KTMB untuk tahun 2017 ialah jualan daripada tiket penumpang untuk perkhidmatan ETS dan juga perkhidmatan shuttle dari Johor Bahru ke Woodlands di Singapura. KTMB yakin kedua-dua perkhidmatan ini akan terus menyumbang kepada keuntungan KTMB setiap tahun selepas ini”, kata Mohd Rani.

 

Image result for Kereta Api Elektrik (ETS)
Kredit: BH

 

Malah Mohd Rani tidak menafikan bagaimana beliau berhadapan dengan cabaran hebat untuk mengubah budaya kerja dan sikap pekerja bagi memastikan KTMB mampu mencapai sasaran keuntungan yang dimahukan.

 

“KTMB mempunyai lebih dari 5,000 kakitangan. Perkara pertama yang saya lakukan ketika mengambil alih jawatan ini ialah mengadakan pertemuan dengan kesatuan sekerja dan mendapatkan pandangan mereka tentang apa yang dimahukan dan apa yang boleh dilakukan oleh pihak syarikat,” kata beliau lagi.

 

Beliau yang dilantik sebagai CEO KTMB pada 15 September 2017 menegaskan tugas utama beliau di syarikat berkenaan ialah untuk menghentikan kerugian yang berlarutan ditanggung syarikat itu.

 

“Ia jelas menjadi cabaran utama bagi mendapatkan keuntungan untuk KTMB. Apa sahaja usaha yang wajar termasuk menilai semula kontrak-kontrak yang difikirkan tidak memberikan faedah besar,” kata Mohd Rani.

 

KTMB merupakan syarikat milik Kementerian Kewangan dan keuntungan bersih terakhir yang dicatatkan oleh syarikat ini ialah antara tahun 1993 hingga 1995 sahaja dengan nilai RM9 juta hingga RM15 juta.

 

Selepas itu, KTMB hanya menanggung rugi dan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk perubahan dalam pengurusan tertinggi dan suntikan dana secara berterusan oleh Kerajaan, KTMB masih gagal.

 

Image result for transit aliran ringan
Kredit: Selangorkini

 

Terdapat pelbagai faktor yang boleh dikaitkan dengan kerugian KTMB dan antara faktor utama ialah kadar tambang perkhidmatannya yang tidak kompetitif. Misalnya jika dibandingkan dengan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), kadar tambang setiap kilometer KTMB ialah 10.8 sen berbanding LRT pada kadar 15 sen.

 

Di samping itu kos operasi KTMB terlalu tinggi untuk ditampung bagi kadar tambang seperti itu. Ini meliputi kos untuk penyelenggaraan landasan, koc dan stesen di samping kos upah kepada pekerjanya sendiri.

 

Data pada tahun 2015 menunjukkan bagaimana kos untuk membiayai pekerjanya mencecah 57 peratus daripada keseluruhan hasil yang dikutip oleh KTMB pada tahun itu. Ini seperti apa yang dinyatakan oleh bekas CEO, Datuk Sarbini Tijan bahawa setiap seringgit hasil yang diperoleh syarikat, 80 sen adalah untuk pembayaran kepada kakitangan.

 

Ini jelas menunjukkan bahawa KTMB mempunyai model perniagaan yang lemah dan tidak masuk akal. Malah kemungkinan besar ia berhadapan dengan masalah produktiviti dan kakitangan yang berlebihan. Ini kemungkinan hal yang perlu dilihat kerana kos pembayaran kakitangan yang tinggi tidak mencerminkan sebarang manfaat kepada KTMB dalam jangka masa panjang.

 

Selain perkhidmatan penumpang, KTMB menerusi syarikat subsidiarinya KTM Distribution Sdn Bhd (KTMD) menyediakan perkhidmatan kargo dan kurier. Namun begitu, perkhidmatan yang sepatutnya menjana keuntungan tinggi turut menanggung kerugian besar sehingga RM55 juta setiap tahun. Ini juga menjadi hal yang harus diperhatikan dalam usaha untuk merombak KTMB secara menyeluruh.

 

Related image
Kredit: Testimonials

 

Malah kelemahan KTMD ini turut menerima teguran Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 2017. Laporan berkenaan mendapati KTMD tidak melaksanakan apa-apa kajian untuk menilai keberkesanan kaedah pemasaran yang sedang digunakan. Keadaan ini membuatkan KTMD gagal mengetahui keperluan pasaran dengan baik.

 

Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara juga mendapati KTMD gagal menguruskan hasil dan tunggakan penghutang dengan cekap. Lebih serius ialah apabila didapati wakil ahli Lembaga Pengarah Bebas KTMD tiada yang mempunyai latar belakang berkaitan industri perkhidmatan kurier dan kargo.

 

Ini ialah teguran-teguran penting buat KTMB secara menyeluruh jika mereka berhasrat untuk mengekalkan keuntungan yang diperoleh. Ia bukan satu perkara yang boleh diambil mudah. Ini kerana KTMB ialah syarikat terbesar dan ia tidak mempunyai pesaing jelas, khasnya bagi perkhidmatan kereta api antara bandar.

 

Image result for KTM Distribution Sdn Bhd
Kredit: Otaku Resources

 

Malah melalui jaringan perkhidmatan yang luas, KTMB mampu menjadi syarikat kargo dan kurier darat paling utama di negara ini, asalkan ia diuruskan secara tepat dan memiliki model perniagaan bersesuaian.

 

Selain hal-hal berkaitan perniagaan, KTMB perlu secara serius memikirkan kaedah dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan, khasnya Komuter yang masih menimbulkan rasa geram orang ramai kerana kerap tergendala dan tidak bergerak mengikut waktu ditetapkan.

 

Syarikat ini juga perlu memikirkan dengan serius untuk tidak terlalu bergantung kepada pertolongan Kerajaan, ini ialah masa untuk KTMB menghasilkan wang dan keuntungan sendiri untuk ia pula memberikan pulangan besar kepada Kerajaan.

 

Jom Beli Rumah Online Di Expo Klik Hartabumi

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…