fbpx

LHDN Sahkan Hasil Cukai RM16 Bilion Hilang, Najib Minta Adakan RCI

Oleh : Kapital
27 Ogos 2018 - 2:20 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Kerajaan kekurangan dana sebanyak RM14.56 bilion untuk membuat pembayaran balik kepada pembayar cukai
  • Kita akan bayar balik. Tetapi hanya bila kita ada duit – Tun M

 

Sebelum ini, isu berkenaan masalah tunggakan bayaran balik cukai input GST sebanyak RM19.397 bilion menjadi isu hangat perbualan orang ramai. Tidak cukup dengan isu itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mendedahkan lagi satu kepincangan daripada Kerajaan BN di mana mereka gagal untuk melunaskan tunggakan bayaran balik cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah.

 

Menerusi satu kenyataan media Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng telah menyatakan kerajaan terdahulu gagal mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion.

 

Jumlah tunggakan bayar balik tersebut melibatkan sebanyak 1,653,786 kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan yang telah tertangguh selama 6 tahun. Punca bayaran ini gagal dijelaskan kerana kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai lansung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

 

Mengikut rekod Jabatan Akauntan Negara, baki yang terkumpul dalam akaun TBBC setakat 31 Mei 2018 berjumlah RM1.486 bilion. Hal ini menyebabkan kerajaan gagal untuk menjelaskan kesemua tunggakan kerana kekurangan dana sebanyak RM14.56 bilion.

 

Pada 24 Ogos 2018, Lembaga Hasil Dalam Negeri melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah telah mengesahkan kenyataan Menteri Kewangan tersebut.

 

“Penangguhan bayaran balik cukai terlebih bayar ini disebabkan oleh peruntukan dalam TBBC yang tidak mencukupi,” ujar Sabin dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh LHDN.

 

Menurt Sabin lagi, LHDN sebelum ini telah berhubung dengan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah bagi memaklumkan mengenai kedudukan baki kredit terkini TBBC. Beliau juga menyatakan LHDN telah membuat permohonan rasmi bagi meminta peruntukan tambahan disalurkan kepada TBBC agar tunggakan bayaran balik dapat dijelaskan.

Image result for sabin lhdn
Kredit: Berita Harian

Dalam membuat pembayaran tunggakan, LHDN buat masa ini memberikan keutamaan kepada pembayar cukai individu kerana dana kewangan TBBC yang terhad. Tunggakan pembayaran cukai yang tertakluk dalam kategori lain akan diselesaikan hanya selepas peruntukan tambahan diperoleh.

 

Pada masa yang sama, LHDN turut mengemukakan cadangan untuk mempertimbangkan kaedah ‘set-off’ cukai. Kaedah ini terguna pakai kepada pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik.

 

Kementerian Kewangan telah menyatakan persetujuan dengan kaedah ‘set-off’ ini dan menyatakan permohonan ‘set-off’ boleh dibuat kepada LHDN. Walau bagaimanapun, permohonan ‘set-off’ akan disemak dan dipertimbangkan serta bayaran wang akan dibuat mengikut kemampuan kedudukan kewangan kerajaan.

 

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan lama merupakan pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit mereka supaya dapat menunjukkan keadaan lebihan”, ujar Lim Guan Eng mengenai masalah bayaran balik tunggakan tersebut.

 

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kemudiannya telah membuat kenyatan balas melalui laman facebook beliau mengenai tuduhan pecah amanah oleh Menteri Kewangan tersebut.

 

“Kerajaan mengutip cukai pendapatan sebanyak RM130 bilion setiap tahun. Jika 10 tahun, ia berjumlah RM1.3 trillion. Jika benar RM16 bilion belum dibayar balik ia hanya 1% dari kutipan bagi tempoh 10 tahun”, ujar Najib.

 

Najib turut menambah kenyataan beliau dengan menyatakan antara faktor LHDN tidak mampu membayar balik tunggakan tersebut adalah disebabkan pekerja ataupun syarikat asing tidak lagi berada atau beroperasi di negara ini serta syarikat tersebut sudahpun tutup atau individu yang tidak dapat dikesan.

 

Beliau juga menyatakan kehairanan kerana Lim Guan Eng hanya sedar akan isu ini selepas 3 bulan menjawat jawatan Menteri Kewangan. Beliau turut mengkritik sikap Menteri Kewangan itu yang enggan membuat laporan apabila diminta berbuat demikian.

 

“Lebih baik kerajaan PH menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk kedua-dua isu GST dan cukai lebih bayar dengan serta-merta kerana melibatkan wang kerajaan sebanyak RM35 bilion bagi mencari kebenaran”, tambah Najib supaya rakyat tahu kebenaran adakah Kerajaan BN, Kastam dan LHDN telah melakukan pecah amanah.

Image result for lim guan eng and najib
Kredit: Malaysian Access

Tun Dr. Mahathir turut mengulas mengenai isu tunggakan bayaran balik ini dengan berkata pihak yang telah membuat bayaran lebihan cukai pendapatan perlu menunggu sehingga kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk membuat bayaran balik.

 

“Kita akan bayar balik. Tetapi hanya bila kita ada duit. Mereka (Kerajaan BN) membelanjakan duit itu dan duit itu kemudiannya hilang”, ujar Dr. Mahathir.

 

Beliau turut mengkritik Kerajaan BN di bawah pemerintahan Najib sebelum ini yang bertindak seolah-olah ingin menakutkan sesiapa yang ingin memberikan dana kepada pihak pembangkang.

 

“Jika anda dilihat sebagai seseorang yang rapat dengan saya, anda akan didatangi oleh jabatan cukai pendapatan dan pihak cukai yang akan membuat pelbagai permintaan mengarut. Walaupun anda telah membuat pembayaran penuh, mereka akan berkata anda belum buat pembayaran”, Dr, Mahathir mengulas lanjut.

 

Pihak yang ‘rapat’ dengan Pakatan Harapan diberikan ugutan melalui tindakan undang-undang serta akaun bank mereka akan dibekukan. Perkara ini terjadi kepada Pengarah Eksekutif Country Heights Holdings Bhd, Lee Kim Yew di mana beliau telah didatangi oleh LHDN mengarahkannya untuk membuat bayaran berjumlah RM90 juta. Sekiranya bayaran tidak dibuat, akaun beliau akan dibekukan.

 

Berikutan kes cukai terlebih bayar ini, pihak Bukit Aman melalui wakilnya Datuk Seri Amar Singh telah membuat kenyataan akan membuat siasatan lanjut berkenaan kes pecah amanah tersebut. Semua ahli lembaga pengarah sedia ada dan penyandang terdahulu seperti Irwan Serigar dijangka akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

 

Jom Beli Rumah Online di Expo Klik Hartabumi!

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…