fbpx

[EKSKLUSIF] Medkad: Startup Penyelesai Syak Wasangka Pekerja Ambil MC

Oleh : Wan Syarafiz
29 Ogos 2018 - 3:52 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Penggunaan Medkad boleh mempercepatkan tuntutan bayaran balik kepada klinik
  • Sistem prabayar Medkad mampu menjimatkan majikan sehingga 30%

 

Dengan kehadiran teknologi yang semakin berkembang pesat, kita dapat lihat syarikat startup telah mula wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Syarikat yang bermula sebagai startup seperti Grab, TheLorry, Katsana dan iFlix telah pun mula menempa kejayaan di Malaysia.

 

Kini, ada satu lagi syarikat yang semakin dikenali dan mencipta nama dalam industri startup di Malaysia. Ia dikenali sebagai Medkad. Pernahkah anda mendengar nama Medkad ini? Mungkin bagi mereka yang berada dalam industri startup ini sudah pasti mengenali Medkad. Tetapi untuk orang awam yang tidak pernah tahu akan kewujudan syarikat ini, anda perlu beri perhatian!

 

Medkad ialah sebuah startup yang berbeza penawarannya berbanding beberapa startup yang lain. Medkad memfokuskan perkhidmatan dalam bidang kesihatan. Startup ini menyediakan solusi kepada syarikat-syarikat untuk mengurus dan automasi manfaat kesihatan (medical benefits) untuk para pekerja mereka dengan kos yang efektif.

Image result for medkad
Kredit: Medkad

Bagaimana Medkad ini berfungsi? Ia berfungsi hampir sama seperti panel insuran sedia ada di pasaran seperti AIA atau PM Care yang diupah oleh sesebuah syarikat untuk menguruskan manfaat kesihatan pekerja mereka. Tetapi yang menariknya, Medkad ini mengaplikasikan penggunaan prabayar (prepaid) dalam sistem mereka.

 

Menurut CEO Medkad, Ezuan Yaacob, sistem prabayar yang diguna pakai dalam Medkad ini akan lebih menguntungkan syarikat. Ini kerana, kebiasaannya syarikat akan membayar kepada panel insuran untuk pengurusan manfaat kesihatan pekerja mereka. Daripada jumlah keseluruhan yang dibayar ini, hanya 70% sahaja yang akan digunakan. Baki 30% lagi hanyalah lebihan bayaran yang tidak digunakan.

 

“Berbeza dengan Medkad, jika syarikat menggunakan khidmat kami dan terdapat lebihan kredit, syarikat tersebut boleh menuntut bayaran balik baki lebihan yang tidak digunakan”

 

“Baki lebihan bayaran juga tidak akan hangus jika tidak dituntut, sebaliknya baki tersebut boleh dibawa ke tahun hadapan”, ujar Ezuan.

 

CEO Medkad

 

Model prabayar ini juga akan lebih memudahkan syarikat untuk membuat bajet bulanan dan tahunan yang perlu diperuntukkan bagi manfaat kesihatan pekerja mereka.

 

Setakat ini, sebanyak 681 klinik seluruh negara, 71 klinik pergigian dan 47 hospital telah berdaftar dengan Medkad. Untuk pusat optikal pula, Medkad telah memeterai perjanjian eksklusif dengan Focus Point yang membenarkan pelanggan menggunakan Medkad di kesemua 181 cawangan Focus Point.

 

 

 

Image result for medkad
Kredit: Fanikatun Creative House

 

Untuk syarikat pula, sebanyak 50 syarikat yang telah berdaftar dengan Medkad yang meliputi jumlah sekitar 1,700 orang pengguna.

 

Apa kelebihan Medkad ini kepada klinik? Menurut Ketua Pegawai Strategi Medkad, Ahmad Azlan, pembayaran yang dibuat oleh Medkad hanya mengambil masa 5 hari sahaja. Ini pasti memberi khabar gembira kepada pemilik klinik kerana sebelum ini klinik perlu menunggu dalam tempoh masa yang lama sehingga berbulan-bulan untuk mendapat bayaran daripada pihak panel insuran.

 

Kehadiran Medkad dalam industri kesihatan negara sedikit sebanyak membantu pertumbuhan klinik-klinik yang baru mula bertapak dan beroperasi. Azlan menyatakan idea penubuhan Medkad ini sebenarnya untuk membantu syarikat menguruskan manfaat kesihatan pekerja dan dalam masa yang sama ingin memudahkan klinik-klinik membuat tuntutan bayaran.

 

Sesi temubual Kapital bersama pengasas Medkad

 

Azlan dan Ezuan berkata mereka sering mendengar keluhan daripada pemilik klinik yang perlu menunggu lama untuk mendapat bayaran daripada panel insuran. Ini sedikit sebanyak mengganggu pengurusan perbelanjaan dan juga operasi klinik. Ada beberapa klinik yang gulung tikar kerana tidak mampu untuk membayar kos overhead akibat bayaran lambat daripada syarikat atau panel insuran.

 

Daripada segi proses penggunaan pula, setiap pengguna Medkad perlu mempunyai aplikasi Medkad yang boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play Store. Daripada aplikasi ini, klinik hanya perlu mengimbas Kod QR setiap pengguna. Tetapi bagi klinik yang tidak mempunyai kemudahan pengimbas, Medkad juga menyediakan kod 6-digit. Klinik hanya perlu memasukkan kod 6-digit ini ke dalam sistem mereka.

 

 

Antara kelebihan Medkad ini lagi, syarikat boleh mendapatkan maklumat secara terus setiap kali pekerja mereka pergi ke klinik atau hospital. Segala maklumat mengenai masalah kesihatan yang dihadapi oleh pekerja mereka akan terus dihantar ke pihak Sumber Manusia syarikat itu. Syarikat juga akan dimaklumkan berkenaan surat sakit (MC) dan ubatan yang diberikan kepada pekerja itu.

 

Menurut Ezuan, maklumat yang mereka terima daripada syarikat yang menggunakan khidmat Medkad setakat ini adalah positif. Banyak penurunan MC dilaporkan dan masalah tuntutan palsu (fraud claim) juga dapat diselesaikan.

 

Mengenai perancangan masa depan pula, Medkad berharap lebih banyak syarikat yang mempunyai ribuan pekerja akan memilih mereka bagi pengurusan manfaat kesihatan. Medkad juga kini sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Kesihatan bagi operasi di hospital kerajaaan serta menyatakan kemungkinan Medkad boleh digunakan untuk kegunaan peribadi di masa akan datang.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…