fbpx

Pembaziran RM61.55 juta Akibat Kegagalan Dua Marina – Ketua Audit Negara

Oleh : Kapital
14 Ogos 2018 - 4:05 pm

Reading Time: 4 minutes
  • 7 daripada 25 kementerian berjaya mencapai tahap cemerlang, 16 di tahap baik & 2 memuaskan
  • Kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM40.32 bilion.

 

Pada 6 Ogos lepas, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 Siri 1 telah dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat. Laporan ini merangkumi analisa dan penilaian ke atas penyata kewangan, operasi dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Agensi Kerajaan, Pihak Berkuasa Awam Lain dan Badan-badan.

 

Proses audit ini termaktub dalam Perkara 106 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 yang memberi tanggunggjawab kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit organisasi tersebut dengan perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

 

Untuk mudah difahami, audit ini dijalankan untuk menilai prestasi organisasi pada tahun tersebut dalam menjalankan tugas dan menguruskan kewangan. Proses audit ini kemudian diterjemahkan dalam bentuk laporan dan boleh diakses oleh setiap rakyat.

 

Dalam sesi pembentangan LKAN, 7 daripada 25 kementerian berjaya mencapai tahap cemerlang bagi pengurusan kewangan (Indeks Akauntabiliti). Manakala 16 kementerian telah memeperoleh tahap baik dan 2 lagi kementerian hanya berkedudukan di tahap memuaskan.

Image result for laporan ketua audit negara 2017
Kredit: Sinar Harian

13 jabatan daripada 18 jabatan mencapai tahap cemerlang dan baki selebihnya pada tahap baik. Audit Badan Berkanun Persekutuan pula menunjukkan hanya 2 di tahap cemerlang, 12 di tahap baik, 5 di tahap memuaskan dan lagi 2 di tahap kurang memuaskan.

 

Di peringkat kerajaan negeri pula, audit Indeks Akauntabiliti melaporkan 45 Kementerian dan Jabatan di tahap cemerlang, 47 di tahap baik, 17 tahap memuaskan, 5 di tahap kurang memuaskan dan 2 di tahap yang tidak memuaskan.

 

Audit yang dijalankan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula melihatkan 20 PBT berada di tahap cemerlang, 18 di tahap baik, 3 sekadar memuaskan dan 2 lagi tidak memuaskan.

 

Antara perkara yang akan menjadi tumpuan orang ramai selepas LKAN dikeluarkan saban tahun pastinya penyata kewangan organisasi. Melalui LKAN 2017 ini, penyata kewangan menunjukkan peningkatan 3.8% hasil Kerajaan Persekutuan berbanding tahun sebelumnya. Hasil yang dikutip telah meningkat daripada RM212.42 bilion kepada RM220.41 bilion.

 

Dari sudut perbelanjaan untuk mengurus, sebanyak RM217.7 bilion telah dibelanjakan oleh Kerajaan persekutuan. Ini adalah melebihi peruntukan yang diberikan ebanyak RM216.7 bilion. Untuk pembangunan pula, Kerajaan Persekutuan berjaya membuat penjimatan dengan perbelanjaan sebanyak RM44.88 bilion daripada peruntukan asal RM45.32 bilion. Jumlah keseluruhan untuk pengurusan dan pembangunan ialah RM262.5 bilion.

 

Melalui angka ini, jelas sekali menunjukkan jumlah perbelanjaan keseluruhan Kerajaan Persekutuan adalah melebihi daripada hasil yang diperoleh. Jika belanja lebih daripada hasil, ia dipanggil defisit!

 

“Kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM40.32 bilion. Kerajaan Persekutuan telah membuat pinjaman dari dalam negeri serta pinjaman luar negeri berjumlah RM129.25 bilion untuk menampung defisit tersebut dan juga membayar balik hutang,” Ketua Jabatan Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mengulas mengenai hutang Kerajaan Persekutuan.

Image result for tan Sri Dr Madinah Mohamad
Kredit: MH Online

Setiap kali LKAN dikeluarkan kepada tatapan umum melalui laman web, pasti ia tidak akan lekang daripada kontroversi dan kritikan terhadap Kerajaan Persekutuan mahupun Negeri.

 

Beberapa isu telah berbangkit daripada LKAN ini. Antaranya ialah isu dewan bedah di Hospital Alor Gajah, Melaka yang tidak berfungsi selama 5 tahun. Hal ini menyebabkan perkhidmatan pembedahan tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

 

Tidak terhenti di situ, LKAN juga menunjukkan berlaku kucar-kacir dalam proses perolehan kerana wujud keraguan dalam pemilihan pembekal 6 syarikat untuk kontrak peralatan peralihan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILTJM) yang bernilai RM37.1 juta.

 

Semakan audit melaporkan kesemua 6 syarikat tersebut mempunyai format penghantaran dan invois yang hampir sama. Persoalannya, adakah semakan melalui SSM telah dilakukan terhadap syarikat ini sebelum kontrak diberikan?

 

Di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) turut berlaku permasalahan dengan proses perolehan yang dikategorikan sebagai pembayaran tidak wajar. Pemberian perolehan secara tender dan sebut harga dengan jumlah keseluruhan RM4.81 juta tidak dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Harga kerana kekangan masa anggota untuk bersidang. Ini adalah satu alasan yang tidak boleh diterima.

 

Bukan itu sahaja, di Perlis, laporan audit terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mendapati proses pemberian Bantuan Am dan Bantuan Membaiki Rumah dari 2014 hingga 2016 tidak diselia dengan memuaskan. 21 penerima yang tidak mempunyai butiran lengkap dan tidak layak telah menerima bantuan berjumlah RM20,610.

 

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula didapati gagal memanfaatkan sebanyak 304 unit senjata api yang bernilai RM1.5 juta kerana dibeli sebelum mendapat kelulusan lesen daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kelemahan dalam verifikasi senjata api tidak dilakukan secara bertulis serta pelantikan pegawai persenjataan dan pegawai teknikal persenjataan tidak mengikut prosedur turut dilaporkan.

 

Terdapat juga laporan mengenai pembaziran wang awam bernilai RM61.55 juta apabila dua marina yang dibina kerajaan tidak beroperasi setelah siap dibina. Dua marina tersebut terletak di Kuala Kedah dan Pulau Mentagor, Perak.

 

Berikutan kelemahan yang didapati melalui LKAN ini, sebanyak 14 syor atau penambahbaikan telah diberikan kepada Penyata dan Pengurusan Kewangan di peringkat Kerajaan Persekutuan. Di peringkat Kerajaan Negeri pula, 162 syor telah dikemukakan.

 

Secara keseluruhannya, LKAN ini adalah satu indikasi yang boleh dijadikan garis ukur oleh rakyat dalam menilai sesuatu Kerajaan itu dalam urus tadbir. Beberapa penambahbaikan boleh diambil di setiap peringkat organisasi kerana setiap perbelanjaan pengurusan dan pengurusan haruslah telus dan mengikut garis panduan.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…