fbpx

Akhirnya, Selangor Beli SPLASH Pada Harga RM2.55 Bil

Oleh : Kapital
08 Ogos 2018 - 4:20 pm

Reading Time: 3 minutes
  • Air Selangor perlu membayar sebanyak RM 1.9 bilion dalam masa 14 hari selepas perjanjian ditandatangani dan baki RM 650 juta dibayar secara ansuran selama 9 tahun.
  • Pada tahun 2013, Tan Sri Khalid Ibrahim telah membuat tawaran sebanyak RM 250 juta untuk mengambilalih SPLASH.

 

Kerajaan negeri Selangor melalui Menteri Besar, Amirudin Shaari telah mengumumkan penawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) melalui Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dengan jumlah bernilai RM 2.55 bilion yang akan dibayar secara tunai.

 

Pengambilalihan SPLASH ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk melakukan penstrukturan semula air di negeri terbabit. Terdahulu, Air Selangor telah mengambilalih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (Puncak Niaga) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) pada sekitar tahun 2015.

 

Perjanjian pengambilalihan SPLASH ini memerlukan Air Selangor untuk membuat pembayaran sebanyak RM 1.9 bilion dalam masa 14 hari selepas perjanjian ditandatangani dan baki RM 650 juta dibayar secara ansuran selama 9 tahun.

 

“Ia adalah pembayaran jangka panjang yang membolehkan Air Selangor beroperasi pada kos munasabah dan memastikan tarif air tidak membebankan rakyat,” kata Amirudin Shaari mengulas soal tawaran Rm 2.55 bilion tersebut.

Kredit: NST

Bagi menangani masalah bekalan air yang sering kali melanda di negeri Selangor, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengambilalih sepenuhnya pemilikan SPLASH. Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah menolak cadangan pembiayaan 60:40 untuk pemilikan SPLASH di mana Kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) membayar 60% dan Kerajaan Negeri membayar baki 40%.

 

Hal ini kerana, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat mengambilalih sepenuhnya SPLASH yang selari dengan dasar penubuhan Air Selangor untuk meletakkan semua syarikat konsesi air di Selangor di bawah penyeliaannya agar pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya lebih mudah dan teratur.

 

Menurut Amirudin, nilai Rm 2.55 bilion untuk pengambilalihan SPLASH ini adalah wajar berdasarkan penilaian bebas yang telah dilakukan sebelum ini. Pada tahun 2016, Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional telah melantik firma Deloitte untuk melakukan penilaian bagi jumlah yang perlu ditawarkan untuk pengambilalihan SPLASH dan Deloitte meletakkan tanda harga sebanyak RM 3 bilion kepada syarikat konsesi ini.

 

Kerajaan Negeri Selangor juga pada tahun 2015 telah mengambil inisiatif sendiri dengan melantik RHB bagi melakukan penilaian dan SPLASH telah dinilai dengan kadar sekitar RM 2.8 bilion ke RM 3.2 bilion.

 

Walaupun nilai RM 2.55 bilion yang ditawarkan oleh Air Selangor merupakan satu jumlah besar, namun nilai yang ditawarkan ini adalah kurang sebanyak 28% daripada nilai buku bersih (NBV) SPLASH yang bernilai RM 3.54 bilion. Antara pemegang saham Splash Holdings adalah Gamuda yang menjadi pemegang saham terbesar dengan pegangan sebanyak 40%, Kumpulan Peransang Selangor (30%) dan Sweet Water SPV Sdn Bhd yang dimiliki oleh Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah dengan pegangan 30% saham.

 

Dengan nilai tawaran RM 2.55 bilion, Gamuda dijangka akan menerima Rm 1.02 bilion daripada perjanjian tersebut dan jumlah ini adalah kurang daripada nilai pegangan saham berdasarkan NBV SPLASH dimiliki oleh Gamuda yang bernilai RM 1.42 bilion dan ini sedikit sebanyak akan merugikan Gamuda sebanyak RM 400 juta jika pengambilalihan ini berjaya direalisasikan.

 

“Hari ini apabila pembelian Syarikat Splash oleh Syarikat Air Selangor berjumlah RM2.55 bilion dimuktamadkan, ianya telah menjadikan rakyat Selangor membayar lebih 10 kali ganda dari apa yang ditawarkan oleh Kerajaan negeri pada 2013”. Menurut Tan Sri Khalid Ibrahim melalui laman Facebook beliau.

 

Tan Sri Khalid Ibrahim dilihat lantang mengkritik Kerajaan Negeri hari ini yang dikatakan membuat satu nilai tawaran yang hanya akan merugikan rakyat dan memberikan keuntungan berlebihan kepada pemilik saham SPLASH. Pada tahun 2013, Kerajaan Negeri telah membuat tawaran sebanyak RM 250 juta bagi mengambilalih SPLASH namun langkah ini dikatakan ditentang oleh ahli pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membawa kepada pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada jawatan Menteri Besar Selangor.

Kredit: IKIMFM

Pada ketika itu, tawaran RM 250 juta diberikan meliputi bayaran ekuiti serta tanggungan hutang berjumlah RM 1.564 bilion di mana tawaran itu diberikan berdasarkan pulangan 12% setahun serta potongan dividen yang telah dibayar. SPLASH dilaporkan telah membuat pembayaran sebanyak RM 725.4 juta kepada pemegang sahamnya sebagai dividen sebelum itu.

 

Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim telah menyelesaikan pengambilalihan Syabas, Puncak Niaga dan Konsortium Abbas dalam langkah penstrukturan semula air di negeri terbabit. Namun, pengambilalihan SPLASH telah tertangguh sekian lama disebabkan oleh pertikaian jumlah nilai tawaran.

 

Dengan jumlah penawaran sebanyak RM 2.55 bilion untuk pemilikan penuh SPLASH, Kerajaan Negeri seharusnya sentiasa menjadikan kebajikan rakyat negeri Selangor sebagai keutamaan kerana telah wujud kerisauan dalam kalangan rakyat negeri Selangor yang bimbang tarif air akan meningkat ekoran langkah penawaran pemilikan SPLASH dengan harga yang tinggi. Di samping itu, jika pemilikan SPLASH ini berjaya dilaksanakan, Kerajaan Negeri diharapkan berjaya menyelesaikan kemelut permasalahan air di Selangor yang seringkali mengganggu rakyat negeri terbabit.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…