fbpx

“PEROTIGA Sepatutnya Ke Arah Kereta Elektrik” – Jomo KS

Oleh : Kapital
01 Ogos 2018 - 12:03 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Percambahan industri automotif negara ini mampu membantu untuk merealisasikan hasrat Tun M sejak 1990an lagi untuk membangunkan kereta elektrik
  • kerajaan akan melaksanakan kajian secara menyeluruh terhadap Dasar Automotif Nasional bagi memastikan industri automotif negara kekal kompetitif

 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri Persidangan Nikkei ke-24 di Jepun pada Jun lalu telah menyuarakan pandangan untuk memulakan projek kereta nasional baharu. Sejak itu, cadangan berkenaan menjadi tumpuan terpenting dalam melihat masa depan industri automotif Malaysia.

 

Ada yang melahirkan kesangsian terhadap projek ini kerana beranggapan negara seharusnya memberikan tumpuan terhadap pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh.

 

Pandangan-pandangan yang sangsi terhadap cadangan ini telah disambut secara sinis oleh Tun M dan dalam catatan di blognya, chedet.cc. Menurut Tun, penolakan cadangan ini membuktikan bahawa Malaysia akan terus selesa untuk menjadi negara pengguna, negara penanam padi dan pemancing ikan.

 

Tun turut meletakkan senario industri automotif di Jepun dan Korea Selatan yang dilihat mengutamakan aspek kualiti dan teknologi di samping memberikan peluang pekerjaan dan peningkatan taraf hidup kepada rakyatnya sendiri.

 

Related image
Kredit: Al-Manar

 

“Jika kita pergi ke negara pembuat kereta seperti Jepun, Korea kita tidak akan lihat kereta yang bukan buatan negara mereka. Di Jepun kereta Jepun, di Korea kereta Korea. Kenapa? Kerana mereka tidak benar kereta asing diimport. Hasilnya kualiti kereta mereka meningkat dan mereka mengeksport berjuta kereta mereka. Mata wang asing pun mengalir dengan banyaknya ke negara mereka.

 

“Pekerja mereka mendapat kerja dan hidup mewah. Ekonomi mereka tumbuh sehingga mereka menjadi negara maju. Industri kejuruteraan mereka maju dan mampu membantu industri kejuruteraan yang lain,” tulis Tun dalam catatan di blognya.

 

Antara pihak yang melihat tidak wujud keperluan buat masa ini untuk Malaysia mempunyai satu lagi projek kereta nasional ialah Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

 

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad beranggapan Malaysia tidak memerlukan satu lagi projek kereta nasional baharu berasaskan kepada situasi industri automotif negara yang disifatkan sudah berkembang maju dan Aishah turut berpandangan berdasarkan kepada skala ekonomi, pasaran kenderaan tempatan adalah kecil.

 

Image result for aishah ahmad maa
Kredit: The Malaysian Reserve

 

Namun begitu, cadangan projek kereta nasional baharu yang digelar sebagai PEROTIGA ini cuba ditafsirkan secara positif oleh pakar ekonomi terkemuka yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Profesor Jomo Kwame Sundaram.

 

Bagi Jomo apa yang diutarakan oleh Tun M tentang PEROTIGA ini perlu diperhalusi dan diberikan pertimbangan sewajarnya memandangkan ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merancakkan sektor perindustrian tempatan yang memliki kekuatan dari sudut daya saing dan teknologi.

 

Jomo juga menyatakan kewujudan PEROTIGA tidak menjejaskan apa-apa sebaliknya ia memperbanyakkan kapasiti industri automotif Malaysia dan kerjasama PROTON dan Geely sekarang pula boleh digunakan sebaik mungkin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab eksport utama bagi pengeluaran kereta saiz sederhana dari seluruh dunia.

 

Image result for jomo ks
Kredit: Says

 

Ini merupakan sebahagian daripada komitmen terbaharu kerajaan dalam memastikan Malaysia memiliki segmen perindustrian kereta yang lebih banyak dan maju.

 

Jomo juga melihat bagaimana percambahan industri automotif negara ini mampu membantu untuk merealisasikan hasrat Tun M sejak 1990an lagi untuk membangunkan kereta elektrik. Berasaskan kepada situasi semasa, hasrat ini dilihat mampu memenuhi keperluan global bagi menangani isu pencemaran udara dan perubahan iklim yang berpunca daripada penggunaan bahan api.

 

Jomo juga melihat kereta elektrik mampu mengenepikan keperluan enjin konvensional yang menjadi cabaran dalam membangunkan kereta buatan Malaysia sejak bertahun-tahun lalu.

 

Tun M dalam jawapan di Dewan Rakyat pada 30 Julai 2018 menyebut mengenai kepentingan untuk Malaysia mempunyai industri automotif yang berkualiti tinggi jika kita berhasrat untuk muncul sebagai sebuah negara maju. Tun M berpegang kepada prinsip bahawa sebuah negara maju perlu mempunyai keupayaan dalam bidang kejuruteraan.

 

Image result for tun mahathir dewan rakyat
Kredit: Malaysianview

 

Sehubungan itu, menurut Tun selepas melihat kepada kepentingan bidang kejuruteraan dan bagaimana persaingan di pasaran semasa tidak memihak kepada industri automotif tempatan, kerajaan akan melaksanakan kajian secara menyeluruh terhadap Dasar Automotif Nasional bagi memastikan industri automotif negara kekal kompetitif.

 

Tun juga menegaskan kajian ini nanti akan membincangkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan industri automotif tempatan termasuk PEROTIGA, pembangunan syarikat-syarikat tempatan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta peningkatan eksport. Tun juga menyifatkan kerajaan sentiasa terbuka terhadap apa jua cadangan mengenai pelaksanaan PEROTIGA termasuk mengadakan kerjasama dengan negara-negara maju lain.

 

Melalui kenyataan ini ia jelas membuktikan bagaimana kerajaan tetap dengan pendirian untuk melaksanakan PEROTIGA namun akan memperhalusi semua kemungkinan dan peluang yang ada demi memastikan ia memberikan manfaat menyeluruh kepada industri automotif negara dan bukan memberikan keuntungan kepada mana-mana syarikat semata-mata. Ia demi faedah kepada negara.

 

Image result for industri automotif malaysia
Kredit: Utusan

 

Kita juga dapat menyimpulkan bentuk PEROTIGA itu belum dimuktamadkan, malah hala tuju dan strategi tertentunya juga belum diperhalusi lagi. Namun begitu, berdasarkan kepada kenyataan yang dibuat Jomo, kita mungkin boleh melihat PEROTIGA ini bakal memanfaatkan teknologi semasa dan memberikan nafas baru terhadap perusahaan automobil tempatan.

 

Kemungkinan besar kita akan melihat fokus PEROTIGA beralih kepada hasrat Tun M sejak 1990an untuk melihat Malaysia mempunyai kereta elektriknya sendiri dan di masa sekarang kereta elektrik ialah kereta masa depan yang memiliki potensi cerah untuk diterokai.

 

Namun begitu, jika benar PEROTIGA bakal memberikan fokus kepada penghasilkan kereta elektrik, adakah rakyat Malaysia sudah benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan revolusi automotif tempatan ini?

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Front Facade
Kapital

Lokasi Adalah ‘Senjata’ Penting Tarikan Hartanah

Reading Time: 4 minutes Tatkala pasaran hartanah semasa berada dalam situasi yang mencabar, apakah faktor yang boleh menarik minat orang ramai untuk…

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…