fbpx

Skim Insuran Kesihatan: Sihat Untuk Rakyat, Sakit Untuk Negara

Oleh : Kapital
29 Ogos 2018 - 6:20 pm

Reading Time: 5 minutes

 


  • Kementerian Kesihatan bercadang peruntukkan RM10,000 hingga RM20,000 setahun untuk golongan B40 mendapatkan rawatan kesihatan di hospital awam dan swasta.
  • Skim yang diperkenalkan kerajaan bakal mengundang implikasi kewangan kerajaan sebanyak RM1.5 bilion setahun hanya untuk mendapatkan rawatan asas.

 

Isu penjagaan kesihatan sekali lagi mendapat tempat dalam kalangan masyarakat apabila dikhabarkan langkah cadangan untuk menaikkan kadar caj konsultasi di klinik swasta sehingga RM125. Berbanding ketika ini, caj yang dikenakan antara  RM10 hingga RM35 sahaja.

 

Cadangan yang menimbulkan kekecohan ini ditimbulkan sendiri dari kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Azman Abu Bakar yang berkata sudah tiba masanya untuk semakan caj konsultansi di klinik swasta dibuat dan dinaikkan berbanding kadar semasa.

 

Kali terakhir semakan caj ini dibuat adalah pada tahun 2006.

 

Beliau berkata demikian selepas program ‘Sesi Town Hall: Konsultasi Pihak Berkepentingan Bagi Cadangan Semakan Caj Pengamal Am’ dan menjelaskan cadangan kenaikan caj itu akan dikemukakan kepada Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad. Kebanyakan pihak berkepentingan yang hadir dalam sesi itu juga bersetuju dengan cadangan kenaikan kadar caj itu.

 

Sekiranya cadangan itu diterima, dijangka pelaksanaannya akan dibuat seawal-awalnya pada awal tahun hadapan manakala rakyat pula, terpaksa bersedia untuk menghadapi bebanan kos sara hidup selepas itu.

 

Image result for skim insuran kesihatan
Kredit: BH

 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pula dalam reaksinya kepada cadangan itu mengingatkan kerajaan tentang bebanan kos sara hidup rakyat yang masih belum berjaya diatasi sehingga kini.

 

Presiden CAP, SM Mohamed Idris menyuarakan kebimbangan bahawa peningkatan caj ini menyebabkan rakyat terhalang untuk mendapatkan rawatan sehingga boleh mengundang kesan yang lebih buruk.

 

“Sebarang peningkatan dalam yuran perundingan seharusnya tidak lebih tinggi berbanding kadar inflasi. Perlu diingatkan bahawa inflasi perubatan di Malaysia adalah salah satu yang tertinggi dirantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sememangnya isu kos rawatan kesihatan yang sentiasa meningkat sering menjadi perbincangan hangat. Menyedari kesihatan sebagai salah satu tumpuan yang perlu diberikan oleh kerajaan, maka Pakatan Harapan turut menyentuh isu ini dalam manifesto yang dibentuk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

 

Melalui komitmen penjagaan kesihatan yang diperkenalkan sebagai Skim Peduli Sihat Nasional, pelaksanaannya akan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi. Menurut manifesto itu, sebanyak RM500 akan diperuntukkan bagi mendapatkan rawatan asas di klinik swasta yang berdaftar.

 

Image result for klinik swasta
Kredit: New Clinic

 

Tujuan inisiatif ini untuk memastikan golongan B40 kurang bergantung dengan hospital kerajaan dan pusat kesihatan kerajaan yang mungkin jauh dari lokasi kediaman mereka. Langkah ini juga sekaligus membantu untuk mengurangkan beban kerja pegawai kesihatan kerajaan.

 

Selain itu, dalam manifesto Pakatan Harapan turut menjanjikan servis kelas wad 2 dan 3 secara percuma di semua hospital kerajaan. Maka, selepas Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan selepas PRU lalu, adakah skim kesihatan yang dijanjikan itu mampu ditunaikan?

 

Walaupun tuntutan manifesto ini kelihatan agak sukar dilaksanakan ekoran bebanan hutang negara lebih RM1 trilion seperti yang didedahkan sebelum ini. Namun cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye sedikit sebanyak menunjukkan kesungguhan kerajaan baharu ini.

 

Baru-baru ini, beliau mengutarakan cadangan supaya kerajaan menyediakan skim perlindungan insuran antara RM10,000 hingga RM20,000 setahun untuk satu keluarga yang berkategori B40.

 

Image result for lee boon chye
Kredit: TMI

 

Sedikit sebanyak  pengenalan cadangan ini boleh dianggap tepat pada masanya tatkala masih banyak rakyat Malaysia yang tidak mampu untuk mendapatkan insuran kesihatan yang agak membebankan.

 

Setakat ini, Dr Dzulkefly  menjelaskan, beberapa siri perbincangan telah dibuat antara kementerian tersebut dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia serta pihak berkepentingan untuk memastikan skim ini dapat dilaksanakan.

 

“Pada September ini segala perincian berhubung pelaksanaan skim berkenaan akan dirumuskan supaya ia dapat dimasukkan dapat pembentangan Bajet 2019,” katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor.

 

Apa yang menarik, satu perkara penting yang ditekankan adalah skim perlindungan kesihatan sosial yang sedang dirangka itu merupakan skim yang lengkap dan bukan hanya membabitkan hal ehwal rawatan asas sahaja.

 

Image result for hospital kerajaan
Kredit: Yadim

 

Perlindungan yang disediakan merupakan pakej lengkap yang merangkumi pelbagai perkara seperti saringan kesihatan, aktiviti pencegahan, pendidikan dan promosi kesihatan untuk penyakit tidak berjangkit serta penyakit kronik di peringkat pesakit luar.

 

Kaedah perlindungan yang akan digunapakai pula lebih lengkap melalui penggunaan pengkalan data kumpulan sasaran, pembangunan sistem, pemetaan pembekal perkhidmatan kesihatan serta implikasi kewangan kepada kerajaan.

 

Walaupun permulaan pelaksanaan skim ini hanya disasarkan kepada golongan B40, tetapi Dr Dzulkefly berkata, kementerian akan berusaha secara berperingkat untuk memastikan golongan lain termasuk berpendapatan pertengahan (M40) turut menikmati manfaatnya.

 

Jika diperhatikan konsep Skim Peduli Sihat Nasional ini datang daripada agenda Peduli Sihat yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini. Skim yang diteruskan sehingga sekarang telah memberi manfaat kepada lebih sejuta penduduk di Lembah Klang.

 

Image result for skim peduli sihat selangor
Kredit: BR1M

 

Peruntukan yang disedikan pula adalah RM500 setahun untuk sebuah keluarga manakala RM200 pula bagi individu dengan had Rm70 setiap rawatan. Selain itu, skim tersebut turut menawarkan vaksin percuma sehingga RM80 setahun untuk suntikan seperti Meningococcal, Influenza, Typhoid, Pneumococcal dan Hepatitis B.

 

Sekali imbas, agenda yang dicadangkan untuk meningkatkan kualiti kesihatan penduduk cukup menarik. Tetapi kekangan yang terpaksa dihadapi adalah negara kekangan sumber pendapatan untuk menampung skim ini sehingga kerajaan bercadang untuk menghentikan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

 

Untuk rekod, setiap tahun, peruntukan Kementerian Kesihatan sentiasa meningkat. Antara tahun 2010 sehingga 2017, ada dua tahun yang mengalami penurunan iaitu pada 2005 dan 2016. Pada tahun ini, peruntukan yang telah diberikan adalah sebanyak RM26.582 bilion berbanding tahun lalu sebanyak RM24.801 bilion.

 

Image result for malaysia medical association
Kredit: The Sun Daily

 

Justeru, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Mohamed Namazie Ibrahim membayangkan kerajaan bakal berdepan kesukaran untuk memastikan skim ini dapat dilaksanakan dengan baik di seluruh negara.

 

Hal ini demikian kerana, untuk menyediakan rawatan asas sahaja, kerajaan memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1.5 bilion setiap tahun.

 

Beliau menyimpulkan, walaupun kerajaan memulakan Skim Peduli Sihat Nasional tetapi jangka masa yang diperlukan mungkin tidak lama kerana bebanan kewangan yang tinggi yang disifatkan tidak berdaya maju.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…