fbpx

Taman Tema MAPS Rugi RM474.4 Juta, Kerajaan Negeri Arah Siasatan

Oleh : Wan Syarafiz
28 Ogos 2018 - 8:27 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Jumlah kemerosotan nilai aset MAPS berjumlah sebanyak RM186.5 juta
  • Perjanjian penamatan bersama Dreamworks memerlukan kesemua harta intelek milik Dreamworks dikeluarkan daripada MAPS

 

Taman Tema Animasi Studio (MAPS) merupakan taman tema yang terletak di Bandar Meru Raya, Ipoh yang bertemakan watak-watak filem animasi. Taman tema yang dibina dengan kos RM520 juta itu menawarkan 40 tarikan di sepanjang 6 zon yang bertemakan Animation Square, Dream, Blast off, Live Action, Lakeside dan Fantasy Forest.

 

Antara watak animasi yang menjadi tarikan utama di taman tema tersebut ialah The Smurf dan juga watak adiwira tempatan, Boboiboy. Taman tema yang dibina di atas tanah berkeluasan 21 hektar itu telah mula dibuka kepada orang ramai sejak 26 Jun 2017.

 

Pada Hari Raya Aidilfitri yang lepas, MAPS telah dipilih sebagai lokasi penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri 2018 peringkat negeri Perak.

 

Langkah ini diambil bagi memberi peluang kepada rakyat negeri Perak untuk merasai pengalaman permainan yang ditawarkan dalam taman tema tersebut. Menurut Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, beliau berpendapat bahawa rakyat Perak sendiri masih ramai tidak mampu dan tidak berpeluang untuk menikmati kemudahan taman tema tersebut.

Image result for maps hari raya
Kredit: Berita Harian

Faizal juga menambah langkah Kerajaan Pakatan membuat rumah terbuka di MAPS adalah sebagai satu komitmen untuk memperbetulkan kesilapan yang telah berlaku berkaitan dengan taman tema tersebut.

 

“Saya ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa saya amat komited untuk memperbetulkan apa juga kesilapan yang telah dibuat di tempat itu dan kita akan memperbaiki dan memperbetulkannya”, ujar Menteri Besar Perak tersebut.

 

Beliau juga menyatakan komitmen untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin supaya taman tema tersebut akan menjadi salah satu destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

 

Antara masalah yang dihadapi oleh MAPS ialah salah satu tarikan di taman tema tersebut iaitu Dream Zone tidak dapat digunakan walaupun segala kerja pembinaan telah disiapkan. Menurut Faizal lagi, MAPS turut berdepan dengan masalah pengurusan.

 

Sebelum ini, pihak kerajaan negeri Perak yang diwakili BN telah menyatakan zon DreamWorks telah lama siap tetapi pemilik harta intelek, DreamWorks telah mensyaratkan agar penambahbaikan audio dan pencahayaan dibuat. DreamWorks juga memohon supaya semakan tambahan seperti design, control dan structure intergrity ke atas rides dalam zon DreamWorks tersebut dilakukan.

 

Berikutan daripada masalah itu, pihak Perak Corporation Berhad (PCB) mengumumkan anak syarikat 51% milik tidak langsungnya, Animation Theme Park Sdn Bhd, (ATP) telah menamatkan Perjanjian Lesen dengan DreamWorks Animation L.L.C secara rasmi.

 

Penamatan perjanjian ini berkuatkuasa bermula 1 Ogos lepas yang melibatkan penamatan penubuhan dan operasi daya tarikan DreamWorks di MAPS.

Image result for maps dreamworks
Kredit: MAPS

Perjanjian penamatan bersama DreamWorks ini memerlukan kesemua harta intelek milik DreamWorks dikeluarkan daripada MAPS dan pengubahsuaian akan dilakukan kepada zon tarikan yang sebelum ini dikhususkan kepada watak animasi DreamWorks.

 

Menurut pihak PCB, keputusan ini diambil bagi memastikan keupayaan untuk terus beroperasi dan seterusnya akan menjana keuntungan kepada MAPS.

 

Pada 13 Ogos lepas, Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak, Nga Kor Ming membuat kenyataan bahawa satu audit forensik perlu dijalankan ke atas taman tema tersebut. Hal ini kerana MAPS didakwa telah mencatatkan kerugian besar yang bernilai RM474.4 juta sejak dari tahun 2013.

 

Jumlah kerugian yang diberitahu itu adalah termasuk jumlah kemerosotan nilai aset sebanyak RM186.5 juta dan juga kemerosotan nilai atas penghutang bukan dagangan yang berjumlah sebayak RM90.4 juta.

 

Pengerusi DAP negeri Perak itu juga berkata beliau mahu proses audit forensik dijalankan bagi mengesan sebarang penyelewengan atau salah laku yang telah dilakukan dan ingin membawa perkara tersebut ke muka pengadilan.

 

Nga Kor Ming juga mempersoalkan penglibatan kerajaan negeri dalam projek bernilai ratusan jutaan ringgit itu. Ini kerana, pada permulaan projek ini ingin dijalankan, ianya sepatutnya dibangunkan melalui pelaburan swasta dan pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak hanya bertindak sebagai penyedia tanah.

Image result for nga kor ming
Kredit: The Coverage

“Asalnya, projek ini melibatkan pelaburan swasta dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) hanya memberikan hak milik tanah. Namun kini, syarikat milik kerajaan negeri, Perak Corporation Berhad me­rupakan pemegang saham terbesar dalam projek MAPS dengan jumlah pelaburan sebanyak RM248 juta duit rakyat,” ujar Nga Kor Ming.

 

Pemegang saham MAPS ialah PCB Development Sdn Bhd (PCB) yang menjadi pemegang majoriti saham sebanyak 51%. Baki saham selebihnya dipegang oleh RSG MAPS Sdn Bhd (34.7%) dan Ramelle Ashram Ramli (14.3%).

 

Sebelum ini, wujud kontrovesi mengenai The Sanderson Design Group Sdn Bhd yang mempunyai pegangan saham 70% dalam RSG MAPS Sdn Bhd. Syarikat tersebut telah dikenakan tindakan mahkamah yang kemudiannya menimbulkan persoalan adakah sebarang kemungkinan tindakan mahkamah itu turut melibatkan taman tema tersebut.

 

Bukan itu sahaja, kewujudan individu yang bernama Ramelle Ashram Ramli sebagai salah seorang pemegang saham MAPS turut mengundang kontrovesi. Ini kerana, Ramelle merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Perak, Ramli Ngah Talib dan juga adik kepada ‘Jejai’. Beliau juga disebut sebagai antara orang kuat UMNO Pasir Salak, Perak.

 

Walaupun pelbagai masalah kini sedang dihadapi oleh taman tema tersebut, Menteri Besar Perak sendiri telah menyatakan jaminan daripada kerajaan negeri bahawa MAPS tidak akan ditutup. Beliau sebaliknya tekad untuk mencari penyelesaian kepada segala permasalahan itu.

 

Sememangnya MAPS kini sedang berdepan dengan kerugian yang sangat besar nilainya tetapi tidak dapat dinafikan kewujudan MAPS telah menyebabkan limpahan ekonomi di kawasan sekitarnya.

 

Kerajaan negeri BN sebelum ini juga menyatakan banyak pembangunan seperti hotel bajet, pasar raya, restoran dan kemudahan pengangkutan telah dibangunkan di sekitar Meru Raya. Nilai hartanah di kawasan itu juga telah meningkat sebanyak 3 kali ganda.

 

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…