fbpx

Utusan Rugi RM71 Juta, Status PN17 – Masa Untuk Berubah?

Oleh : Kapital
29 Ogos 2018 - 6:04 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Berdasarkan kepada rekod yang ada, kali terakhir Utusan Melayu mencatatkan keuntungan ialah pada 31 Disember 2011
  • Kerugian terkumpul Utusan mencatat lebih RM71 juta

 

Syarikat penerbitan terkenal negara, Utusan Melayu yang dimiliki UMNO kini berada dalam krisis kewangan dan pengurusan kritikal. Utusan Melayu dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia memaklumkan mereka kini menjadi syarikat berstatus Nota Amalan (PN17) dan ini meletakkan Utusan Melayu pada risiko tinggi untuk dinyah senarai daripada Bursa Malaysia.

 

Ini semua berlaku akibat masalah kewangan yang tidak henti-henti melanda syarikat berkenaan. Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Kosmo dan beberapa majalah seperti Wanita, Mastika dan URTV telah mengalami kerugian berpanjangan untuk tempoh enam tahun berturut-turut. Berdasarkan kepada rekod yang ada, kali terakhir Utusan Melayu mencatatkan keuntungan ialah pada 31 Disember 2011.

Image result for utusan melayu
Kredit: FMT

Apa yang berlaku pada Utusan Melayu mungkin merupakan kesan menyeluruh kepada apa yang dirasai oleh industri penerbitan dan pengiklanan yang melihatkan penyusutan. Namun kesan ini dilihat berganda kepada Utusan Melayu atas beberapa sebab yang mungkin tidak ada kaitan dengan ekonomi, sebaliknya menjadi pertaruhan dalam politik. Pemilikan Umno dan bentuk laporan di dalam akhbar Utusan Malaysia yang berat sebelah menyumbang kepada kemerosotan jualannya.

 

Malah malang Utusan Melayu ini berterusan apabila akhbarnya sering kalah dalam kes-kes saman yang dikemukakan oleh orang-orang politik yang merasakan laporan akhbar Utusan Malaysia tidak tepat malah cuba menjatuhkan reputasi mereka. Penglibatan Utusan secara besar-besaran dalam kancah politik mendatangkan kerugian dari sudut ekonomi kepada mereka.

 

Utusan sebenarnya sukar untuk berdiri sebagai sebuah entiti akhbar persendirian, sebaliknya bergantung kuat kepada sokongan parti politik seperti Umno. Kekalahan Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14 baru-baru ini mengundang masalah lebih berat buat Utusan.

 

Pada 10 Ogos lalu, Utusan Melayu mengumumkan kegagalan mereka untuk menjelaskan hutang berjumlah RM530,121 dengan Bank Muamalat dan RM654,750 dengan Maybank Islamic. Sebelum itu, Utusan turut mengumumkan kegagalan mereka menjelaskan hutang berjumlah RM2.96 juta dengan Affin Bank.

 

Kegagalan berkenaan merupakan faktor utama menyebabkan Utusan dilabelkan dengan status PN17 dan hal ini membawa kepada keperluan untuk syarikat penerbitan ini menyerahkan pelan penyusunan semula mereka kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia dalam tempoh 12 bulan. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan Utusan Melayu dinyah senarai daripada Bursa Malaysia. Satu tragedi buat syarikat penerbitan yang dahulunya dipandang sebagai gergasi.

Image result for pn17
Kredit: The Star

 

Sehingga berakhir suku pertama tahun ini pada 31 Mac 2018, Utusan telah mencatatkan kerugian kira-kira RM5.8 juta dan kerugian yang ditanggung Utusan ini telah memberikan kesan kepada penyusutan dana pemegang sahamnya kepada RM89.9 juta. Malah sehingga hujung Jun 2018, kerugian terkumpul Utusan mencatat lebih RM71 juta.

 

Utusan memiliki sejarah panjang dan menjadi sebahagian daripada cabang media terpenting negara. Ditubuhkan sebagai sebuah akhbar dalam tulisan Jawi pada tahun 1939, Utusan berkembang menjadi medan perjuangan di saat negara mencapai kemerdekaan. Utusan pada waktu kegemilangannya dibarisi ramai tokoh-tokoh hebat yang lantang bersuara dan memiliki kredibiliti tinggi termasuk Said Zahari, A.Samad Ismail, Usman Awang dan ramai lagi.

 

Malah Utusan dahulu bukanlah akhbar yang memihak kepada parti-parti tertentu, Utusan di peringkat awal merupakan sebuah akhbar anti-establishment, dilihat sering melawan dan mengkritik pemerintah. Namun tindakan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961 yang mahu UMNO mengambil alih Utusan telah melihatkan peralihan besar-besaran fungsi akhbar berkenaan. Walaupun berlaku mogok pada ketika itu yang menentang keputusan Tunku, sehingga terhasilnya puisi Duri dan Api tulisan Usman Awang, ia tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap langkah pengambilalihan Utusan oleh UMNO itu.

 

Utusan juga melalui era kegelapan yang menyumbang kepada ketidaktentuan kepada kedudukan kewangannya sendiri. Ini bersangkutan dengan kekalahan dalam kes saman yang terpaksa dihadapi syarikat penerbitan ini. Pada tahun 2012, Utusan kalah dalam kes saman yang dikemukakan Menteri Kewangan kini yang dahulunya Ketua Menteri Pulau Pinang. Utusan telah didakwa oleh Guan Eng menyiarkan artikel fitnah menyatakan beliau mahu menghapuskan Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Kesilapan Utusan ini membawa padah apabila mereka terpaksa membayar ganti rugi berjumlah RM200 ribu kepada Guan Eng.

 

Pada tahun 2013, Utusan terpaksa membayar ganti rugi RM250 ribu kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin kerana didakwa memfitnah beliau dalam satu isu berkaitan pembidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW1.

Image result for nizar jamaluddin plat www1
Kredit: The Malaysian Times

Utusan terus dirundung malang pada tahun 2015, apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan syarikat berkenaan membayar ganti rugi berjumlah RM200 ribu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyiarkan berita berunsur fitnah berkaitan temu bual Anwar dengan BBC mengenai undang-undang homoseksual.

 

Utusan kini jelas perlu melaksanakan perubahan secara besar-besaran terhadap model dan hala tuju perniagaannya. Ia tidak lagi boleh bergerak seperti ketika era pentadbiran sebelum ini. Utusan perlu bergerak dalam kerangka yang bersesuaian dengan dunia media di era baharu ini. Penglibatan lebih besar terhadap media sosial dan portal ialah ruang terbaik untuk Utusan kembali bangkit dari ambang kemusnahan.

 

Tidak wajar untuk Utusan terus bertindak menjadi sebuah syarikat penerbitan yang cenderung memihak kepada mana-mana parti malah dilihat seperti lidah rasmi parti berkenaan. Dari sudut penerbitan akhbar Utusan harus membersihkan kembali reputasi Utusan Malaysia yang sudah tercalar dan dianggap sebagai akhbar yang sering melaporkan berita-berita politik tidak bertanggungjawab.

 

Dari sudut penerbitan majalah pula, kandungan ialah kelemahan ketara yang harus dibaiki segera. Kita lihat sehingga kini majalah seperti Mastika terus menjadi sebuah majalah tahyul dan tidak berupaya memberikan saingan. Sewajarnya penerbitan majalah ini dikaji secara menyeluruh memandangkan ia tidak memberikan keuntungan besar buat Utusan. Tumpuan kepada penerbitan majalah dalam talian harus diutamakan oleh Utusan dan tidak lagi terperangkap dengan model penerbitan lama.

 

Apa yang pasti Utusan benar-benar memerlukan pembaharuan jika masih berminat untuk terus hidup dalam persekitaran penerbitan di Malaysia. Jika tidak kerugian demi kerugian ini akan terus menghantui operasinya dan kita akan melihat satu gergasi penerbitan bakal menemui ajal.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…