3 Strategi Xiaomi Menjadi Syarikat Telefon Keempat Terbesar
- Xiaomi memegang sebanyak 9.3% market share
- 28.5 juta unit telefon dijual pada suku pertama 2018
Nama Xiaomi bukanlah lagi nama yang asing dalam industri telefon pintar. Xiaomi juga dikenali sebagai “The Apple of China” dan menjadi ikon kepada syarikat-syarikat start-up disana.
Dalam masa 8 tahun sahaja Xiaomi berjaya menjadi pembuat telefon pintar keempat terbesar di dunia semenjak diasaskan pada April 2010 oleh Lei Jun. Syarikat ini kini dilihat sebagai pesaing rapat kepada Apple dan Samsung.
Terkini, market share (bahagian pasaran) Xiaomi adalah 9.3% berbanding Apple (12.1%), Huawei (15.8%) dan Samsung (20.9%). Suku pertama tahun ini mereka telah berjaya menjual sebanyak 28.5 juta unit telefon pintar berbanding 12.7 juta unit sahaja pada suku pertama 2017.

“Babi pun boleh terbang jika dilanggar ribut taufan” merupakan kata-kata daripada pengasasnya yang bermaksud mana-mana syarikat boleh berjaya dengan mengaplikasikan teknologi terkini dalam perniagaan mereka.
Disebalik angka jualan yang tinggi berjaya dicapai Xiaomi, apakah rahsia dan strategi kejayaan mereka?
1. Spefikasi premium pada harga yang murah
Xiaomi dikenali kerana menjual telefon pintar dengan spefikasi yang tinggi tapi pada harga yang murah. Mereka mengambil margin keuntungan yang sangat rendah berbanding syarikat telefon yang lain.
Dengan spefikasi lebih kurang sama dengan Samsung S9, Xiaomi Mi8 dijual RM1,300 lebih murah. Reka bentuknya juga mempamerkan reka bentuk yang elegan seakan-akan iPhone X.
“ Model bisnesnya adalah menjual pada harga yang sangat murah dan margin yang rendah. Pada mulanya mereka tidak membuat untung tetapi selepas setahun, harga komponen akan turun manakala harga telefon kekal, disitu mereka akan mula membuat untung “ – Jean-Louis, Pengarah Haitong Securities International Securities Group.

2. Bermula dengan jualan maya sahaja
Pada fasa awal perniagaan Xiaomi, mereka tidak fokus kepada pembukaan kedai fizikal bagi menjual telefon mereka. Mereka juga kurang menggunakan agen dan pengedar bagi mempromosikan telefon mereka kerana margin yang sangat rendah untuk dikongsi.
Laman sesawang Xiaomi merupakan ketiga terbesar bagi kategori business-to-consumer (B2C) di China berdasarkan jumlah jualan. 60% telefonnya dijual secara maya dan 40% dijual melalui pengedar.
Jika mereka fokus kepada membuka cawangan pada awalnya, mereka perlu mengambil kira kos pembukaan kedai, latihan jualan dan kos pekerja. Ianya tidak sesuai kerana margin keuntungan mereka sangat rendah.
3. Membina komuniti peminat
Xiaomi mencipta satu komuniti yang digelar sebagai Mi Fan bagi menyatukan peminat mereka. Disini peminat mereka berbincang mengenai gajet, berkongsi pendapat dan melepak. Xiaomi mendengar setiap komentar peminat mereka bagi menambah baik telefon mereka.

Melalui pemasaran mulut ke mulut oleh peminat mereka, Xiaomi tidak perlu berbelanja besar bagi tujuan pemasaran. Kebiasaannya peminat sendiri yang akan membuat review dan menceritakan kelebihan Mi Phone melalui blog atau video di Youtube.
Ke mana hala tuju Xiaomi selepas ini?
Menurut CNBC, Xiaomi bukan sekadar syarikat pembuat telefon pintar, ianya lebih daripada itu. Mereka mahu membina sebuah ekosistem. Jika kita lihat kedai Xiaomi di Hong Kong, mereka bukan sahaja menjual telefon dan jam pintar, mereka turut menjual bantal, periuk nasi dan dompet.
“Sepanjang 5 tahun lepas, Xiaomi menetapkan asas ekosistem mereka dan sekarang ianya sudah hampir siap” Lei Jun.
Xiaomi bekerjasama dengan beberapa start-up yang membuat peralatan rumah pintar bagi membina ekosistem dimana semua alatan boleh dikawal menggunakan telefon pintar Xiaomi.