7 Filem Bisnes & Kewangan Anda Wajib Tonton
Saban hari kita sering disajikan dengan pelbagai filem-filem yang menarik dari negara luar terutamanya dari Hollywood. Daripada segi jumlah filem yang diterbitkan, kita dapat lihat trend terkini lebih banyak filem berkonsepkan superhero dan aksi ditayangkan.
Walau bagaimanapun, dalam artikel Kapital.my kali ini, kami akan senaraikan 7 filem pilihan kami berkaitan dengan perniagaan dan kewangan yang patut ditonton oleh orang ramai!
Pirates of Silicon Valley
Filem ini berkisarkan cerita bagaimana Apple dan Microsoft menjadi syarikat gergasi dalam bidang teknologi. Steve Job dan Steve Woniak merupakan watak penting dalam pembinaan Apple untuk menjadi pencipta komputer. Dalam masa yang sama, Bill Gates dan Steve Ballmer juga sedang mengusahakan syarikat komputer mereka sendiri. Dalam filem ini anda akan dapat tonton bagaimana Bill Gates cuba memperdaya Steve Jobs bagi mencuri operating system Apple yang akhirnya membawa kepada pemecatan Steve Job daripada Apple.

The Social Network
Filem ini mengisahkan perjalanan Mark Zuckerbeg, seorang pelajar University of Harvard mencipta laman sosial Facebook. Mark telah dituduh mencuri idea tiga pelajar Harvard lain yang pada awalnya mengajak Mark bersama mereka untuk mengusahakan laman sosial Harvard Connection khusus untuk pelajar-pelajar Harvard. Banyak konflik yang berkaitan dengan Facebook diceritakan dan bagaimana Mark terpaksa membayar sejumlah wang pampasan kepada Cameron, adik beradik kembar Winklevoss dan Eduardo Saverin setelah perkara in dibawa ke mahkamah.

The Big Short
Anda pernah tengok ekonomi Amerika Syarikat runtuh? Kalau belum, anda harus tonton filem ini. Filem mengenai bagaimana pasaran hartanah menjadi sangat tidak stabil lalu menyebabkan housing bubble berlaku di Amerika. Filem ini adalah berdasarkan tulisan buku The Big Short oleh Michael Lewis yang menceritakan bagaimana di Amerika, pihak bank telah memberikan pinjaman kepada orang ramai yang sebenarnya tidak mampu membuat bayaran balik dan akhirnya menyebabkan pasaran crash.

The Wolf of Wall Street
Pelakon utama, Leonardo Dicaprio memegang watak Jordan Belfort merupakan seorang broker saham di Long Island telah dipenjarakan selama 22 bulan kerana menipu pelabur-pelabur dalam penipuan sekuriti besar-besaran pada tahun 1990an yang melibatkan rasuah yang berleluasa di Wall Street dan juga dalam dunia perbankan korporat.

The Founder
Filem yang diadaptasi daripada kisah sebenar ini menceritakan bagaimana syarikat rangkaian makanan segera McDonald bermula dan kemudiannya menjadi satu empayar perniagaan yang amat besar. Ini adalah merupakan hasil titik peluh Ray Kroc yang pada awalnya hanyalah seorang penjual mesin milkshake yang kurang berjaya. Beliau kemudiannya telah dipertemukan dengan dua beradik McDonald dan dari situlah bermula perjalanan beliau dalam perniagaan hamburger. Apa yang menarik mengenai cerita ini adalah bagaimana hak ekslusif McDonald dibeli oleh Ray Kroc daripada Mac dan Dick McDonald sehingga akhirnya menyebabkan pemilik asal McDonald gulung tikar.

Too Big To Fail
Filem terbitan HBO ini berkisarkan krisis kewangan yang berlaku pada tahun 2008 dan memaparkan bagaimana Wall Street dan Washington bertarung menghadapi krisis tersebut. US Treasury Secretary, Henry Paulson dan Pengerusi Federal Reserve, Ben Bernanke berusaha menyelamatkan Amerika daripada krisis ini dengan berunding dengan bank-bank ternama di sana. Cerita ini juga menceritakan bagaimana kejatuhan Lehman Brothers dan usaha-usaha untuk menyelamatkannya.

Crocodile In The Yangtze
Sebuah filem dokumentari yang agak menarik terutamanya bagi mereka yang mengikuti perkembangan startup. Ini kerana, cerita ini mengisahkan kejayaan Jack Ma membangunkan Alibaba untuk bersaing dengan eBay sehingga menjadi syarikat ecommerce terbesar di China.
eBay is a shark in the ocean, we are a crocodile in the Yangtze River. If we fight in the ocean we will lose but if we fight in the river we will win – Jack Ma
