Bagaimana ASB Mampu Memberikan Dividen Tinggi
- Semasa ekonomi baik, kami tidak memberikan semua pulangan kepada pelabur – Wahid Omar
- ASB mampu memberikan pulangan 7% walaupun KLCI jatuh 39%
ASB merupakan salah satu instrumen pelaburan yang terkenal dalam kalangan Bumiputera. Tujuan dana ini diwujudkan adalah untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi bumiputera.
Secara puratanya ASB memberikan dividen sekitar 7% setiap tahun. Agak sukar sebenarnya untuk mencari instrumen pelaburan yang mampu memberikan pulangan yang tinggi dan konsisten setiap tahun tanpa sebarang risiko seperti ASB.
Jika kita lihat semula pada tahun 2008, walaupun indeks KLCI jatuh teruk sebanyak 39%, ASB masih mampu memberikan dividen kepada pelabur sebanyak 7%. KWSP pada tahun tersebut hanya mampu memberikan dividen sebanyak 4.5% dan Tabung Haji 5%, tinggi sedikit daripada kadar inflasi.

“Ianya adalah model yang sangat mudah, semasa ekonomi baik, kami tidak memberikan semua pulangan kepada pelabur. Kami simpan sedikit sebagai rizab. Dan ketika ekonomi tidak baik, kami memberikan pulangan daripada rizab keuntungan kami. Tiada silap mata. Ianya adalah model asas” Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Berbeza dengan KWSP dan KWAP, ASB bukanlah dana pencen. Dana pencen melabur lebih banyak dalam instrumen pendapatan tetap seperti sukuk. KWSP melabur sebanyak 49% dalam pendapatan tetap dan 42% dalam ekuiti. KWAP pula melabur sebanyak 40% dalam ekuiti dan 46% dalam pendapatan tetap.
Bagi mendapatkan pulangan yang tinggi, dana perlu dilaburkan dalam instrumen berpotensi tinggi seperti ekuiti. Hal ini kerana saham berpotensi memberikan pulangan 10-20% setahun berbanding instrumen pendapatan tetap yang hanya mampu memberikan pulangan sekitar 3-6% sahaja.
Sehingga December 2017, jumlah dana ASB telah mencecah RM279.2 bilion. 70% daripada dana ASB dilaburkan dalam ekuiti dan selebihnya dalam bentuk tunai dan pendapatan tetap.
Ekuiti bermaksud pemilikan perniagaan. Ekuiti juga dikenali sebagai saham. Jika anda membeli saham di Bursa Malaysia, bermakna anda memiliki pegangan dalam syarikat tersebut.
Sebagai pemegang saham, kita akan menerima faedah daripada keuntungan yang diperolehi syarikat dalam bentuk dividen yang dibayar dan juga daripada kenaikan harganya di pasaran saham.
Pendapatan tetap pula adalah instrumen pelaburan yang mampu memberikan pulangan berkala (setiap setengah tahun,tahunan) dan pulangannya boleh dijangkakan. Ianya lebih berisiko rendah berbanding ekuiti.
Contoh pendapatan tetap adalah sukuk atau bon. Untuk memudahkan pemahaman, ianya ibarat kita menyimpan dalam fixed deposit di bank.
Jadual dibawah menunjukkan antara pegangan terbesar ASB.

Pada November 2016, Permodalan Nasional Berhad (PNB)telah melancarkan inisiatif Plan Strategik 2017-2022 (STRIVE-15) bagi tiga tujuan utama iaitu :
1. Memberikan pulangan yang konsisten
2. Pengurusan pelaburan yang efektif
3. Memacu kecemerlangan operasi
Kepada masyarakat bumiputera, peluang pelaburan seperti ini tidak patut dilepaskan. PNB membenarkan anda melabur sehingga RM200,000 di dalam ASB.
Bagi mereka yang baru mula berjinak dengan dunia pelaburan, ASB adalah instrumen yang sesuai untuk bermula. Anda boleh mulakan pelaburan serendah RM10 sahaja.
Selain ASB, banyak lagi instrumen pelaburan lain untuk kita seperti unit amanah, hartanah dan emas. Baca artikel ini untuk mengetahui peluang pelaburan yang lain.