fbpx

Gaji Minimum: Antara Bebanan Majikan & Kebajikan Pekerja

Oleh : Wan Syarafiz
13 September 2018 - 12:20 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Kos operasi bakal meningkat sebanyak 20% di Semenanjung dan 30% di Sabah, Sarawak & Labuan
  • Peningkatan gaji RM50 menyebabkan majikan menanggung hampir RM100 bagi setiap pekerja – Datuk Shamsuddin Bardan

 

Kerajaan melalui satu kenyataan akhbar yang diterbitkan Pejabat Perdana Menteri telah mengumumkan untuk melaksanakan gaji minimum yang seragam di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak pada kadar RM1,050 sebulan yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2019.

 

Pada masa ini, Perintah Gaji Minimum 2016 berkuatkuasa dengan kadar gaji minimum adalah RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 bagi Sabah dan Sarawak.

 

Isu pelaksanaan gaji minimum ini mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif dalam kalangan pekerja dan juga majikan. Sebelum ini, Kerajaan PH telah menyatakan dalam manifesto mereka untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 secara berkala dalam penggal pertama pemerintahan.

 

Walau bagaimanapun, kenaikan gaji minimum kali ini tidak akan diberikan subsidi 50% seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan PH kerana kekangan kewangan semasa negara. Majikan perlu menanggung keseluruhan kadar kenaikan gaji minimum ini.

 

Kenapa kadar kenaikan gaji minimum ini perlu dilaksanakan? Pertamanya, kadar kenaikan gaji minimum ini penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Selain itu, ianya dapat mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat Malaysia serta menambah kuasa beli pengguna yang akhirnya akan membantu kitaran ekonomi negara.

 

Daripada sudut majikan pula, kenaikan gaji minimum ini sudah pasti akan menyebabkan mereka menanggung kos yang lebih tinggi dan akhirnya memberi kesan kepada keuntungan syarikat.

 

“Bisnes sudah tidak mampu untuk menampung sebarang kenaikan gaji pekerja”, ujar Datuk Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

 

Hal ini kerana, majikan di Malaysia perlu membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso untuk setiap pekerjanya. Kini, pada tahun 2018, majikan dikenakan satu lagi bayaran caruman Sistem Insurans Pekerja (SIP) untuk setiap pekerja. Dengan kenaikan gaji minimum ini, serba sedikit majikan akan lebih terkesan disebabkan peningkatan bayaran caruman tersebut.

 

Image result for shamsuddin bardan
Kredit: FMT

 

Bagi pekerja asing pula, majikan tidak perlu membuat caruman tersebut. Tetapi pekerja asing ini masih perlu dibayar mengikut kadar gaji minimum yang ditetapkan.

 

Dengan pelaksanaan kenaikan gaji minimum, kenaikan kos tetap akan dirasai sama ada melalui pengambilan pekerja warga tempatan atau pun warga asing. Namun, kos bagi pekerja asing dilihat lebih rendah kerana majikan tidak wajib untuk membuat caruman KWSP dan juga Perkeso.

 

“Awal tahun ini, majikan juga sudah dibebankan dengan bayaran levi pekerja asing yang sudah meningkatkan kos operasi sehingga 15 peratus pada setiap bulan.

 

“Jika ditambah dengan kenaikan kadar gaji minimum ini, majikan akan menanggung beban peningkatan kos operasi sebanyak 30 peratus untuk Sabah dan Sarawak serta 20 peratus di Semenanjung pada tahun depan,” ujar Shamsuddin melalui akhbar Berita Harian.

 

Shamsuddin menyatakan prinsip semakan gaji minimum perlulah mengikut produktiviti dan kemampuan majikan untuk membayar gaji terutamanya d Sabah, Sarawak dan Labuan. Menurut beliau lagi, produktiviti di tiga tempat tersebut adalah lebih rendah berbanding dengan Semenanjung dan seharusnya perkara ini diambil kira kerana ia akan membebankan majikan di negeri berkenaan.

 

Beliau juga berkata kadar kenaikan RM50 bagi majikan di Semenanjung tidak menunjukkan kos sebenar yang ditanggung.

 

“Setiap kenaikan sebanyak RM1, majikan perlu tanggung sehingga hampir RM2. Bererti, jika RM50, majikan perlu tanggung kira-kira RM100, mengambil kira bayaran kerja lebih masa, cuti am dan sebagainya,” ujar beliau lagi.

 

Mengikut statistik daripada Jabatan Perangkaan (DOS), tenaga buruh asing adalah penerima manfaat terbesar daripada pelaksanaan polisi gaji minimum. Menurut DOS, gaji median pekerja asing telah meningkat sebanyak 40.5% daripada RM950 pada tahun 2013 kepada RM1,335 pada tahun 2017. Pekerja tempatan pula hanya mengalami kenaikan gaji median sebanyak 27.1% sahaja dalam tempoh tersebut.

 

Image result for buruh
Kredit: KONTAN

 

Menurut Penyelidik Ekonomi RHB, Peck Boon Soon, beliau pula berpendapat usahawan perlu melakukan transformasi kepada bisnes mereka bagi mengimbangi kos kenaikan gaji yang ditanggung di samping mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

 

Antara pendapat yang diutarakan oleh beliau ialah pemilik bisnes perlu meningkatkan penggunaan sistem berteknologi tinggi supaya kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan. Walau bagaimanapun beliau juga berpendapat pekerja asing masih diperlukan di beberapa sektor seperti sektor perladangan.

 

Kenaikan gaji minimum pekerja ini menjadi kerisauan kepada majikan atau pemilik perniagaan kerana sekiranya kenaikan kos tidak mampu ditampung oleh produktiviti, perniagaan mereka akan gulung tikar.

 

Antara matlamat utama pelaksanaan kenaikan gaji minimum adalah untuk menarik lebih ramai orang tempatan bekerja di sektor yang masih bergantung kepada pekerja asing. Tetapi apa yang menjadi isu ialah adakah kenaikan gaji ini selari dengan kadar inflasi?

 

Hal ini kerana, kenaikan ini dilihat amat kecil dan dilihat seperti tidak mampu untuk menarik anak muda berkerja dalam sektor-sektor kritikal seperti pembinaan, perladangan dan perkilangan. Jika ini berlaku, ia seolah-olah peningkatan kos operasi akan menjadi satu bebanan kepada pemilik bisnes atau majikan yang merupakan orang tempatan. Manakala pihak yang banyak mendapat manfaat daripada kenaikan gaji minimum ini pula ialah pekerja asing.

 

Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu melakukan pemantauan yang lebih ketat supaya kadar kenaikan gaji minimum ini tidak akan membebankan pengguna. Ini kerana, wujud kerisauan peningkatan kos yang ditanggung syarikat akan disalurkan kepada pengguna melalui peningkatan harga barangan.

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 18-01
Kapital

Teknologi AI Tingkatkan Kadar Inovasi Dua Kali Ganda Menjelang 2021

Reading Time: 2 minutes AI merupakan cabang sains komputer untuk menghasilkan ‘smart machines’ dengan kemampuan melaksanakan tugas-tugas yang memerlukan ‘human intelligence’ Hasil…

Nissan-01
Kapital

Hubungan Renault-Nissan Ibarat Retak Menanti Belah

Reading Time: 3 minutes Pertikaian di antara Nissan dan Renault terjadi kerana CEO Nissan merasakan hubungan perniagaan yang terjalin adalah tidak seimbang dan…

Featured Image 10-01
Kapital

Fenomena Ekonomi Gig Jadi Pilihan Generasi Muda

Reading Time: 3 minutes 26% daripada populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) 10%-20% pekerja sahaja yang mempunyai perancangan…

Featured Image 3-01
Kapital

Bank Maya, Bank Masa Hadapan

Reading Time: 3 minutes Bank Negara akan mengeluarkan syarat pelesenan bank maya hujung 2019 BigPay, GrabPay, Boost, Touch n Go dan Vcash…