Kerajaan Tolak Projek Hartanah Eksklusif Untuk Warga Asing Semata-mata
- 70% pembeli rumah di Forest City adalah Warga China
- Bank perlu longgar syarat peminjam perumahan pertama- LGE
Sebarang projek pembangunan kediaman di negara ini harus bersifat terbuka dan mengutamakan pembeli dalam kalangan rakyat tempatan dan sebarang projek khusus dan eksklusif untuk warga asing tidak akan dibenarkan sama sekali.
Kenyataan tegas ini dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang melihatkan bagaimana Kerajaan tidak akan bersetuju dengan sebarang usaha seperti itu. Namun apa yang diutarakan Guan Eng itu tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk sekatan terhadap pelaburan asing.
“Pembelian hartanah oleh warga asing bukanlah satu masalah, kita sentiasa mengalu-alukan jika mereka mahu berbuat demikian di negara ini. Ia secara tidak langsung membawa masuk. Namun begitu, projek pembangunan hartanah secara eksklusif kepada warga asing tidak akan memberikan apa-apa keuntungan kepada rakyat dan negara,” kata beliau.
Guan Eng menyebut bahawa kerajaan sentiasa menggalakkan sebarang bentuk pelaburan asing, namun ia harus telus dan bersikap terbuka di samping tidak memberikan kesan negatif terhadap rakyat di negara ini.
“Kita mahukan pelaburan langsung asing mengalir masuk ke negara ini dan mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi khusus untuk warga tempatan dan seterusnya mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Kita tidak mahu pelaburan langsung asing yang tidak memberikan manfaat khusus kepada rakyat”, kata beliau.
“Bukan sahaja terdapat projek yang dijual untuk warga asing semata-mata tetapi projek tersebut adalah pemberian rumah percuma apabila pembeli membeli rumah di negara lain. Kita tidak mahu ini.”

Namun begitu, Guan Eng memberi jaminan kepada pihak pemaju supaya tidak bimbang untuk melakukan urusan jual beli hartanah dengan pihak asing jika ia terus berlandaskan kepada peraturan dan undang-undang sedia ada. Ia bukanlah satu sekatan, namun apa yang diungkapkan Guan Eng ini merupakan satu dasar jelas supaya tidak ada sebarang projek pembangunan yang dibina khusus untuk warga asing semata-mata.
Walaupun tidak menyebut secara khusus projek berkenaan, namun kita boleh mengandaikan antara projek yang dikaitkan dengan hal ini ialah pembangunan Forest City di Johor. Projek berkenaan jelas dipasarkan secara besar-besaran untuk dimiliki warga asing khasnya dari negara China.
Projek ini yang mampu menempatkan rumah untuk kediaman lebih 700 ribu orang menimbulkan kebimbangan kerana sehingga kini 70 peratus pembelinya adalah warga China.
Di saat warga tempatan masih bergelut untuk memiliki rumah dan hartanah, kenyataan dibuat Guan Eng ini boleh disifatkan sebagai satu kelegaan kerana ia membuktikan kerajaan kini sedang dalam proses merangka peraturan dan undang-undang pembangunan hartanah lebih jelas demi memelihara manfaat rakyat tempatan. Diharapkan kenyataan dasar seperti ini akan dilanjutkan pula dengan pemerhatian khusus kerajaan untuk menurunkan harga rumah di negara ini.
Di samping itu, Guan Eng juga menyedari bahawa soal garis panduan permohonan pinjaman perumahan yang ketat juga menjadi antara halangan terpenting dalam memastikan rakyat Malaysia mampu memiliki rumah dengan mudah. Beliau turut memaklumkan pihaknya telah berhubung dengan Bank Negara mengenai hal ini dan mereka sedang menilai semula garis panduan pinjaman perumahan sedia ada.

Walaupun diakui bahawa garis panduan itu dirangka secara ketat bagi membendung peningkatan hutang isi rumah, namun dalam soal hutang untuk membeli aset seperti rumah harus diberikan sedikit kelonggaran.
Ujarnya secara berseloroh, jika bank boleh memberikan pinjaman kepada syarikat bermasalah seperti 1MDB, mengapa kelonggaran tersebut tidak dipanjangkan kepada pembeli rumah pertama.
Justeru tekad Guan Eng untuk menilai semula syarat, kelayakan dan garis panduan ini akan memberi kelegaan kepada rakyat negara ini yang masih belum memiliki rumah.
“Kita sedar tentang kebimbangan mengenai peningkatan hutang isi rumah, namun kita juga percaya yang bukan semua hutang adalah buruk,” kata beliau.