Kisah Lagenda 3 Jalur Adidas
Sebut sahaja Adidas, maka semua orang akan membayangkan logo yang mempunyai 3 jalur selalunya diletakan pada setiap barangan keluaran mereka. Nama Adidas tidak perlu diperkenalkan lagi kerana jenama ini sudah cukup terkenal sebagai sebuah jenama yang pakar dalam penciptaan barangan sukan.
Buktinya Piala Dunia yang baru sahaja berlangsung di Rusia telah menggunakan Adidas Telstar sebagai bola rasmi sepanjang kejohanan berlangsung. Keungulan jenama Adidas ini juga terbukti apabila Lionel Messi salah seorang pemain bola sepak bertaraf dunia menggunakan but yang dikeluarkan oleh Adidas malah telah dilantik menjadi duta produk ini. Namun disebalik kemegahan jenama ini, terdapat kisah disebaliknya yang jarang diketahui oleh ramai orang.
Sejarah Adidas
Kasut sukan merupakan produk Adidas pertama yang dikeluarkan dan ianya direka oleh Adi (Adolf) Dassler di ruangan cucian milik ibunya pada tahun 1920. Ketika itu Adi Dassler menjalankan projek secara kecil-kecilan dengan membuat kasut sukan. Segalanya berubah pada tahun 1924. Adi Dassler dan saudaranya Rudolf Dassler mendirikan “Dassler Brothers OGH” yang nantinya berubah menjadi Adidas. Kesemua ini boleh terjadi kerana tingginya kualiti kasut yang dihasilkan oleh Adi.

Adi Dassler merupakan seorang yang sangat komited terhadap kerja terutama pada kualiti kasutnya, disebabkan itu nama Dassler Brothers menjadi sebutan sehingga menyebabkan atlit-atlit lagenda memilih untuk mengenakan kasut sukan yang dihasilkannya sempena acara-acara sukan besar seperti Olimpik. Kemuncak meletupnya jenama kasut Dassler Brothers apabila Jesse Owen memenangi pingat emas bagi acara sukan Olimpik di Berlin dengan memakai kasut yang dihasilkan oleh Adi Dassler sendiri.
Duka di Sebalik Gembira
Hubungan akrab di antara Adi dan Rudolf sehingga mereka dapat membangunkan syarikat yang gah dan menempa nama tidak dapat bertahan lama. Pada tahun 1948, Adi dan Rudolf memutuskan untuk tidak lagi menjalinkan kerjasama dalam menghasilkan kasut sukan. Mereka membuat keputusan untuk berpisah.
Oleh itu, Rudolf telah berjaya mendirikan syarikat barangan sukannya sendiri yang digelarkan sebagai ‘Puma’ manakala Adi melakukan rebranding terhadap syarikat miliknya dengan menamakannya sebagai ‘Adidas’
Adidas Mengorak Langkah Baru
Pengambilan nama Adidas berasal daripa nama Adi Dassler dengan menggabungkan nama depannya iaitu Adi dengan suku kata nama belakangnya iaitu ‘das’ sehingga menjadi kata ‘Adidas’. Mengapa Adolf disebut sebagai Adi? Di Jerman, mereka gemar menukar nama Adolf kepada Adi.
Pada 18 Ogos 1949 di dalam usianya yang ke-49 tahun itu, Adi telah berjaya mendaftarkan syarikatnya lalu diberikan nama “Adi Dassler adidas Sportschuhfabrik” secara rasmi serta mempunyai 47 kakitangan yang terletak di bandar kecil Herzogenaurach.
Pada hari yang sama juga, dia telah mendaftarkan sebuah kasut berlogo tiga jalur. 3 stripes pada asalnya diciptakan bagi membantu kestabilan kaki, namun akhirnya 3 stripes itu menjadi logo rasmi buat Adidas. 3 jalur ini merupakan kasut yang paling popular kerana mudah dikenali dari jauh.

Kemegahan nama Adidas sekali lagi terserlah apabila skuad bola sepak kebangsaan Jerman bertemu dengan pasukan bola sepak yang tidak pernah tewas sepanjang kejohanan di perlawanan World Cup 1954. Ajaibnya skuad Jerman itu berjaya menumpaskan Hungary. Kemenangan menakjubkan ini berputar keseluruh dunia sehingga berjaya menaikkan jenama Adidas ketika itu. Semua ini disebabkan oleh skuad Jerman memakai but bola ringan Adidas yang diletakkan stud berskru pada kasut itu bagi menambah kuasa cengkaman dan kestabilan.
Adidas Masa Kini
Kini Adidas telah berjaya mengeluarkan bermacam barangan selain kasut seperti beg, kemeja, tali jam, kaca mata dan barang sukan lain-lain. Adidas merupakan pengeluar barang sukan terbesar di Eropah, serta kedua terbesar di dunia, selepas Nike. Pada tahun 2009 Adidas telah berjaya memperoleh keutungan bersih sebanyak €245 juta serta mempunyai bilangan kakitangan seramai 39,600 orang diseluruh dunia.
Kemegahan Adidas ini tidak lahir dari angan-angan sebaliknya kerja keras dan komitmen jitu dari perekanya. Disebabkan itu, jenama ini mendapat perhatian dunia. Selain dari keselesaan para atlit, Adidas juga komited untuk mengeluarkan barangan sukan yang tahan lama dan mampu membantu atlit untuk meningkatkan kemahiran mereka.