Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara : Tiada Penekanan Terhadap Revolusi Industri 4.0
- Pengetahuan yang ada pada kita hari ini hanya menyumbang satu peratus sahaja menjelang 30 tahun akan datang
- TVET dalam wajah dan fasa baharu itu akan memberi penekanan kepada cabaran RI 4.0
Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi diadakan pada 3 September lepas mencatatkan kehadiran 2,500 peserta yang terdiri daripada golongan profesional dan usahawan. Menurut Ketua Pembangunan Bisnes IX Telecom, Taufiq Hussein, tiada idea baru yang dibentangkan di kongres tersebut.
“Kongres kali ini tidak membincangkan Revolusi Industri 4.0 atau ekonomi digital. Kebanyakan perkara yang dibincangkan adalah ulangan daripada kongres sebelum ini. Solusi yang diberikan tidak sesuai untuk menghadapi ekonomi di masa depan”, tambahnya lagi.
Menurut seorang peserta kongres, Shamsul Qamar, beliau menyatakan antara pemikiran baru yang harus diterjemahkan kepada dasar ekonomi baru adalah :
1. Dasar yang menyediakan ruang seluas-luasnya untuk semua orang bersaing atas dasar ilmu dan kepakaran.
2. Dasar yang menekankan kepada need- based dan bukan race-based.
3. Dasar yang menekankan perubahan sikap dan mentaliti lemau dan manja kepada progresif dan berdaya maju.
4. Dasar yang mengupaya kita siap siaga pergi ke dunia luar sebelum dunia luar datang kepada kita tanpa kita bersedia.
“Kerajaan perlu mengembalikan Bank Bumiputera untuk membantu usahawan bumiputera” Abdul Rahim, Panelis Kongres Bumiputera. Bank Bumiputera yang diwujudkan hasil kongres pada tahun 1965 telah berjaya membantu ramai usahawan bumiputera.

Selain itu beliau menambah lagi, GLC sepatutnya terlibat dengan perniagaan yang sukar diceburi bumiputera, bukannya bisnes yang sudah dipelopori golongan bumiputera seperti perniagaan agensi pelancongan yang dilakukan oleh Tabung Haji.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali lebih menekankan soal integriti pada kongres kali ini, berbeza dengan kongres sebelum ini yang lebih suka berbincang mengenai tongkat dan sokongan politik.
“Jangan ada lagi kotak pemikiran lama. Ini bukan Melayu rasuah. Ini bukan Melayu ‘Ali Baba’.”- Azmin Ali
Dr Mahathir yang merasmikan kongres tersebut turut menyentuh tentang isu AP yang kerap dianggap memberi kekayaan luar biasa kepada kroni. Beliau menegaskan kerajaan baru akan membatalkan kontrak yang diberikan sekiranya individu yang menerima kontrak tersebut menjual kepada pihak lain.
Budaya dan sikap merupakan masalah utama bumiputera, mereka lebih suka menunggu wang jatuh bergolek berbanding berusaha untuk mendapatkannya.

“Dahulu kita hanya ada dua peratus doktor bumiputera, kini ada lebih 40 peratus selepas kita beri biasiswa kepada individu yang bukan berada pada kedudukan teratas di dalam kelas mereka. Kita percaya walaupun tiada merit, mereka juga ada kebolehan dan mereka berjaya,” katanya membuktikan kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Selain dari isu integriti, tiada idea-idea baru yang dibentangkan yang lebih sesuai untuk menghadapi ekonomi masa depan. Antara perkara yang perlu diberi penekanan adalah langkah-langkah yang perlu diambil bagi mendepani revolusi industri 4.0.
Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) melibatkan teknologi automasi, Internet of Things (IoT), analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan cloud yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.
Industri 4.0 bakal merubah cara bekerja dan kebergantungan kepada sumber tenaga manusia. Jika tiada langkah persediaan awal yang diambil, Malaysia bakal ketinggalan jauh dalam persaingan di peringkat global. Sistem pendidikan tinggi di seluruh negara juga akan mengalami perubahan hasil revolusi Industri 4.0.
“Bayangkan pengetahuan yang ada pada kita hari ini hanya menyumbang satu peratus sahaja menjelang 30 tahun akan datang dan ketika itu pasaran kerja akan dipenuhi dengan individu atau tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis.” – Ketua Pakar Pendidikan Tinggi Bank Dunia, Francisco Marmolejo.
Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan kini berada dalam peringkat akhir penyediaan kertas kerja berhubung transformasi yang akan dilakukan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“TVET dalam wajah dan fasa baharu itu akan memberi penekanan kepada cabaran RI 4.0 yang menepati keperluan semasa khususnya keperluan industri,” Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mahfuz Omar.
Harapnya selepas ini kerajaan akan lebih banyak menekankan isu dan idea berkenaan revolusi industri 4.0 dalam menggubal dasar ekonomi supaya Malaysia dapat berdaya saing di peringkat global.