Kos RM400 Bilion. Pemansuhan Tol Bukan Langkah Bijak
- Tol akan dihapuskan secara berperingkat dan bukannya janji 100 hari
- Tony Pua menyangkal jumlah kos yang dinyatakan Menteri Kerja Raya, Baru Bian
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa janji penghapusan tol yang sebelum ini dijanjikan terpaksa ditangguhkan kerana kedudukan kewangan negara yang tidak mengizinkan.
Kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian ketika menjawab soalan daripada Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) dalam persidangan Dewan Rakyat. Dalam sidang itu, Jalaluddin mahu pihak Kerajaan PH untuk menyatakan senarai terkini tol yang akan dimansuhkan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Terdahulu, PH telah meletakkan janji penghapusan tol sebagai salah satu manifesto mereka sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Manifesto tersebut telah dimasukkan sebagai satu janji yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 5 tahun pertama PH memerintah kerajaan Malaysia.
Baru Bian dalam kenyataannya berkata langkah pemansuhan tol terpaksa ditangguhkan berdasarkan anggaran kos yang dijangkakan akan memakan belanja sebanyak RM400 bilion. Beliau turut menambah janji PH untuk memansuhkan tol bukanlah antara janji yang perlu dilaksanakan dalam masa 100 hari pentadbiran PH.
“Kerajaan sentiasa berusaha sebaik mungkin bagi memenuhi janji yang ada dalam buku PH, termasuk cadangan menghapuskan tol di lebuh raya. Namun kita akui ia bukan mudah untuk dilaksanakan khususnya akibat tekanan kewangan semasa dihadapi kerajaan.
“Untuk makluman, kerajaan teliti dan ambil kira secara mendalam beberapa faktor dan implikasi yang mungkin akan timbul akibat penghapusan tol di negara ini. Anggaran pampasan tol jika cadangan ini dilaksanakan adalah melebihi RM400 bilion”, ujar Menteri Kerja Raya itu berkenaan isu pemansuhan tol.

Menteri Kerja Raya tersebut kemudian berkata lagi bahawa Kerajaan perlu menjaga kepentingan kesemua pihak seperti pemegang konsesi, pelabur dan pemberi pinjaman. Pihak kementerian haruslah terlebih dahulu mengadakan perbincangan dengan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta agensi kerajaan yang memmpunyai hubungan dengan pemegang konsesi lebuhraya.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin turut mengeluarkan pendapat bahawa cadangan untuk menghapuskan tol adalah satu langkah yang tidak bijak untuk dilakukan pada masa ini.

Salah seorang lagi Ahli Majlis MPK, Prof. Dr Jomo Kwame Sundram turut bersetuju dengan kenyataan Tun Daim tersebut. Dr. Jomo berkata janji penghapusan tol perlu difikirkan semula kerana menelan belanja yang besar. Beliau bersetuju dengan Perdana Menteri bahawa tol yang dikenakan di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia.
Isu perbincangan mengenai penghapusan tol ini menjadi lebih hangat apabila mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengeluarkan cadangan supaya kerajaan menugaskan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua untuk menerajui proses penghapusan tol di bawah pentadbiran PH.
Najib dalam cadangannya berkata Tony Pua adalah individu yang paling sesuai untuk memegang tanggungjawab tersebut kerana Tony Pua sebelum ini ketika menjadi pembangkang pernah membuat kiraan berkenaan langkah pemansuhan tol yang boleh menjimatkan kos kerajaan.
“Kerajaan saya telah mengumumkan bahawa untuk menghapuskan kesemua konsesi tol jalan raya di negara ini, memerlukan kos RM231 bilion.
“Tetapi, pada masa itu, Tony Pua menuduh kita sebagai penipu. Menurutnya, berdasarkan perkiraan dibuatnya, ia hanya melibatkan kos RM25 bilion sahaja, dan bukan RM231 bilion sebagaimana yang kita dedahkan,” ujar Najib melalui laman Facebook beliau.
Najib dalam masa yang sama menyatakan ketika tempoh beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, tidak pernah kadar tol lebuhraya PLUS dinaikkan walaupun sekali.
Walau bagaimanapun, adakah angka RM231 bilion yang dikeluarkan Kerajaan BN itu adalah jumlah yang benar-benar telus? Hal ini kerana, ketika pemerintahan Kerajaan BN, Najib pernah dipalitkan dengan kontrovesi berkenaan pengambilalihan konsesi Lebuhraya MEX oleh EP Manufacturing Berhad (EPMB) daripada Maju Holdings Sdn Bhd.
Maju Holdings sebelum ini telah mendapat geran kerajaan sebanyak RM976.6 juta bagi pembinaan Lebuhraya MEX. Penjualan konsesi itu pada nilai RM1.7 bilion dikatakan telah memberikan durian runtuh kepada pemilik Maju Holdings yag dipercayai penyokong kuat UMNO dan kemungkinan wujudnya penyaluran dana rakyat ke dalam dana pilihan raya UMNO.
Tony Pua ketika aktif sebagai pihak pembangkang telah membuat perkiraan bagi kos yang diperlukan untuk memansuhkan tol. Ahli Parlimen Damansara itu telah menyatakan kerajaan hanya memerlukan kos sebanyak RM25 bilion bagi memansuhkan tol dan bukannya RM231 bilion seperti yang diberitahu oleh Kerajaan BN.

Perkiraan kos itu dibuat setelah Najib menukar status Akta Rahsia Rasmi (OSA) dimana semua perjanjian konsesi tol jalan raya boleh disemak oleh orang ramai.
Tony bagaimanapun menafikan jumlah wang sebanyak RM400 bilion diperlukan bagi menghapuskan tol dan menyatakan angka RM400 bilion itu dinyatakan oleh Baru Bian berdasarkan kiraan daripada Kerajaan BN.
“Ia mengambil kira pampasan kepada pihak konsesi, termasuk keuntungan masa depan,”
“Tapi kalau kita ambil alih konsesi tol ini, kita akan bayar pampasan hanya mengikut kadar yang termaktub dalam kontrak, iaitu kos pembinaan lebuh raya, tidak termasuk keuntungan masa depan.
“Oleh sebab itu, jumlah diperlukan untuk ambil alih tol tidak akan dekat dengan angka RM400 bilion”, Tony mengulas berkenaan kos RM400 bilion untuk memansuhkan tol.
Berkenaan langkah penghapusan tol ini, kerajaan perlu membuat penelitian secara halus dan mengambil kira pandangan pihak yang berkepentingan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini kerana ianya akan memberikan impak kepada aliran pendapatan dividen kepada lebih 14.5 juta pencarum KWSP.
Dalam masa yang sama, satu mekanisme perlu difikirkan oleh pihak kerajaan bagi memastikan manifesto PRU itu dapat dilaksanakan dan sekaligus dapat mengurangkan beban kos hidup rakyat.