Lantikan Politik Dalam Syarikat GLC Negeri – Laporan IDEAS
- Azmin Ali telah melantik Sivarasa Rasiah, Kamarul Bahrin Abbas, Yeo Bee Yin dan Teresa Kok sebagai ahli lembaga pengarah syarikat GLC dan anak syarikat milikan negeri.
- Timbalan Menteri Besar Kelantan menjadi ahli lembaga pengarah syarikat milikan MBI Kelantan, Kelantan SEDC dan Yayasan Kelantan Darulnaim.
Dalam satu laporan yang telah dikeluarkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bertajuk “Government in Business: Diverse Forms of Intervention” telah menyentuh hal berkenaan lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga anak syarikat milikan kerajaan. Laporan ini dibuat berdasarkan pentadbiran kerajaan negeri sebelum PRU-14 yang lepas.
Dalam laporan tersebut, IDEAS menyatakan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah meletakkan ramai pemimpin kanan parti sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat GLC strategik negeri dan anak syarikat milikan kerajaan.
Laporan itu yang ditulis oleh Profesor Edmund Terence Gomez, Felo Kanan IDEAS dan Profesor dari Universiti Malaya serta beberapa orang pelajar itu menceritakan berkenaan campur tangan kerajaan dalam ekonomi melalui syarikat senarai awam GLC, syarikat GLC yang dimiliki kementerian dan syarikat GLC di bawah kerajaan negeri.
“Antara punca utama amalan rasuah yang berlaku dalam syarikat GLC adalah disebabkan lantikan ahli politik sebagai lembaga pengarah. Lembaga pengarah ini merupakan pemegang amanah awam tetapi tindakan mereka tidak menggambarkan sedemikian”, ujar Gomez berdasarkan laporan terbabit.
Selangor
Di Selangor, mantan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali telah menggunakan Perbadanan Menteri Besar (MBI) untuk memonopoli penguasaan dalam syarikat penting GLC negeri melalui lantikan politik.
Sebagai contoh, Kumpulan Darul Ehsan Berhad dan Kumpulan Peransang Selangor mempunyai pegangan dalam syarikat daripada pelbagai sektor seperti logistik, pengurusan sisa, pembinaan dan pertanian.
Dalam syarikat GLC negeri dan anak syarikatnya di Selangor, pemimpin kanan PKR dan DAP telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah seperti Sivarasa Rasiah, Kamarul Bahrin Abbas, Yeo Bee Yin dan Teresa Kok.

Pulau Pinang
Di Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah menubuhkan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) pada tahun 2009. Laporan IDEAS menyebut Lim Guan Eng telah menjadi ahli lembaga pengarah dalam beberapa syarikat GLC negeri dan 5 anak syarikat milikan kerajaan negeri.
“Pulau Pinang mempunyai jumlah yang tinggi berkenaan lantikan politik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berbanding negeri Selangor. Beberapa pemimpin kanan DAP telah dilantik untuk menjadi pengarah beberapa syarikat milikan negeri”, ujar Gomez.
Bukan itu sahaja, di Pulau Pinang terdapat juga lantikan politik luar daripada konstituensi negeri terbabit seperti Tony Pua dari Selangor dan Anthony Loke dari Seremban.

Kelantan
Beralih ke negeri Kelantan yang ditadbir oleh Parti PAS pula, laporan daripada IDEAS menyatakan lantikan politik sudah menjadi suatu kelaziman dengan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar telah menjadi pengarah beberapa syarikat milik negeri.
Gomez menyatakan lagi bahawa kehadiran ahli politik daripada Dewan Undangan Negeri, ahli parlimen, bekas ahli politik dan ketua-ketua bahagian PAS negeri dalam beberapa lembaga pengarah syarikat GLC adalah tinggi.
“Timbalan Menteri Besar merupakan ahli lembaga pengarah syarikat milikan MBI Kelantan, Kelantan SEDC dan Yayasan Kelantan Darulnaim. Beliau juga menjadi pengarah beberapa syarikat GLC negeri seperti Kumpulan Perladangan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Majaari Services dan Kias Darulnaim”, Gomez mengulas berkenaan lantikan politik di Kelantan.

Perak
Laporan IDEAS turut melaporkan amalan lantikan politik di negeri Perak. Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir tidak memegang sebarang jawatan dalam GLC negeri tetapi ketua bahagian dan ahli dewan undangan negeri UMNO yang dilantik. Zambry hanya menjadi ahli lembaga pegarah MBI Perak, Lembaga Air Perak dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Johor
Berbeza pula dengan negeri Johor kerana di negeri tersebut, tiada MBI atau CMI yang diwujudkan. Sebaliknya, pelbagai syarikat induk telah diwujudkan dengan Menteri Besar Johor mempunyai kawalan secara terus sebagai ahli lembaga pengarah beberapa syarikat induk tersebut seperti JCORP, KPRJ Sdn Bhd dan Yayasan Pelajaran Johor.

Budaya lantikan ahli politik ini sememangnya sangat sinonim dengan Kerajaan BN, namun Kerajaan PH dan PAS juga mengamalkan budaya tersebut dalam pentadbiran negeri mereka.
Walaupun lantikan politik secara dasarnya penting untuk memastikan kesefahaman dalam urus tadbir, namun kerajaan seharusnya memikirkan tujuan utama syarikat GLC ditubuhkan serta akauntabiliti dan ketelusan dalam urus tadbir perlu diutamakan.
Penambahbaikan daripada sudut pelantikan ahli lembaga pengarah syarikat GLC negeri dan anak syarikat milikan negeri perlu dititikberatkan. Individu yang akan dilantik perlu dinilai berdasarkan merit bagi memastikan setiap urusan negeri dapat diurus tadbir dengan telus serta amalan kronisme tidak menjadi satu budaya yang hanya akan menguntungkan ahli politik serta kroni-kroni ahli politik.