fbpx

Pelan Penstrukturan Malaysia Airlines Bernilai RM6 Bilion Gagal?

Oleh : Wan Syarafiz
25 September 2018 - 6:33 pm

Reading Time: 4 minutes
  • RM6 bilion diperuntukkan oleh Khazanah bagi Pelan Pemulihan 12 Perkara MAS (MRP)
  • Pelan Penstrukturan Malaysia Airlines gagal – Tan Sri Dr Abdul Aziz

 

Bermula pada Ogos 2014, Khazanah Nasional Bhd telah menggariskan satu pelan penstrukturan semula untuk syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines dalam tempoh masa 5 tahun bagi memulihkan kembali syarikat penerbangan tersebut.

Apakah perkara sebenarnya yang menghantui Malaysia Airlines ini?

Selepas tragedi kehilangan pesawat MH370 pada tahun 2014 disusuli pula dengan MH17 yang telah ditembak jatuh di kawasan timur Ukraine, jualan tiket Malaysia Airlines jatuh merudum dan ramai menjangkakan syarikat ini tidak akan bertahan lama dalam industri penerbangan.

Dalam usaha menaikkan kembali nama syarikat penerbangan itu, satu pelan penstrukturan semula telah dilancarkan oleh Khazanah. Antara langkah yang dijalankan adalah penjenamaan Malaysia Airline System Bhd (MAS) kepada Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Image result for christoph mueller
Kredit: FMT

 

Christoph Mueller, individu yang mempunyai pengalaman luas dalam syarikat penerbangan telah dilantik sebagai CEO bagi memulihkan dan menjana keuntungan untuk syarikat penerbangan itu. Dalam masa 4 tahun ini juga, CEO telah bertukar sebanyak 3 kali. Bermula daripada Christoph Mueller kepada Peter Bellew dan kini dipegang oleh Izham Ismail.

Dalam pelan penstrukturan tersebut, sejumlah RM6 bilion diperuntukkan oleh Khazanah untuk proses ‘de-listing’, pemberhentian pekerja melalui VSS dan juga suntikan dana secara berkala kepada syarikat MAB.

Pada Jun 2015, Cristoph Mueller juga telah menyatakan bahawa Malaysia Airlines ini “technically bankrupt” tetapi mampu mendapat pulangan modal (break even) pada tahun 2018 setelah memberhentikan sebanyak 6,000 orang kakitangan, menjual lebihan kapal terbang serta mengurangkan kekerapan penerbangan di beberapa laluan tertentu.

Namun, setakat hari ini, apakah usaha-usaha ini telah membuahkan hasil?

Selepas 4 tahun program penstrukturan yang dikenali sebagai Pelan Pemulihan 12 Perkara MAS (MRP), Malaysia Airlines Bhd (MAB) dilihat masih gagal mencatatkan keuntungan seperti yang diharap-harapkan.

Menurut sumber dalaman, walaupun MAB berusaha melakukan beberapa inisiatif untuk mengurangkan kos, tetapi masih wujud beberapa elemen yang perlu ditambah baik. Sebagai contoh, pihak pengurusan tertinggi masih menikmati khidmat penerbangan kelas pertama serta mendapat gaji bulanan yang tinggi sedangkan syarikat itu sendiri terkapai-kapai untuk membuat untung.

Selain itu, timbul juga persoalan apakah yang terjadi dengan kemudahan “Innovation Lab” yang dikenali sebagai iSpace yang dilancarkan pada tahun 2017? Usaha ini merupakan salah satu inisiatif Peter Bellew bagi melalukan transformasi digital kepada syarikat penerbangan tersebut.

Image result for ispace malaysia airlines
Kredit: New Straits Times

Kemudahan seluas 8,300 kaki persegi dan berkapasiti 100 orang itu diasaskan sebagai salah satu langkah penstrukturan semula melalui Information Technology untuk meningkatkan kualiti customer experience dan juga efisiensi operasi.

Setakat hari ini, antara usaha yang telah dilaksanakan ialah penggunaan aplikasi Whatsapp yang membenarkan pelanggan Malaysia Airlines menerima tempahan penerbangan dan juga status penerbangan tersebut secara terus melalui khidmat messaging.

Malaysia Airlines juga menjalinkan kerjasama dengan Amadeus untuk memperkenalkan MHchat. Melalui MHchat ini, pelanggan boleh membuat dan menyemak tempahan penerbangan serta bertanyakan soalan pada bila-bila masa kerana ia beroperasi selama 24 jam setiap hari.

Tetapi, sejauh manakah keberkesanan usaha-usaha yang dijalankan Malaysia Airlines ini? Adakah ia cukup signifikan untuk memulihkan reputasi dan menghasilkan keuntungan buat syarikat penerbangan ini?

Rakyat juga tertanya-tanya, apakah status “Projek Hope” yang dilaungkan oleh Malaysia Airlines sebelum ini? Projek yang pada awalnya diilhamkan sebagai usaha untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan bagi urusan Haji dan Umrah kini bertukar sepi.

Jika anda masih ingat, Projek Hope merupakan sebahagian daripada usaha untuk memaksimumkan penggunaan 6 pesawat A380 yang pada mulanya dilihat sebagai satu pembaziran besar ketika dibeli.

Baru-baru ini, bekas CEO Malaysia Airlines, Tan Sri Dr Abdul Aziz telah mengkritik pelan penstrukturan semula Malaysia Airlines yang memakan belanja RM6 bilion sebagai satu usaha yang gagal.

 

Menurut beliau, satu kumpulan yang dianggotai oleh pakar-pakar perlu diwujudkan bagi melihat kembali operasi syarikat penerbangan itu.

“Daripada tahun 2015 hingga 2017, mereka (Malaysia Airlines) telah gagal. Tahun keempat (2018), kita masih belum tahu. Kita perlu tunggu sehingga hujung tahun untuk melihat hasilnya”

“Jika ada peningkatan daripada tahun lepas, itu bermaksud ada harapan. Tetapi jika masih teruk, kerajaan perlu melihat kembali kepada syarikat itu”, ujar Tan Sri Abdul Aziz.

Image result for tan sri aziz malaysia airlines
Kredit: FMT

 

Beliau juga berkata kerajaan seharusnya perlu menilai kembali usaha penstrukturan ini kerana ianya melibatkan wang daripada rakyat. Beliau turut menambah, usaha penstrukturan ini gagal kerana perbelanjaan yang tinggi untuk membayar gaji pengurusan tertinggi.

Selain itu, beliau mengkritik pembelian 6 biji pesawat Airbus A380 kerana hanya 2 sahaja yang boleh digunakan manakala baki selebihnya tidak dibenarkan untuk melakukan penerbangan disebabkan pelbagai masalah yang serius.

Rakyat juga sudah lali dengan isu Malaysia Airlines ini yang saban hari dilihat tiada jalan penyelesaiannya. Christoph Mueller sebelum ini pernah menyatakan syarikat itu mampu memberi pulangan modal (break even) pada tahun 2018.

Kini, CEO terbaru Kumpulan Malaysia Airlines, Izham Ismail pula memberitahu syarikat tersebut dijangka memberi pulangan modal pada tahun 2019. Kenyataan ini dilihat kontradik antara satu sama lain dan apa akan berlaku jika selepas ini jawatan CEO digantikan dengan individu lain? Adakah rakyat akan terus disajikan dengan kenyataan yang sering bertukar ganti mengenai jangkaan pulangan modal dan keuntungan Malaysia Airlines?   

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…