Penangan SST Kepada Pembeli Rumah
Bermula 1 September yang lepas, negara kita telah mula mengimplementasikan SST iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan khusus untuk pelbagai produk serta perkhidmatan.
Pasti ramai pihak yang terkesan dengan kenaikan ini kerana maklumlah negara kita baru sahaja bebas dari sebarang cukai pada Jun lepas. Kini kita perlu mula membayar SST pula. Dengar cerita ia tidaklah begitu membebankan namun sejauh manakah kebenarannya?
Dengan masalah hartanah negara kita yang tidak selesai-selesai lagi ini ekoran dari faktor seperti harga rumah diluar kemampuan rakyat, kini SST pula diperkenalkan. Adakah SST akan memberi impak kepada harga rumah?
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata hanya 38 peratus barang sahaja yang dikenakan SST berbanding 60 peratus ketika GST dilaksanakan.
Beliau juga menyakinkan bahawa SST tidak membebankan kerana antara barangan yang tidak dikenakan SST adalah sardin, susu, kopi serta teh. Beliau juga menambah bahawa impak pelaksanaan SST terhadap rakyat sebagai pengguna akhir, adalah kurang berbanding GST.
RUMAH PUN KENA SST?
Menjawab persoalan diatas, SST 10% yang dikenakan sekarang adalah caj sekali sahaja yang hanya melibatkan pengeluar, pembekal serta kontraktor. Manakala GST pula melibatkan semua pihak dan memberi kesan negatif kepada kewangan rakyat.
Namun ada juga pihak yang membuat dakwaan bahawa harga rumah dijangka turun sehingga 5 peratus susulan langkah kerajaan mengecualikan SST terhadap bahan binaan seperti simen dan batu bata.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yakin bahawa antara faktor utama harga rumah naik suatu ketika dahulu ialah kerana simen dan batu bata dikenakan GST.
Namun katanya lagi jangan terlampau yakin harga rumah akan turun kerana banyak lagi faktor lain yang mempengaruhi harga rumah seperti lokasi dan sebagainya.
Beliau juga berharap kerajaan negeri dapat berkerjasama dalam usaha mengurangkan harga rumah.
Kenyataan kemungkinan harga rumah tidak akan naik ini dikukuhkan lagi oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa perkhidmatan, pembinaan dan kos bahan binaan akan dikecualikan daripada SST.
Sumber: BH
Apa pendapat anda, Boleh percaya ke harga rumah akan turun selepas SST diperkenalkan?
Ditulis oleh: Fatin Hartabumi