Salah Urus Tadbir Prasarana Bernilai RM2.5 Bilion
- Kementerian Kewangan berjaya menjimatkan 47% kos LRT3
- Masnizam berjaya menjimatkan kos operasi sebanyak RM175 juta
Masnizam yang baru sahaja dilantik sebagai CEO Prasarana pada 18 Januari lalu berkata semasa perlantikannya, Prasarana hanya mempunyai aliran tunai untuk beroperasi selama 3 bulan sahaja. Datuk Seri Azmi Abdul Aziz yang menjadi CEO Prasarana sejak Januari 2015 telah meninggalkan Prasarana dalam keadaan kewangan yang tenat.
Prasarana mengalami kerugian sebanyak RM2.5 bilion pada tahun 2017. Jumlah pendapatan yang berjaya diraih sepanjang tahun lepas hanyalah sebanyak RM856 juta. Pendapatan Prasarana diperolehi daripada tambang tiket dan iklan di tren-tren mereka.

Lebih memburukkan keadaan lagi apabila Kementerian Kewangan terpaksa mengeluarkan terbitan sukuk/bond yang membolehkan pembayaran gaji warga Prasarana seramai 17,000 orang untuk bulan September dan beberapa bulan yang akan datang.
“Pelbagai usaha telah dijalankan dan alhamdulillah, berkat kesatuan hati dan kesedaran menjaga kos oleh rakan-rakan sekalian, sehingga bulan Julai tahun ini, kita telah berjaya menjimatkan kos sebanyak RM175 juta yang memungkinkan Prasarana mengurangkan kerugiannya sebanyak RM200 juta pada hujung tahun ini,” kata Masnizam.
Selain itu, kos LRT3 yang melebihi bajet yang ditetapkan turut memberi tekanan kewangan kepada prasarana. Jumlah kos pembinaan LRT3 meningkat daripada RM10 bilion pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) telah meningkat kepada RM31.65 bilion menurut kenyataan daripada menteri kewangan, Lim Guan Eng.
Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan telah berjaya mengurangkan kos pembinaan LRT3 sebanyak 47% daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion. Langkah penjimatan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan set gerabak daripada 42 set kepada 22 set, mengecilkan saiz stesen mengikut spefikasi stesen LRT Laluan Kelana Jaya , membatalkan pembinaan 5 stesen, membatalkan laluan bawah tanah di Shah Alam sepanjang 22km dan menangguh tempoh menyiapkan projek daripada 2020 kepada 2024.

Melalui nukilan salam perpisahan Masnizam, beliau telah menyatakan idea dan langkah pembaharuan yang ingin dilakukannya. Antaranya adalah menerapkan budaya baru untuk mencipta “Prasarana 2.0” melalui kempen “Just Say It” dan “Do What Is Right”. Melalui kempen ini, DNA baru dalam warga Prasarana yang mementingkan kos dan mengutamakan pelanggan dapat diwujudkan.
“Sekiranya kita tegas di dalam penjagaan kos, mungkin kita tidak akan berada di dalam keadaan kewangan yang meruncing seperti hari ini,” tegasnya.
Tambahnya lagi, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk menaikkan jumlah penumpang kerana kita mempunyai kapasiti yang besar dan memacu enjin untuk mendapatkan pendapatan “Non-Fare” atau pun pendapatan selain penjualan tiket.
Kini, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain dilantik sebagai CEO baru Prasarana bagi menggantikan Masnizam. Menurut Kenyataan Kementerian Kewangan, beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam sistem pengangkutan awam, industri minyak dan gas, postal dan operasi lebuh raya.
Beliau diberikan mandat untuk menetapkan hala tuju baru bagi Prasarana dengan menambah baik servis pengangkutan awam di Malaysia. Beliau akan turut berkerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk memastikan Prasarana mampu beroperasi dalam keadaan kewangan yang baik.