fbpx

Sektor Yang Terjejas Selepas PRU 14

Oleh : Kapital
14 September 2018 - 12:37 pm

Reading Time: 4 minutes
  • Harga saham Opcom, Eden, Thriven dan Ewein melonjak naik sehingga 300%
  • Saham TM jatuh sekitar 46% daripada harga tertingginya RM5.61 kepada RM3.00

PRU14 tempoh hari, negara telah menyaksikan berlakunya perubahan kuasa. Barisan Nasional buat pertama kalinya kalah dan menyebabkan negara mendapat kerajaan yang baru.  Sudah pastilah hal ini akan ada kesan yang besar terhadap pasaran saham.

 

Secara umum pasaran saham berkait secara langsung dengan dasar ekonomi kerajaan. Apabila berlakunya perubahan kerajaan, sudah pasti akan berlaku perubahan terhadap pasaran saham. Syarikat yang mendapat tempias daripda dasar kerajaan sebelum ini akan menerima kesan negatif manakala syarikat yang berkait rapat dengan kerajaan sekarang sudah tentu akan menerima kesan positif.

 

Mari kita lihat sektor dan syarikat mana yang banyak terjejas dan sektor dan syarikat mana pula yang menerima limpahan daripada perubahan kerajaan ini;

 

Sektor Konsumer

Sektor konsumer mendapat limpahan yang besar apabila berlakunya perubahan kerajaan. Dasar cukai kerajaan terdahulu dihapuskan dan ini memberi pemangkin kepada sektor ini untuk bergerak ke atas. Apabila cukai GST dihapuskan dan kerajaan memberikan tax holiday,ia telah merancakkan semula sektor konsumer.

 

Pengguna mengambil kesempatan ini untuk membeli-belah dan ini memberi sentiment positif terhadap syarikat-syarikat dalam sektor konsumer. Syarikat seperti Padini dan Parkson mula bergerak sebaik sahaja pasaran dibuka semula selepas berlakunya perubahan kerajaan.

 

Saham Padini meningkat sebanyak 41% daripada RM4.40 naik sehingga paras tertinggi RM6.20 sebelum jatuh kembali apabila kerajaan memperkenalkan SST begitu juga dengan Parkson, Parkson juga meningkat sebanyak 60% daripada harga RM0.40 sebelum PRU dan naik sehingga paras tertinggi RM0.64 sebelum jatuh kembali. Ini berlaku di dalam 100 hari.

 

Image result for padini
Kredit: The Fifth Person

 

Sektor Pembinaan

Sektor pembinaan menerima kesan negatif. Ini sudah dapat dijangka kerana dalam manifesto PH sudah diberitahu bahawa projek mega dibawah kerajaan terdahulu akan dikaji semula. Kajian semula ini boleh merubah skop kerja, kos projek dan mungkin berlaku pertukaran kontraktor.

 

Syarikat seperti MRCB dan George Kent antara syarikat dalam sektor pembinaan yang paling teruk terkesan dengan perubahan kerajaan. MRCB jatuh hampir 43% daripada harga RM1 sebelum pilihanraya dan jatuh sehingga RM0.57 dan itu merupakan paras terendah MRCB untuk tahun ini manakala George Kent jatuh sekitar 75% daripada RM4 sesaham kepada paras terendahnya RM1.

 

Kedua-dua syarikat ini jatuh agak teruk kerana pelabur merasakan kerajaan baharu ini akan mengkaji semula projek yang telah dianugerahkan kepada mereka dan jangkaan pelabur tepat apabila kerajaan baharu merombak kembali kontrak yang telah diberikan.

 

Kerajaan baharu telah mengkaji dalam bentuk kos dan nilai kos untuk projek LRT3 telah dikurangkan, skop kerja juga dikurangkan sama. Ini sudah pasti memberi kesan kepada jangkaan keuntungan yang akan diperolehi oleh syarikat tersebut.

 

Politically Linked Companies

Syarikat-syarikat yang mempunyai hubung kait politik dengan parti pemerintah antara syarikat yang paling menarik untuk dilihat selepas berlakunya perubahan kerajaan. Syarikat yang terkait dengan kerajaan terdahulu sudah pasti merudum jatuh manakala yang terkait dengan kerajaan sekarang terus melonjak.

 

MYEG antara syarikat yang mempunyai kaitan politik dengan kerajaan terdahulu jatuh merudum. MYEG sebelum ini banyak mendapat projek perkhidmatan kerajaan jatuh 76%, MYEG jatuh daripada RM2.60 kepada RM0.67.

 

Walau bagaimanapun, MYEG melakukan beberapa praktis korporat seperti pembelian kembali saham dipasaran dan substantial shareholder MYEG meningkatkan lagi pegangan beliau untuk memberi keyakinan kepada pelabur. Syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerajaan baru terus melonjak apabila kerajaan berubah.

 

Image result for myeg
Kredit: The Star

 

Syarikat seperti OPCOM, EDEN, Thriven dan Ewein melonjak naik. Opcom, Eden, Thriven dan Ewein naik sehingga 300%. OPCOM naik daripada RM0.36 kepada RM1.16, Thriven daripada RM0.15 kepada RM0.45, EDEN juga naik daripada RM0.15 kepada RM0.45 dan EWEIN naik daripada RM0.30 kepada RM0.90. Ini kerana pelabur menjangkakan syarikat-syarikat ini bakal menikmati limpahan daripada perubahan kerajaan.

 

Government Linked Companies

GLC yang paling teruk terkena tempias kepada perubahan kerajaan ini ialah TM (Telekom Malaysia). TM jatuh sekitar 46% daripada harga tertingginya RM5.61 kepada RM3.00. Ini disebabkan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Telekomunikasi tentang harga internet di Malaysia.

 

Arahan Menteri untuk mengurangkan harga internet secara drastik sudah pasti memberi kesan terhadap TM. Ini kerana perkhidmatan jalur lebar adalah peniagaan teras TM, arahan ini sudah pasti memberi kesan kepada keuntungan syarikat.

 

Di samping itu, TM juga mempunyai polisi dividen yang agak unik. TM diwajibkan memperuntukkan sekitar RM700 juta sebagai dividen tahunan dan pengurangan keuntungan akibat daripada arahan turunkan harga perkhidmatan jalur lebarnya akan menambah tekanan kepada TM untuk memenuhi polisi dividen tersebut.

 

Sejurus selepas arahan dibuat, TM jatuh secara drastik dan beberapa langkah telah diambil oleh TM dan ini membantu TM untuk naik kembali. Walaubagaimanapon, TM masih lagi berada didalam aliran menurun.

Image result for tm
Kredit: The Edge Markets

 

TNB turut jatuh sejurus selepas berlaku perubahan kerajaan. Hal ini mungkin disebabkan persepsi pelabur menjangkakan akan ada perjanjian IPP yang berat sebelah tetapi apabila menteri yang berkenaan mengumumkan akan ada IPP yang dibatalkan TNB kembali meningkat ke paras sebelum ini.

 

Secara umum, hampir kesemua GLC jatuh selepas berlakunya perubahan kerajaan, ini disebabkan akan berlaku perubahan pengurusan besar-besaran di hampir kesemua GLC. Di samping itu kejatuhan itu turut disumbangkan oleh perubahan dasar dan fungsi GLC itu sendiri.

 

Pasaran saham secara amnya jatuh apabila berlakunya perubahan kerajaan dan Pasaran Malaysia tidak terkecuali tetapi ianya bersifat sementara buat masa ini kerana dasar kerajaan yang baharu tidak dapat dilihat dengan jelas lagi.

 

Secara umumnya kejatuhan pasaran saham sejurus sahaja berlakunya perubahan kerajaan adalah disebabkan sentimen pelabur dan bukan disebabkan fundamental ekonomi negara. Pasaran saham di Malaysia secara teknikalnya kita boleh lihat sudah kembali stabil tetapi ianya masih berada dibawah paras tertinggi yang pernah dicatatkan.

 

Kita boleh lihat dan nilai prestasi kerajaan sekarang apabila bajet 2019 dibentangkan pada bulan November. Pada masa itu kita boleh saksikan bagaimana reaksi pasaran terhadap dasar ekonomi yang akan dibentangkan kelak. Mampukah pasaran Malaysia melepasi paras tertinggi? Sama-sama kita nantikan.

 

Anda Mungkin Meminati Artikel Ini

Featured Image 8-01 (2)
Kapital

Sektor Pelancongan Negara Jana Rekod Tertinggi RM84.1 Bilion

Reading Time: 2 minutes Sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14.9% kepada KDNK negara Purata perbelanjaan setiap pelancong China di Malaysia adalah RM4,200  …

Featured Image 4-01
Kapital

Sektor Pembuatan Di Malaysia Catat Pertumbuhan Positif

Reading Time: 2 minutes Hasil jualan keseluruhan melalui sektor pembuatan di Malaysia telah meningkat sebanyak 5.7% pada Mac 2019. Nilai jualan ini…

South-Asia
Kapital

Asia Kuasa Ekonomi Dunia Masa Hadapan

Reading Time: 2 minutes Pendapatan per kapita di Vietnam diramalkan bakal meningkat kepada USD10,400 pada 2030 Penduduk Asia Utara mewakili satu per lima…

Featured Image 10-01 (1)
Kapital

Teknologi Bakal Bantu Vietnam Keluar Daripada ‘Middle Income Trap’

Reading Time: 2 minutes Teknologi boleh membantu meningkatkan produktiviti sesebuah ekonomi pada kadar 0.8% hingga 1.4% setiap tahun Nilai syarikat teknologi dalam…