Surat Jack Ma Untuk Semua
Baru-baru ini pengasas bersama Alibaba, Jack Ma mengumumkan bakal bersara sebagai pengerusi syarikat berkenaan kira-kira setahun dari sekarang. Beliau akan menyerahkan jawatannya itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba, Daniel Zhang. Namun begitu, Ma akan kekal sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah sehingga tahun 2020.
Kami di Kapital.My berkesempatan untuk mendapatkan kandungan penuh surat tentang persaraan Ma yang ditujukan khas buat semua kakitangan, pelanggan dan pemegang saham.
Dibawah adalah surat Ma kepada semua:
Hari ini, ketika kita meraikan ulang tahun Alibaba yang ke-19, saya saya sangat teruja untuk berkongsi satu berita penting dengan anda semua: Selepas mendapat kelulusan daripada lembaga pengarah, kira-kira satu tahun dari sekarang, semasa sambutan ulang tahun Alibaba yang ke-20 pada 10 September 2019, Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba, Daniel Zhang akan menggantikan saya sebagai pengerusi Alibaba.
Ketika tempoh masih berbaki 12 bulan ini, saya akan bekerjasama penuh erat dengan Daniel bagi memastikan peralihan kuasa ini berjalan lancar dan baik. Selepas meletakkan jawatan, saya akan kekal sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Alibaba sehingga mesyuarat tahunan pada tahun 2020.
Saya telah melakukan pelbagai persediaan dalam tempoh 10 tahun untuk menyediakan pelan peralihan ini dan hari ini saya saya berbangga untuk mengumumkannya. Saya mengucapkan terima kasih untuk setiap sokongan yang diterima daripada Alibaba Partnership dan semua ahli lembaga pengarah yang ada. Saya juga mahu mengirimkan ucapan terima kasih yang istimewa buat semua rakan-rakan di Alibaba dan keluarga anda atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang 19 tahun ini. Ia memberikan kita keyakinan dan semangat untuk terus melangkah.

Peralihan kuasa ini penting bagi membuktikan bagaimana Alibaba telah melangkah ke satu tahap lebih tinggi dalam hal berkaitan tadbir urus korporat, daripada sebuah syarikat yang bergantung kepada beberapa individu, kita berjaya membina sebuah sistem organisasi dan budaya pembangunan bakat yang cemerlang.
Ketika Alibaba diasaskan pada tahun 1999, matlamat kita ialah untuk membina sebuah syarikat yang mampu membanggakan China dan dunia serta bertahan dalam tempoh yang lama. Namun begitu, kita sendiri tahu yang tidak ada sesiapa mampu bertahan dalam sesebuah syarikat melebihi 100 tahun. Alibaba yang mampan harus terbina dengan tadbir urus berkualiti, falsafah berpaksikan budaya dan konsisten dalam membangunkan bakat.
Tidak ada syarikat yang mampu bertahan dengan hanya bergantung semata-mata kepada pengasasnya sahaja. Ini kerana keupayaan dan tenaga seseorang itu ada batasnya dan tidak ada manusia yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi dan CEO selama-lamanya.
Kita bertanyakan pada diri sendiri 10 tahun lalu – bagaimana agaknya Alibaba mampu mencapai kadar pertumbuhan mampan selepas Jack Ma meninggalkan syarikat ini? Kita percaya satu-satunya jalan untuk menyelesaikan masalah peralihan kuasa kepimpinan korporat dalam sesebuah syarikat ialah dengan membangunkan sistem tadbir urus berasaskan kepada budaya dan mekanisme unik untuk membangunkan pengganti dan bakat secara konsisten. Untuk tempoh 10 tahun lalu, kita terus bekerja keras untuk menghasilkan ramuan mujarab ini.
Dilatih sebagai guru membuatkan saya amat berbangga dengan apa yang sudah saya capai. Guru selalu mahukan anak murid mengatasi pencapaian mereka. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kepada saya dan syarikat memberikan peluang individu muda dan berbakat mengambil alih peranan kepimpinan supaya mereka mampu mewarisi misi kita – “to make it easy to do business anywhere.”
Saya begitu bersemangat melaksanakan misi ini untuk membantu perniagaan kecil, golongan muda dan wanita di seluruh dunia. Ini bukan sekadar niat dan hasrat kita sejak hari pertama, namun saya amat bersyukur dikurniakan peluang seperti ini. Untuk merealisasikan impian di sebalik misi ini ia jelas memerlukan penyertaan ramai orang dan bukan sekadar Jack Ma, sebaliknya usaha berterusan generasi Aliren.
Alibaba bukanlah hebat kerana perniagaan, skala atau pencapaiannya. Perkara terbaik tentang Alibaba ialah kita bersatu di bawah satu misi dan visi yang sama. Sistem kerjasama, budaya unik dan pasukan penuh bakat menjadi asas terpenting untuk syarikat ini. Malah sejak saya menyerahkan tugas CEO pada tahun 2013, syarikat ini terus bergerak lancar berpaksikan kekuatan institusi yang ada.
Sistem kerjasama yang kita bangunkan ini merupakan satu bentuk penyelesaian kreatif terhadap hal-hal berkaitan tadbir urus berkualiti dan kemapanan syarikat. Ia menyelesaikan banyak cabaran yang dihadapi syarikat termasuk inovasi berterusan, peralihan kepimpinan, kebertanggungjawaban dan penerusan budaya unik. Selepas beberapa tahun, kita telah melalui proses eksperimen pengurusan dan mampu meningkatkan tahap keseimbangan antara sistem dan individu.
Bergantung semata-mata kepada individu atau mengikut sistem secara membuta tidak mampu menyelesaikan apa-apa masalah. Untuk mencapai tahap kemapanan berpanjangan, kita memerlukan kesimbangan yang tepat antara sistem, manusia dan budaya. Saya berkeyakinan penuh bahawa sistem kerjasama dan usaha melindungi budaya kita akan sentiasa disukai dan disokong oleh pelanggan, pekerja dan pemegang saham.
Sejak diasaskan pada tahun 1999, kita sentiasa melihat bahawa masa depan Alibaba bergantung kepada bagaimana kita memacu pertumbuhan bakat. Ini penting sebagai sebahagian daripada usaha untuk kita menguruskan pelan peralihan dengan baik. Selepas bertahun-tahun bekerja keras, hari ini, Alibaba memiliki kelompok bakat yang ramai berkualiti tinggi. Perasaan sebagai guru yang mendiami tubuh saya ini amat berbangga dengan apa yang dicapai oleh pasukan, kepimpinan dan budaya unik berpaksikan misi kita.
Alibaba kini boleh berbangga dengan keupayaan membangunkan pemimpin perniagaan berkualiti seperti Daniel Zhang.

Daniel sudah bersama-sama Alibaba selama 11 tahun dan sejak beliau mengambil alih jawatan CEO, beliau telah menunjukkan prestasi dan bakat mengagumkan. Malah daya kepimpinan beliau juga begitu baik dan dihargai. Dengan Daniel sebagai CEO Alibaba secara konsisten telah melihatkan pertumbuhan positif untuk 13 suku tahun berturut-turut. Beliau mempunyai kemahiran minda analitikal, memegang erat misi dan visi kita, beliau mengambil tanggungjawab dengan penuh ghairah dan apa yang paling hebat ialah keberaniannya dalam inovasi dan kreativiti untuk menguji model perniagaan kita. Untuk itu, beliau sangat layak untuk dinamakan sebagai CEO nombor satu 2018 oleh media-media di China.
Untuk sebab-sebab yang saya nyatakan ini, beliau dan pasukannya telah menambat kepercayaan dan sokongan pelanggan, pekerja dan pemegang saham. Saya fikir ini ialah masa paling sesuai untuk memulakan proses menyerahkan obor kepada Daniel dan pasukannya. Saya tahu mereka sememangnya sudah bersedia dan saya menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kepimpinan masa hadapan di Alibaba.
Bagi diri saya pula, saya masih mempunyai banyak impian yang mahu dilaksanakan. Mereka yang mengenali saya mengetahui bahawa saya tidak suka untuk duduk diam. Saya berhasrat untuk meneruskan peranan saya sebagai pengasas bersama Alibaba Partnership dan akan terus menyumbang kepada syarikat ini. Saya juga bercita-cita untuk kembali ke bidang pendidikan, kerana ini merupakan bidang yang amat saya gemari. Dunia ini terlalu luas, saya juga masih muda, jadi saya mahu mencuba perkara baharu untuk merealisasikan impian terkini.
Satu perkara yang saya boleh janjikan kepada semua orang ialah Alibaba bukan tentang Jack Ma, tetapi Jack Ma akan selama-lamanya menjadi milik Alibaba.