Tencent Pencabar Utama Alibaba Di Pasaran Asia Tenggara
- Tencent kini cuba memberi fokus terhadap pasaran di luar China secara lebih serius
- Permainan video paling berjaya buat Tencent ialah King of Glory dan Zloong yang melihatkan pengguna aktif harian mencecah 50 juta orang
Tencent kini menjadi syarikat permainan video dan internet paling utama di China. Bersama-sama NetEase mereka mewakili kira-kira 70 peratus pasaran permainan video dan kandungan di negara berkenaan. Permainan video paling berjaya buat Tencent ialah King of Glory dan Zloong yang melihatkan pengguna aktif harian mencecah 50 juta orang. Ia meliputi kira-kira 17.7 peratus pasaran keseluruhan permainan video di China pada tahun 2016.
Di pasaran antarabangsa pula selain memberi fokus kepada permainan video, Tencent mempunyai kekuatan terhadap WeChat, aplikasi perhubungan sosial dan tindakan pengambil alihan syarikat-syarikat permainan video yang ada. Sejak beberapa tahun lalu, Tencent telah melabur di beberapa syarikat permainan terkenal dunia dan ini termasuklah pelaburan besar-besaran bernilai USD330 juta untuk mengambil alih 48.4 peratus kepentingan dalam syarikat Epic Games pada tahun 2012. Tencent juga mengambil alih sepenuhnya kepentingan dalam syarikat pengeluar permainan League of Legends, Riot Games.

Namun begitu, memikirkan tentang pasaran yang masih terhad, Tencent cuba untuk menggunakan pendekatan pelaburan baharu dalam mencari pasaran-pasaran segar yang bersesuaian dengan model perniagaan syarikat ini. Analisis berterusan yang dilaksanakan menyaksikan Tencent kini cuba memberi fokus terhadap pasaran di luar China secara lebih serius.
Di China monopoli Tencent adalah terlalu kuat sehinggakan banyak syarikat permainan video cuba untuk mencari pasaran baharu di luar daripada negara berkenaan. Selain itu, pasaran luar China dilihat lebih matang dan membangun dengan baik. Sebagai contoh Amerika Syarikat menyumbang lebih 30 peratus pendapatan dalam pasaran permainan video, diikuti Jepun pada tahap 10 peratus.
Untuk memastikan operasinya berjalan baik di pasaran luar China, Tencent telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat. Misalnya untuk pasaran di Asia Tenggara, Tencent menjalinkan kerjasama dengan Sea, sebuah syarikat operasi dan pengedaran permainan video dan komputer utama di Asia Tenggara. Namun begitu, kedudukan Sea tidak begitu kukuh dari sudut keuntungan apabila mencatatkan kerugian bersih USD165 juta pada tahun 2017.

Selain Sea, Tencent turut menjalinkan kerjasama dengan VNG yang dikatakan mempunyai potensi besar untuk berkembang dan mampu meluaskan pengaruhnya di seluruh Asia Tenggara.
Secara umumnya walaupun Tencent dilihat sebagai syarikat yang kuat, namun kebanyakan rakan kerjasamanya di luar China tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan. Hal ini kemungkinan besar mempunyai kaitan dengan kematangan dalam pasaran. Sudah tentu ruang penambahbaikan itu sentiasa ada kerana penembusan permainan video mobil dan kadar penggunaan internet di rantau Asia khasnya seperti Asia Tenggara masih lagi berkembang.
Faktor-faktor luaran ini jelas mempengaruhi perkembangan pelaburan Tencent di luar negara dan jika Tencent benar-benar mahu menguasai pasaran ini secara lebih meluas, maka mereka memerlukan strategi perniagaan yang lebih berani dan agresif untuk menguasai pasaran.